21 April 2009

PSM Presentation

Bismillah..

Alhamdulillah, ana telah berjaya membentang Projek Sarjana Muda (PSM) a.k.a. projek tahun akhir ana dengan baik pagi tadi (^_^)v. Syukur, sangat bersyukur atas kurniaan yang melimpah ruah dari Dia dalam bentuk ketenangan dan keyakinan semasa membentang dan menjawab soalan dari panel.

Pagi tadi, telefon mak dulu. Apa-apa hal, suara mak adalah satu kewajipan untuk ana dengar setiap kali sebelum dan selepas sesuatu peristiwa yang mendebarkan. Dengar je suara mak, mata yang berair dari tadi terus je melimpah.

"Mak, doakan orang lancar nak bercakap. Mak, doakan orang faham apa yang panel tanya. Mak, doakan orang tahu macamana nak jawab soalan panel. Mak, doakan...... Mak, doakan.... Isk, isk, isk..."

Banyak nasihat mak bagi pagi tadi, antaranya bacaan doa yang ana tulis dalam post sebelum ni dan bacaan Surah Al-Insyirah. Juga zikir menyebut namaNya "Ya Latif" yang bermaksud Yang Maha Lembut agar panel lembut hati, tak panas hati dan tak bertanya yang pelik-pelik dan yang di luar jangkaan.

Alhamdulillah pembentangan ana kurang daripada 10 minit seperti yang dihadkan. Kemudian sesi soal jawab, ada la dalam lima-enam soalan, alhamdulillah mudah tangkap apa yang panel soalkan dan mudah juga untuk menjawab. Apa yang paling menyeronokkan ialah komen "Good answer!" dari ketua panel terhadap jawapan yang ana berikan. Komen itu cukup ringkas, tapi ia telah membuat wajah ini tersenyum puas dan hati ini berbunga-bunga mendengarnya (^_^).

Bunga dalam hatiku (^_^)v

Keluar je dari bilik pembentangan tu, terus telefon mak lagi. Seronok sangat. Walaupun kertas peperiksaan semalam sungguh mendukacitakan (^_^'), namun kegembiraan hari ni berjaya memadamkan kesedihan. Seperti nasihat seorang pensyarah tu, "La tahzan!" masa dia beri keputusan kertas ujian dulu. Betullah, jangan bersedih bila kita dah usaha sebab nanti Allah akan balas dengan yang lebih baik.

Masa telefon mak tu, baru tahu rupanya mak baca Surah Yaasin dua kali sepanjang tempoh ana membentang, terharunya.. (^_^-). Mak kata risau dengar suara anak dia ni nangis masa telefon pagi sebelum bentang tadi. Saaaayaaaaanngggg mak sangat-sangat-sangat! Mom, you're the inspiration of my life! Terlalu banyak didikan yang mak beri dalam diri ni, terlalu banyak nasihat dari mak untuk anak mak ni dan terlalu banyak pula pengorbanan mak demi memastikan anak mak ni tak keseorangan menghadapi hidup. Terima kasih, mak.. I love you so much!

19 April 2009

BitTaufiq WanNajah

Ana @ 5 Ibnu Sina 2003

Berkata Musa "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku..."

:: Selamat menghadapi peperiksaan akhir kepada semua ::

:: Semoga dijauhkan dari kejahilan yang nyata dan kesilapan yang berulang ::
:: Semoga dipermudahkan urusan untuk mempelajari, memahami, menerima serta menerangkan ilmu-ilmuNya kepada yang lain ::
:: Semoga ditenangkan hati, ditenteramkan fikiran serta dilapangkan dada semasa menjawab soalan ::

:: TeNanG DaN YaKiN ::

15 April 2009

Hadith 6: Halal, Haram Dan Perihal Hati


hati on stage - xifu and al-gebra


Munsyid: Xifu & The Algebra
Lirik: Hadith 6 dari Hadith 40 Syarah Nawawi


Dari Abu Abdullah Al-Nu'man bin Basyir R.A. katanya:
Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang)
Dan sesungguhnya yang haram itu pun nyata (terang)
Dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang samar
Yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia

Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala kesamaran
Sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya
Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran
Jatuhlah ia ke dalam yang haram

Seperti seorang pengembala
Yang mengembala di sekeliling kawasan larangan
Hampir sangat ternakannya (pada sempadan larangan)

Ketahuilah!
Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangannya
Ketahuilah!
Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya

Ketahuilah!
Di dalam badan manusia ada seketul daging
Apabila ia baik, maka baiklah badan seluruhnya
Dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekaliannya
Ketahuilah!
Itulah yang dikatakan sebagai hati

[Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim]

11 April 2009

Kebersihan Cermin Diri


Semua orang mudah tertarik dengan wanita yang teliti dengan dirinya terutama kebersihan lahiriah. Selalunya hati kecil kita berasa senang jika melihat keadaan rumah yang teratur dan bersih hasil ketelitian wanita penyeri rumah.

Jiwa kita akan tenang dan lapang bila menghadapi suasana rumah yang begini dari pintu masuk hingga ke dapur dan bilik air. Bila masuk sahaja, hati lapang melihat perabot yang disusun kemas, mainan anak-anak tersusun elok, bilik tidur berkemas rapi, pakaian dilipat kemas, pinggan mangkuk berbasuh, bilik air berbau harum. Semuanya tersusun rapi.


Di satu segi, adalah baik menitik beratkan penjagaan rumah yang bersih. Tetapi akan jadi lebih baik lagi kalau hamba-hamba Allah ini di samping pembersih, juga seorang yang beriman.

Seorang yang beriman, perlu meniatkan segala kerjanya itu untuk Allah. Kalau dia memelihara syakhsiah diri yang kemas untuk tujuan berdakwah, Allah sudah sediakan ganjaran pahala untuknya. Apatah lagi kalau seseorang wanita itu menjadikan rumahnya sebagai medan untuk berdakwah. Lagilah Allah nilai. Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Kebersihan itu separuh dari iman”

Kalaulah seorang wanita itu dapat membereskan soal kebersihan diri, anak-anak, suami dan rumatangga dengan baik, orang-orang yang mula hendak berjinak-jinak dengan Islam akan mudah tertarik untuk meneruskan niatnya bagi mendalami dan menghayati Islam.


Sebenarnya soal kebersihan ini adalah sebahagian dari bab fardhu 'ain yang mesti dipelajari oleh umat Islam. Ia dikenali dengan bab Thaharah. Ia menyentuh bab air yang boleh dibuat bersuci dari najis dan hadas (kecil dan besar), cara beristinjak, tentang darah-darah yang keluar daripada wanita dan lain-lain.

Dengan selesainya ilmu fardhu 'ain ini, maka barulah segala amalan lain diterima. Sebab itulah dikatakan, kebersihan itu anak kunci ibadah. Contohnya, kalau cara beristinjak kita tidak betul atau menggunakan air musta'mal, maka bermakna kita membawa nasjid pada badan kita. Dengan sendirinya ibadah sembahyang kita tertolak.

Lihatlah betapa pentingnya peranan wanita yang selesai bab thaharahnya dalam membentuk masyarakat. Kita selalu seminarkan bagaimana hendak mendidik anak yang degil, bagaimana itu, bagaimana ini, tetapi kita sedar yang anak kita degil kerana kecuaian kita dalam menyelesaikan bab fardhu 'ain.


Kerana kejahilan ibu, kita beri anak-anak makan benda-benda yang syubahat. Makanan ringan dibuat oleh tangan-tangan orang bukan Islam yang tidak tentu kesuciannya. Kadang-kala kita sediakan makanan untuk keluarga tanpa dijirus dengan ‘air lalu’ di akhir basuhan dan tidak disertai dengan selawat. Kita tidak ajar anak-anak tentang kesucian rumah hingga seluruh rumah kita bernajis atau mutannajis (terkena najis). Bagaimana Allah hendak terima ibadah-ibadah kita? Tidak hairanlah kalau anak-anak kita keras hati. Kerana darah dan dagingnya dibentuk dari makan minum yang tidak bersih. Sabda Rasulullah SAW:

“Hati itu ditempa dari makan minum.”

Hendaklah kita faham, bersih dan suci adalah dua perkara yang berbeza. Kita mungkin suka melihat rumah yang bersih tetapi belum tentu rumah yang bersih itu suci. Mungkin di lantai rumah yang kelihatan bersih bersinar itu (kerana telah digilap dengan cecair pencuci lantai) dipenuhi air kencing dari kaki yang tidak dibasuk ketika keluar dari tandas. Atau mungkin ketika mencuci najis kanak-kanak di atas lantai itu, kita tidak mengikut kaedah yang betul menurut syariat. Oleh itu, walaupun nampak bersih, tetapi sebenarnya ia tidak suci menurut syariat.


Suasana rumahtangga dan keluarga akan cacat jika para isteri hanya mengambil berat soal-soal kebersihan lahiriah, tetapi tidak menghiraukan kesucian menutut syariat. Sebaliknya, jika kebersihan dan kesucian syariat sama-sama dititik beratkan, rumah akan jadi nyaman dan berseri, lebih-lebih lagi bila dihiasi oleh wanita beriman.

Artikel ini (tidak termasuk gambar) dicopy and paste dari:
http://www.rediesh.com/untuk-wanita/kebersihan-cermin-diri/

==================================================

Yuk teman-teman sekalian, kita kemas bilik. Segan kalau tetamu tengok bilik bersepah kan.. Lagi-lagi kalau tetamu itu adik-adik.. Junior.. Mad'u.. Kan, kan, kan..? Segan seyh..!

=========== :em34: Jom kemas bilik.. Dah final semester, yay! :em34: ===========Justify Full

10 April 2009

Kawan Lama..

Bismillah..

Tadi YM dengan seorang teman yang dah lama tak bertemu. Sama-sama tinggal di Jengka (tapi dia Jengka lain) dan satu sekolah menengah. Seronoknya dapat berbual dengan dia. Seriously, ana suka sangat kalau dapat berjumpa dan berbual dengan teman-teman sekolah lama. And suuuuukkkaaaaa sangat-sangat kalau dapat berita tentang walimah teman-teman lama. Sampai orang kata, "Eh, macam dia pula yang nak kahwin." Heheee..

Yang YM tadi, AMbI. Indah wajahnya seindah namanya. Mulia akhlaknya semulia perkataannya. Menjadi solehah bukan untuk mencari yang soleh. Tapi yakinnya dia yang solehah itu pasangannya soleh. Sekarang menuntut di Mesir, dan sudah pun berumahtangga pada bulan Syawal tahun lepas (banyak la jejaka-jejaka yang menangis dalam hati, hehe..). Zauj dia dulu senior sekolah kami, sekarang masih belajar di Madinah. Kat bawah ni gambar walimah diorang..

Dua pasang pengantin


A dan A

Actually tahun lepas nak post pasal walimah ni, tapi sebab dia ni delete Fs, jadi tak ada gambar nak letak. Hm, ana suka tengok wajah dia, cantik sangat. Dulu masa kat sekolah, kami selalu cakap, dia ni dah tahap wajib pakai purdah ni, bukan sunat lagi dah. Rupanya di Mesir dia memang pakai purdah pun.. =)

Seperkara lagi, bila pergi usrah, ana selalu terfikir, kawan-kawan ana ada usrah tak kat tempat diorang. Kalau ada, alhamdulillah.. Kalau tak ada, ruginya.. Isk.. Isk.. Tapi, seronoknya bila masa YM tadi dia kata dia ada usrah (^_^). Walaupun dia di Mesir, tapi usrah tu bukan bawah IM, sebab tak dibenarkan. Apa pun, ana seronok! Ana sangat seronok!

Bukan..

[khas buat diriku yang sering lupa..]

Pencerahan bukan untuk orang yang manja
Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas
Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri

Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan
Lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa

Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti
Yang senang dan mudah, ikut
Yang penat, bersusah payah, elak
Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh Allah
Kalau tak, batang hidung pun tak nampak

Bukan bagi yang meletakkan dakwah ini
Hanya untuk mencari calon ikhwah akhawat sebagai pendamping hidup
Bukan yang ikut hanya untuk meminta tolong teman-teman sefikrah
Bila dia dalam kesusahan
Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat
Tak share pun dengan orang lain

Yang cepat mengalah
Yang meletakkan usrah, qiamullail, daurah
Dan yang seangkatan dengannya dalam diari
Hanya selepas ditolak dengan semua agenda
Dan upacara-upacara penting yang lain

Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa' hanya kerana
Nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu
Jemaah ini dan itu

Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute
Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit
Infaq di jalan Allah
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat
Terpaksa berjalan jauh

Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat
Mesti naik kereta besar dan mewah, yang ada air-cond, dan laju
Yang tak nak naik bas, public transport
Dan yang kena berpeluh-peluh

Tarbiyyah bukan untuk orang yang kena contact dan inform dia setiap masa
Tentang perkembangan terkini
Sedangkan dia macam boss
Hanya tunggu information

Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan
Dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah
Dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot

Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika
Kerja nak beri alasan ini dan itu
Penat, mengantuk, susah
Banyak kerja, assignment, presentation
Nak balik kampung, keluarga tak bagi keluar dan sebagainya

Tarbiyyah bukanlah segala-galanya
Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah

Tanpa kita, yang sering beralasan ini
Dakwah akan terus berjalan
Islam akan tetap berjaya
Ummah akan tetap terpelihara

Cuma tanpa pencerahan, tanpa tarbiyyah, tanpa dakwah
Belum tentu kita akan berjaya di Mahsyar nanti
Tak mengapa
Teruskan hidup kita seperti biasa

Dakwah tak memerlukan kita
Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran kita
Berbahagialah seadanya
Itupun jika kita dapat merasai kebahagiaan itu

Fikir-fikirkanlah wahai hati-hati yang ditarbiyyah..

[Na'udzubillahi min dzalik!]

Ya Muqallibal qulub..
Tsabbit quluubana 'ala deenika..
Wa 'ala tho'atika..
Wa 'ala jihadi fi sabilika..
Amin Ya Robb..

Ya Allah..
Aku tak layak berada di jalan ini.. :'(
Rabbighfirli...
Rabbighfirli....
Rabbighfirli....

==================== *Diambil dari emel* ====================

09 April 2009

Peribadi Rasulullah S.A.W. - Sepintas Lalu (3)

Gambaran yang paling jelas mengenai Rasulullah telah disampaikan oleh seorang perempuan tua. Rumahnya pada suatu masa pernah disinggahi oleh Rasulullah dalam perjalanannya dari Gua Thur, Madinah. Kelihatan Rasulullah itu menyebabkan kambing kepunyaan perempuan itu mengeluarkan susu dengan banyaknya. Walaupun Rasulullah dan sahabat-sahabatnya dapat meminumnya sehingga kekenyangan, namun masih banyak bakinya yang tinggal. Apabila suaminya pulang dan melahirkan rasa hairannya, wanita tua itu menggambarkan Rasulullah dengan kata-kata berikut:

"Rupa parasnya kacak, mukanya bercahaya, tingkah lakunya menyenangkan, perutnya tidak memboyot, rambutnya kemas dan rapi, segak, tampan, matanya hitam dan besar, rambutnya panjang dan tebal, suaranya jelas, lehernya jinjang, matanya hitam bercahaya, kelabu asli di sudut-sudut matanya, bulu matanya lembut dan tipis, rambutnya hitam dan ikal, diam khusyuk dan ramah mesra, cantik dan menawan dari jauh dan amat manis dan segak dipandang dari dekat, manis ketika berkata-kata serta jelas kalimat-kalimatnya, tidak lebih dan tidak kurang dari yang perlu, percakapannya tetap, ukuran badannya sederhana, tidak rendah dan tidak terlalu tinggi, seperti setangkai ranting yang segar disunting dari sebatang pohon yang cantik, indah dipandang dan segak bentuknya. Sahabat-sahabatnya sangat setia dan selalu mengelilinginya, mendengar kata-kata dengan diam dan patuh segera akan apa yang diperintahnya, mereka taat, suka kepadanya, tidak banyak cakap dan tidak pula menyembunyikannya" - Diterjemahkan dari Bahasa Arab ke Bahasa Urdu dalam Rahmatul Lil 'Alamin.

[Sumber: Muhammad Pembina Umat oleh Naeem Siddiqi]

..... Bersambung .....

Peribadi Rasulullah S.A.W. - Sepintas Lalu (2)

Sekarang mari kita perhatikan kenyataan-kenyataan orang ramai mengenai rupa bentuk fizikal dan berbagai bahagian tubuh badan Rasulullah:


Wajah

Hind bin Abi Hala: Wajahnya bersinar seperti bulan.

Bara' bin Azib: Wajahnya bulat seperti bulan.

Saidina Ali: Wajahnya tidak terlalu bulat tetapi cenderung kepada bulat.

Hind bin Abi Hala: Dahinya luas, raut kening yang tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan di antara kedua kening itu dan nampak semakin jelas ketika sedang marah.


Warna Kulit

Anas: Tidak putih seperti kapur atau coklat, tetapi campuran antara coklat dan putih, warna putih lebih banyak.

Saidina Ali: Putih kemerah-merahan.

Abu Tufail: Putih tetapi sihat.

Hind bin Abi Hala: Putih dan bercahaya.


Mata

Saidina Ali: Hitam dengan bulu mata yang panjang.

Hind bin Abi Hala: Hitam dan layu, tabiat memandang dari sudut matanya seolah-olah malu.

Jabir bin Samra: Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kelabu asli di bahagian sudut.


Hidung

Hind bin Abi Hala: Agak tinggi bercahaya, penuh misteri, kelihatan luas kali pertama memandangnya.


Mulut

Jabin bin Sabra: Luas.

Hind bin Abi Hala: Sederhana luas.


Gigi

Saidina Ali: Kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian hadapan.

Anas: Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.


Janggut

Hind bin Abi Hala: Penuh dan tebal.


Leher

Hind bin Abi Hala: Kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak dan sangat indah.


Kepala

Hind bin Abi Hala: Besar tetapi elok bentuknya.


Rambut

Qatada: Tidak terlalu lurus dan tidak kerinting seperti biri-biri.

Anas: Sedikit ikal.

Bara' bin Azib: Tebal, kadang-kadang menyentuh telinga dan kadang-kadang mencecah bahu.

Hind bin Abi Hala: Terbelah di tengah-tengahnya.

Saidina Ali dan Hind bin Abi Hala: Tubuhnya tidak mempunyai banyak rambut. Suatu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.

Hind bin Abi Hala: Terdapat sedikit di atas bahu, lengan dan bahagian atas dada.


Struktur Umum

Hind bin Abi Hala: Sempurna binaan badannya, tulang-tulang yang menyambungkan anggota-anggotanya besar dan kukuh.

Saidina Ali: Badannya tidak gemuk.

Anas: Tidak tinggi dan tidak rendah, kecil tetapi berukuran sederhana.

Bara' bin Azib: Cenderung kepada tinggi, di tengah-tengah orang ramai, ia kelihatan lebih tinggi dari orang lain.

Umm-e-Mabad: Perutnya tidak buncit.

Al Mawahib: Sekalipun baginda miskin dan lapar tetapi tubuhnya lebih gagah dan sihat dari orang lain yang cukup makan.

Ibn Umar: Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih berani dan gagah dari Rasulullah.


Bahu Dan Dada

Hind bin Abi Hala: Dadanya bidang dan selaras dengan perut.

Bara' bin Azib: Dadanya bidang.

Hind bin Abi Hala: Luas bidang di antara kedua bahunya lebih dari biaa.

Saidina Ali: Seimbang di antara kedua bahunya.


Lengan Dan Tangan

Hind bin Abi Hala: Pergelangan tangannya besar, lebar tapak tangannya, jari-jari juga besar tersusun dengan cantik.

Anas: Aku tidak pernah menyentuh sebarang sutera, yang tipis mahupun tebal yang lebih lembut dari tapak tangan Rasulullah.


Perut Betis Dan Kaki

Jabir bin Samra: Perut betisnya tidak lembut, tetapi cantik.

Jabir bin Samra: Kakinya berisi, di tapak kakinya terdapat sedikit lekuk dan kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.

Jabir bin Samra: Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.


[Sumber: Muhammad Pembina Umat oleh Naeem Siddiqi]

..... Bersambung .....

Peribadi Rasulullah S.A.W. - Sepintas Lalu

Tokoh-tokoh yang mencapai kejayaan besar di dunia ini, terutamanya nabi-nabi dan pejuang-pejuang pembaharuan adalah dianugerahkan dengan peribadi karisma dan keperibadian inilah yang memberikan mereka kekuatan untuk menggerakkan pembaharuan, memimpin gerakan-gerakan dan membangunkan suatu susunan baru yang berasaskan kepada suatu cara pemikiran tertentu. Justeru itu, dalam usaha mengkaji perjalanan Rasulullah S.A.W., kita seharusnya meneliti dan menilai peribadi pembangun umat manusia ini.

Rupa paras seseorang boleh membantu menjelaskan akan peribadinya. Bentuk binaan tubuh badan, sifat fizikal, rupa bentuk anggota-anggotanya adalah gambaran tentang akal dan akhlaknya. Wajah menggambarkan akal seseorang, ia adalah buku yang sentiasa terbuka bagi menerangkan sifat-sifat sejarah kejayaan yang akan dicapainya pada masa akan datang.

Kita tidak mempunyai apa-apa gambar manusia paling agung ini untuk dilihat kecantikannya, kerana baginda sendiri mengharamkan rupa parasnya diukur atau dilukis, ditakuti ianya akan disalah gunakan atau mungkin disembah. Andainya keadaan itu berlaku maka sudah tentulah ianya membatalkan rukun Islam yang paling asas. Semua gambar-gambar baginda yang dilukis oleh orang-orang bukan Islam adalah khayalan semata-mata dan diilhamkan oleh pandangan mereka yang berat sebelah (bias) tentang Rasulullah. Lantaran itu, kita hanya mempunyai potret-potret lukisan pena oleh sahabat-sahabatnya, yang memberikan gambaran sepintas lalu rupa parasnya.

Abdullah bin Salam ialah seorang Yahudi yang alim, apabila ia melihat sahaja Rasulullah, lantas ia yakin akan benarnya risalah yang dibawa oleh baginda dan beliau terus memeluk Islam. Katanya, "Sebaik sahaja aku melihat Rasulullah, aku sedar bahawa wajah ini bukan wajah seorang penipu."

Seorang sahabat yang lain, Abu Ramsa Taimi berkata, "Aku pergi kepada Rasulullah bersama anak lelakiku dan orang ramai menunjukkan baginda kepadaku. Bila sahaja aku memandangnya lantas aku yakin ia sebenarnya seorang Rasul."

Sebuah kafilah pedagang-pedagang telah datang ke Madinah dan berkhemah di luar kota. Secara kebetulan Rasulullah melalui tempat itu dan membeli seekor unta, baginda berjanji akan mengirim bayaran dari rumahnya. Pemilik unta itu merasa bimbang kerana ia mempercayai seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Tetapi ibunya menjelaskan dengan berkata, "Jangan bimbang, aku telah melihat wajah seorang lelaki yang bersinar seperti purnama. Seorang yang memiliki paras sedemikian tidak akan menipu dan jika ia tidak mengirim bayaran unta itu, aku sendiri akan menjelaskannya." Bagaimanapun kemudian, Rasulullah menghantarkan kepadanya kurma yang bernilai lebih dari harga unta itu.

Telah berkata ibu dan ibu saudara Qarsafa, "Aku belum pernah melihat seorang lelaki yang lebih kacak dari Rasulullah. Aku melihat cahaya memancar dari lidahnya."

Abu Hurairah pernah menyebutkan, "Rasulullah umpama matahari yang bersinar. Aku belum pernah melihat lelaki yang lebih tampan dari Rasulullah."

Rab'ee, anak perempuan Mu'aawaz telah berkata, "Andainya kamu melihat Rasulullah, kamu merasa seolah-olah melihat matahari terbit."

Saidina Ali pernah berkata, "Kali pertama memandangnya, kamu merasa terpesona."

Saidina Jabir Samra mengatakan, "Aku pernah sekali melihat Rasulullah di bawah sinaran bulan dan aku membandingkan wajahnya dengan bulan, akhirnya aku sedari bahawa Rasulullah jauh lebih cantik dari bulan. "

Ka'ab bin Malik mengatakan, "Apabila Rasulullah merasa gembira, wajahnya bercahaya seperti purnama dan dari situ kami mengenali bahawa Rasulullah merasa gembira."

[Rujukan: Muhammad Pembina Umat oleh Naeem Siddiqi]

..... Bersambung ......

08 April 2009

Rindu..


Bismillah..

Antara kenangan terindah dalam hidup ni, bilamana kita punya teman akrab yang sentiasa di sisi ketika senang dan susahnya kita. Ana gembira punya teman yang ramai. Walau sekian lama tidak berjumpa, alhamdulillah hubungan itu masih ada, biar hanya di alam maya.

Lagu ni, khusus buat dua orang teman ana, antara insan yang paling ana sayangi dan rindui. Insan-insan yang pernah menjadi inspirasi buat diri ini. Biarpun kenangan pahit dan manis itu menyakitkan bila dikenang-kenang, namun kenangan itu tetap antara yang terindah dalam hidup ini.

Khas buat sahabat sejatiku:
Nurain binti Mohd Kamal dan Suziliana binti Saari



Sahabat Sejati - UNIC

Judul: Sahabat Sejati
Munsyid: UNIC
Album: See You Di IPT

Ku biar kalam berbicara
Menghurai maksudnya di jiwa
Agar mudah ku mengerti
Segala yang terjadi
Sudah suratan Ilahi

Ku biarkan pena menulis

Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini

Aku telah pun sedaya

Tak melukai hatimu
Mungkin sudah suratan hidupku
Kasih yang lama terjalin
Berderai bagaikan kaca
Oh teman maafkanlah diriku

Oh Tuhan
Tunjukkan ku jalan

Untuk menempuhi dugaan ini
Teman maafkan jika ku melukaimu
Moga ikatan ukhuwah yang dibina
Ke akhirnya

Sahabat
Pertemuan dan perpisahan
Adalah ketentuan Ilahi
Semoga kita terus berada
Di bawah naungan Ilahi
Hingga ke akhirnya


Aku tidak kan terdaya
Menahan hibanya rasa
Kau pergi meninggalkan diriku
Redhalah apa terjadi
Usahlah dikau kesali
Mungkin ada rahmat yang tersembunyi

Buat Ain dan Suzie, maafkan saya andai saya pernah mengguris hati korang. Saya cuma nak cakap, saya rindu sangat kat korang. Dulu kan kita pernah janji susah senang sama-sama. Semoga ukhuwah kita berkekalan. Saya sayang korang. Saya rindu sangat kat korang.

Artikel berkaitan: Ujian Ukhuwah

Pengajaran Dari Pohon Semalu

Pada suatu hari, seorang bapa berjalan-jalan bersama puterinya. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, puterinya terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Puteri itu mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Bapanya dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Puterinya terkejut. Bapanya menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari pohon semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil. Wallahu'alam..

06 April 2009

Berbicara Dengan Dia


Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah kapal-kapal yang belayar di laut seperti gunung-gunung.

Jika Dia mengkehendaki, Dia akan menghentikan angin, sehingga jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang selalu bersabar dan banyak bersyukur.

Atau Dia akan menghancurkan kapal-kapal itu kerana perbuatan dosa mereka, dan Dia memaafkan banyak dari mereka.

Dan agar orang-orang yang membantah tanda-tanda kekuasaan Kami mengetahui bahawa mereka tidak akan memperoleh jalan keluar dari siksaan.

Apapun kenikmatan yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan kenikmatan yang ada di sisi Allah lebih baik dan labih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.

Dan juga bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah segera memberi maaf.

Dan bagi orang-orang yang menerima/mematuhi seruan Tuhan dan melaksanakan solat, sedang urusan mereka diputuskan dengan musyawarah antara mereka, dan mereka menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Dan bagi orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim, mereka membela diri.

Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barangsiapa memaafkan dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat maka pahalanya dari Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang zalim.

Tetapi orang-orang yang membela diri setelah dizalimi, tidak ada alasan untuk menyalahkan mereka.

Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di bumi tanpa mengindahkan kebenaran. Mereka itu mendapat siksaan yang pedih.

Tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.

Dan barangsiapa dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak ada baginya pelindung setelah itu. Kamu akan melihat orang-orang zalim ketika mereka melihat azab mereka berkata, "Adakah kiranya jalan untuk kembali ke dunia?"

[Asy-Syura, 42: 32 - 44]

=======================================================

04 April 2009

Hadith 2: Islam, Iman Dan Ihsan


pillars of islam iman ihsan - xifu and al-gebra


Munsyid: Xifu & The Algebra
Lirik: Hadith 2 dari Hadith 40 syarah Nawawi


Dari Umar R.A. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah S.A.W. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya (bajunya) dan sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya, sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi S.A.W. lalu dia menyandarkan kedua lututnya kepada dua lutut Nabi S.A.W. dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua peha Nabi S.A.W.

Kemudian dia berkata: Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku perihal Islam.

Maka Rasulullah S.A.W. menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau mengeluarkan zakat, dan engkau berpuasa Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya.

Ia berkata: Benarlah engkau!

Maka kami pun tercengang kerana ia yang bertanya dan ia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku perihal iman.

Rasulullah menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikatNya dan segala kitabNya dan para RasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada taqdir baikNya dan burukNya.

Ia berkata: Benarlah engkau!

Kemudian ia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku perihal ihsan.

Rasulullah menjawab: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.

Akhirnya ia berkata (meneruskan pertanyaannya lagi): Maka khabarkan kepadaku perihal Qiamat.

Rasulullah menjawab: Tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada yang bertanya.

Katanya: Kalau begitu, khabarkan kepadaku dari tanda-tandanya sahaja.

Rasulullah menjawab: Tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing berbangga-bangga menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan.

Kemudian ia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama.

Setelah itu, Rasulullah bertanya: Hai Umar! Adakah engkau tahu siapa orang yang bertanya itu?

Kataku: Allah dan RasulNya yang lebih tahu.

Rasulullah berkata: Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.

[Diriwayatkan oleh Muslim]

03 April 2009

Al-Fatihah


2009, dah 16 tahun ana bergelar pelajar (1993 – 2009). Selama ana belajar ni, kawan yang paling lama satu sekolah dan satu batch dengan ana namanya Nurul Huda binti Mat Janum. Kecil molek je orangnya, selalu digelar Puteri Cinderella, sebab dia memang comel dan masa tu heroin drama bersiri Cinderella namanya pun Nurul Huda juga. Di rumah pun rupanya dia memang digelar “Puteri“ dalam keluarga.

Kami satu sekolah sejak tahun 1997 (SKJ 17) sampai 2003 (SMKA TAHAP). Dulu, kami sama-sama dapat panggilan kedua ke sekolah menengah, sebab nama kami tercicir dalam senarai di PPD. Sekolah tu sekolah asrama, lebih kurang 1 jam dari rumah kami. Kami berdua je dari Jengka tu yang belajar kat sana.

Dulu, masa mula-mula belajar di sekolah tu, ayah dia dan ayah ana selalu bergilir-gilir hantar dan jemput kami dari rumah ke asrama. Ayah dia tu Pengurus Felda, agak sibuk. Tapi selalu juga hantar/jemput kami. Ayah dia tu, baik sangat. Kalau ayah ana tak dapat uruskan beberapa hal pasal sekolah, ayah dia la yang tolong ambil kisah. Macam tu la sebaliknya bila ayah dia pula yang sibuk.

Bila keluarga diorang pindah ke Johor, baru la ayah ana je yang hantar/jemput ana. Tapi masa tu Huda masih belajar di sekolah yang sama. Lepas tamat sekolah, kami ada juga berhubung, lagipun adik ana pun satu batch dengan adik dia, diorang pun rapat juga. Ayah ana pula memang baik dengan kakitangan Felda, jadi memang baik dengan ayah dia.

Tengahari tadi, abang ana mesej ana. Dia kata, "Al-Fatihah.. Bekas Pengurus J17, Mat Janum, meninggal dunia pagi tadi.." Ana.. Ana.. Tak tahu nak kata macam mana.. Ana.. Sedih.. Abang kata. "Abah pergi Rawang dah pagi tadi.. Meninggal kat Hospital Selayang..." Ana.. Susah nak percaya.. :’(

Al-Fatihah buat Allahyarham.. Pak Cik Mat Janum.. Semoga Allahyarham berada dalam golongan orang-orang yang beriman.. Ameen.

Zero E-Mail


Alhamdulillah.. Setelah sekian lama tertangguh untuk membaca emel, akhirnya hari ni ana berjaya membaca semua 200+ emel yang ana skip sejak hujung tahun lepas! Tapi banyak juga yang ana transfer ke spam.. Hehe.. Mostly emel-emel yang berbentuk perbualan/sembang-sembang kosong di Yahoogroups (non-UTM)..

02 April 2009

Adab Dalam Berhutang

Bismillahirrahmanirrahim...

"Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila kamu melakukan hutang-piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Janganlah penulis menolak untuk menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkan kepadanya, maka hendaklah dia menuliskan.

Dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah, Tuhannya, dan janganlah dia mengurangi sedikit pun daripadanya.

Jika yang berhutang itu orang yang kurang akalnya atau lemah keadaannya, atau tidak mampu merencanakan sendiri, maka hendaklah walinya merencanakannya dengan benar.

Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi laki-laki di antara kamu. Jika tidak ada saksi dua orang laki-laki, maka boleh seorang laki-laki dan dua orang perempuan di antara orang-orang yang kamu sukai dari para saksi yang ada, agar jika yang seorang lupa maka yang seorang lagi mengingatkannya. Dan janganlah saksi-saksi itu menolak apabila dipanggil.

Dan janganlah kamu bosan menuliskannya, untuk batas waktunya baik hutang itu kecil mahupun besar. Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah, lebih dapat menguatkan kesaksian, dan lebih mendekatkan kamu kepada ketidakraguan, kecuali hal itu merupakan perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu jika kamu tidak menuliskannya.

Dan ambillah saksi apabila kamu berjual beli, dan janganlah penulis dipersulit dan begitu juga saksi. Jika kamu lakukan yang demikian, maka sungguh, hal itu suatu kefasikan pada kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah, Allah memberikan pengajaran kepadamu, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

[Al-Baqarah, 2: 282]

01 April 2009

Hadith 1: Segala Amal Dengan Niat


Niat - xifu and al-gebra

Munsyid: Xifu & The Algebra - Mu'az
Lirik: Hadith 1 dari Hadith 40 Syarah Nawawi

Ertinya:

Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat
Dan sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada apa yang diniatkan

Barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya
Maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya

Dan barangsiapa hijrahnya kepada dunia yang dia ingini
Atau wanita yang ingin dinikahinya
Maka hijrahnya kepada apa yang dihajatinya

==================================================

Warkah Buat Ibu

Ibu..

Dengan sapaan itu aku memanggilnya. Setahun tak kukunjungi. Ibu memang tampak banyak berubah. Dia kelihatan lebih tua dari usia sebenarnya. Beberapa orang yang baru mengenalnya pasti selalu salah meneka umurnya. Kerananya, ibu pernah menangis saat aku menelefon, seraya mengatakan dirinya semakin renta di usianya yang baru setengah abad. Hanya satu yang tak pernah berubah dari ibu. Kerinduan dan rasa cinta yang selalu siap mengguyuri anak-anaknya, bahkan cucunya, menutupi kerapuhan fizikalnya. Rasa itu tak pernah pudar dan hilang dari sisinya.

Mata yang berpinar-pinar penuh cinta itulah yang kutemui saat aku pulang ke kampung halaman beberapa bulan yang lalu. Dengan kekurangannya, dia memang tak mampu lagi menjemputku di lapangan terbang. Ibu hanya mampu menyambutku yang datang beserta keluarga di muka pintu. Pelukannya sama sekali tidak berubah. Luruh memberikan kenyamanan dan kehangatan. Hanya ciuman di keriput pipinya yang memang menandakan dia semakin direnggut usia.

Ibu tampak sangat letih di usianya. Tangannya yang dulu sanggup membuat roti jala dan kuah kari serta nasi lemak, kini tampak payah. Tapi dengan fitrahnya, ibu tak pernah lalai memanjakan anak-anaknya, orang lain dimintanya untuk memasakkan. Kerana dia tahu, makanan itu adalah makanan kesukaanku.

Ringkih dan renta. Hanya itu yang tampak pada ibu. Namun, selama kehadiranku dan keluarga di sisinya, ibu tampak sihat. Dia senang diajak berjalan-jalan. Ibu juga tertawa riang bahkan tampak berbahagia saat melihat tingkah dan kenakalan cucu-cucunya. Makan menjadi betambah lahap, dan tidur pun semakin lelap. Ternyata ibu perlukan perhatian yang lebih dari anak-anaknya.

Kesepian yang kadangkala menggoda dan membelenggu, membuat ibu selalu tampak termenung dan mengelamun. Kerananya, tatapan kosong dan mata yang menerawang menjadi rutin biasa. Sikap dan kata-kata yang lemah lembut dari anaknya pun mescaya bagai embun pagi yang akan menelisik dan membasahi rongga jiwa ibu. Ibu tak perlu wang, kerana yang diperlukannya hanyalah kunjungan anak-anaknya, cucu atau keluarga yang membawa seikat bunga kasih sayang.

Ibu..

Dia adalah seseorang yang sangat berharga dalam hidupku, yang begitu menyayangiku hingga terkadang terlalu berlebihan. Pernah dulu ibu sukar melepaskanku untuk segera bernikah, kerana takut akan melupakan dirinya. Dan ibu juga pernah menangis kerana janjiku untuk membantunya ke Makkah menjadi tertunda.

Kini ibu terlihat lebih sihat dan bahagia. Alhamdulillah.. Dengan sedikit wang yang telah kuasingkan akan memenuhi cita-citanya dan juga ayah untuk memenuhi panggilan Allah, ke Tanah Suci Makkah, insyaAllah.

Pada ketika ibu menghantarku ke lapangan terbang, ibu sempat berkata, “Doakan ibu cepat sembuh ya, sehingga dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna”. Mata ibu mengabur. Lalu tampak wajahnya beruah air mata. Aku tak kuasa menahan, air mataku pun tumpah.

Ibu..

Ini anakmu, yang sedang menuntut ilmu, jauh dari sisimu. Anak yang selalu sibuk hingga terkadang menghalangi untaian doa terhatur untukmu. Anak yang tak pernah menyenangkanmu, ibu. Menyusahkanmu di masa kecil, dan sering mengecewakanmu di masa kanakku.

Ibu..

Anakmu ini tak mampu, bahkan tak akan pernah dapat membahagiakanmu. Membalas segala pengorbanan yang telah kau berikan selama hidupku. Maafkan anakmu ini, ibu. Maafkan kalau lidah ini pernah terucap kata kasar hingga membuat goresan luka di hatimu. Maafkan pula jika mata ini pun pernah sinis memandang dan telinga yang tak pernah mengacuhkan nasihat darimu.

Ibu..

Anakmu ini hanya mampu dan hanya selalu pandai meminta, sama sekali tak pernah memberi. Doakan, dan pohonkan dariNya agar aku bahagia di dunia dan di akhirat. Saat engkau nanti bersujud kala tahajud dalam pekatnya malam, hingga nanti engkau tiba di Makkah, hantarkan untukku sebentuk doa. Kerana aku tahu, doamu pasti dijabah Allah.

Ibu..

Begitu jauh jarak yang terbentang antara kita. Jarak yang selalu melahirkan kerinduan dalam riak anak sungai di pelupuk mata. Sesungguhnya, tak ingin jasad ini terbang menjauhimu, ibu. Pun ingin rasanya aku selalu mendakap tubuhmu yang mulai sepuh lalu bermanja di pangkuanmu. Melepaskan rindu dalam belai kasih sayang dan mendengar indahnya ceritamu, setiap detik dalam rahim, gendongan dan pelukan, bagai masa kecilku dulu.

Ibu..

Kini air mataku berderai, kerana terlalu rindu dengan belai kasih sayangmu. Tapi aku tahu, engkau lebih merindukan kehadiran anak-anakmu. Aku akan pulang, ibu.

Ibu..

Tak akan pernah keindahan dunia ini dapat menggantikan indahnya cintamu. Riuh rendah pesona dunia pun tak ada ertinya ketika Syurga terletak di telapak kakimu. Kerana dirimu begitu indah, ibu. Indah.. Bahkan sangat dan teramat indah dalam alunan keikhlasan cinta seorang ibu tercinta.

Terima kasih, ibu.


*Diambil dari blog lama*
Design by Abdul Munir
Modified by Kapt Ir Dr