Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

03 March 2010

Sumayyah

Judul: Sumayyah
Munsyid: Mawaddah

Sejarahmu dikenang sepanjang zaman
Kau berkorban jiwa untuk cinta agungmu
Kekuatan iman menjadi tauladan
Tuhanlah segala-galanya

Kecintaanmu pada Allah
Menguatkan diri mulia
Sumayyah

Engkau sanggup mengorbankan nyawa
Untuk agama Islam tercinta
Beruntunglah kami kerana memiliki serikandi sepertimu

Pada jasad lahir engkau hamba manusia
Tapi hatimu hamba pada Tuhan
Kerana itulah jiwamu bebas merdeka
Walau jasadmu diseksa

Jiwamu bebas dari cinta dunia dan takut mati
Kaulah serikandi

Pengorbananmu bermakna
Untuk kebangkitan Islam
Generasi penerusmu
Menjelajah seluruh dunia

Hingga kami beriman pada Tuhan
Hasil dakwah dari mereka

Pengorbananmu mendidik manusia
Hasil cinta Tuhan dan kasih sesama
Mengorbankan diri demi keimanan
Dan keselamatan seluruh manusia

Semoga kami dapat cintakan Tuhan
Lebih dari yang lainnya
Semoga kami dapat hidup mulia seperti mu
Wahai Sumayyah

Sumayyah

Pengorbananmu bermakna
Untuk kebangkitan Islam
Generasi penerusmu
Menjelajah seluruh dunia

Hingga kami beriman pada Tuhan
Hasil dakwah dari mereka

Semoga Allah membalasi jasamu
Dengan Syurga yang kekal abadi
Semoga Tuhan sudi menganugerahkan
Kekuatan iman seperti imanmu

Semoga kami dapat cintakan Tuhan
Lebih dari yang lainnya
Semoga kami dapat hidup mulia seperti mu
Wahai Sumayyah




Gratisan Musik

09 April 2009

Peribadi Rasulullah S.A.W. - Sepintas Lalu (3)

Gambaran yang paling jelas mengenai Rasulullah telah disampaikan oleh seorang perempuan tua. Rumahnya pada suatu masa pernah disinggahi oleh Rasulullah dalam perjalanannya dari Gua Thur, Madinah. Kelihatan Rasulullah itu menyebabkan kambing kepunyaan perempuan itu mengeluarkan susu dengan banyaknya. Walaupun Rasulullah dan sahabat-sahabatnya dapat meminumnya sehingga kekenyangan, namun masih banyak bakinya yang tinggal. Apabila suaminya pulang dan melahirkan rasa hairannya, wanita tua itu menggambarkan Rasulullah dengan kata-kata berikut:

"Rupa parasnya kacak, mukanya bercahaya, tingkah lakunya menyenangkan, perutnya tidak memboyot, rambutnya kemas dan rapi, segak, tampan, matanya hitam dan besar, rambutnya panjang dan tebal, suaranya jelas, lehernya jinjang, matanya hitam bercahaya, kelabu asli di sudut-sudut matanya, bulu matanya lembut dan tipis, rambutnya hitam dan ikal, diam khusyuk dan ramah mesra, cantik dan menawan dari jauh dan amat manis dan segak dipandang dari dekat, manis ketika berkata-kata serta jelas kalimat-kalimatnya, tidak lebih dan tidak kurang dari yang perlu, percakapannya tetap, ukuran badannya sederhana, tidak rendah dan tidak terlalu tinggi, seperti setangkai ranting yang segar disunting dari sebatang pohon yang cantik, indah dipandang dan segak bentuknya. Sahabat-sahabatnya sangat setia dan selalu mengelilinginya, mendengar kata-kata dengan diam dan patuh segera akan apa yang diperintahnya, mereka taat, suka kepadanya, tidak banyak cakap dan tidak pula menyembunyikannya" - Diterjemahkan dari Bahasa Arab ke Bahasa Urdu dalam Rahmatul Lil 'Alamin.

[Sumber: Muhammad Pembina Umat oleh Naeem Siddiqi]

..... Bersambung .....

Peribadi Rasulullah S.A.W. - Sepintas Lalu (2)

Sekarang mari kita perhatikan kenyataan-kenyataan orang ramai mengenai rupa bentuk fizikal dan berbagai bahagian tubuh badan Rasulullah:


Wajah

Hind bin Abi Hala: Wajahnya bersinar seperti bulan.

Bara' bin Azib: Wajahnya bulat seperti bulan.

Saidina Ali: Wajahnya tidak terlalu bulat tetapi cenderung kepada bulat.

Hind bin Abi Hala: Dahinya luas, raut kening yang tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan di antara kedua kening itu dan nampak semakin jelas ketika sedang marah.


Warna Kulit

Anas: Tidak putih seperti kapur atau coklat, tetapi campuran antara coklat dan putih, warna putih lebih banyak.

Saidina Ali: Putih kemerah-merahan.

Abu Tufail: Putih tetapi sihat.

Hind bin Abi Hala: Putih dan bercahaya.


Mata

Saidina Ali: Hitam dengan bulu mata yang panjang.

Hind bin Abi Hala: Hitam dan layu, tabiat memandang dari sudut matanya seolah-olah malu.

Jabir bin Samra: Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kelabu asli di bahagian sudut.


Hidung

Hind bin Abi Hala: Agak tinggi bercahaya, penuh misteri, kelihatan luas kali pertama memandangnya.


Mulut

Jabin bin Sabra: Luas.

Hind bin Abi Hala: Sederhana luas.


Gigi

Saidina Ali: Kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian hadapan.

Anas: Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.


Janggut

Hind bin Abi Hala: Penuh dan tebal.


Leher

Hind bin Abi Hala: Kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak dan sangat indah.


Kepala

Hind bin Abi Hala: Besar tetapi elok bentuknya.


Rambut

Qatada: Tidak terlalu lurus dan tidak kerinting seperti biri-biri.

Anas: Sedikit ikal.

Bara' bin Azib: Tebal, kadang-kadang menyentuh telinga dan kadang-kadang mencecah bahu.

Hind bin Abi Hala: Terbelah di tengah-tengahnya.

Saidina Ali dan Hind bin Abi Hala: Tubuhnya tidak mempunyai banyak rambut. Suatu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.

Hind bin Abi Hala: Terdapat sedikit di atas bahu, lengan dan bahagian atas dada.


Struktur Umum

Hind bin Abi Hala: Sempurna binaan badannya, tulang-tulang yang menyambungkan anggota-anggotanya besar dan kukuh.

Saidina Ali: Badannya tidak gemuk.

Anas: Tidak tinggi dan tidak rendah, kecil tetapi berukuran sederhana.

Bara' bin Azib: Cenderung kepada tinggi, di tengah-tengah orang ramai, ia kelihatan lebih tinggi dari orang lain.

Umm-e-Mabad: Perutnya tidak buncit.

Al Mawahib: Sekalipun baginda miskin dan lapar tetapi tubuhnya lebih gagah dan sihat dari orang lain yang cukup makan.

Ibn Umar: Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih berani dan gagah dari Rasulullah.


Bahu Dan Dada

Hind bin Abi Hala: Dadanya bidang dan selaras dengan perut.

Bara' bin Azib: Dadanya bidang.

Hind bin Abi Hala: Luas bidang di antara kedua bahunya lebih dari biaa.

Saidina Ali: Seimbang di antara kedua bahunya.


Lengan Dan Tangan

Hind bin Abi Hala: Pergelangan tangannya besar, lebar tapak tangannya, jari-jari juga besar tersusun dengan cantik.

Anas: Aku tidak pernah menyentuh sebarang sutera, yang tipis mahupun tebal yang lebih lembut dari tapak tangan Rasulullah.


Perut Betis Dan Kaki

Jabir bin Samra: Perut betisnya tidak lembut, tetapi cantik.

Jabir bin Samra: Kakinya berisi, di tapak kakinya terdapat sedikit lekuk dan kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.

Jabir bin Samra: Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.


[Sumber: Muhammad Pembina Umat oleh Naeem Siddiqi]

..... Bersambung .....

Peribadi Rasulullah S.A.W. - Sepintas Lalu

Tokoh-tokoh yang mencapai kejayaan besar di dunia ini, terutamanya nabi-nabi dan pejuang-pejuang pembaharuan adalah dianugerahkan dengan peribadi karisma dan keperibadian inilah yang memberikan mereka kekuatan untuk menggerakkan pembaharuan, memimpin gerakan-gerakan dan membangunkan suatu susunan baru yang berasaskan kepada suatu cara pemikiran tertentu. Justeru itu, dalam usaha mengkaji perjalanan Rasulullah S.A.W., kita seharusnya meneliti dan menilai peribadi pembangun umat manusia ini.

Rupa paras seseorang boleh membantu menjelaskan akan peribadinya. Bentuk binaan tubuh badan, sifat fizikal, rupa bentuk anggota-anggotanya adalah gambaran tentang akal dan akhlaknya. Wajah menggambarkan akal seseorang, ia adalah buku yang sentiasa terbuka bagi menerangkan sifat-sifat sejarah kejayaan yang akan dicapainya pada masa akan datang.

Kita tidak mempunyai apa-apa gambar manusia paling agung ini untuk dilihat kecantikannya, kerana baginda sendiri mengharamkan rupa parasnya diukur atau dilukis, ditakuti ianya akan disalah gunakan atau mungkin disembah. Andainya keadaan itu berlaku maka sudah tentulah ianya membatalkan rukun Islam yang paling asas. Semua gambar-gambar baginda yang dilukis oleh orang-orang bukan Islam adalah khayalan semata-mata dan diilhamkan oleh pandangan mereka yang berat sebelah (bias) tentang Rasulullah. Lantaran itu, kita hanya mempunyai potret-potret lukisan pena oleh sahabat-sahabatnya, yang memberikan gambaran sepintas lalu rupa parasnya.

Abdullah bin Salam ialah seorang Yahudi yang alim, apabila ia melihat sahaja Rasulullah, lantas ia yakin akan benarnya risalah yang dibawa oleh baginda dan beliau terus memeluk Islam. Katanya, "Sebaik sahaja aku melihat Rasulullah, aku sedar bahawa wajah ini bukan wajah seorang penipu."

Seorang sahabat yang lain, Abu Ramsa Taimi berkata, "Aku pergi kepada Rasulullah bersama anak lelakiku dan orang ramai menunjukkan baginda kepadaku. Bila sahaja aku memandangnya lantas aku yakin ia sebenarnya seorang Rasul."

Sebuah kafilah pedagang-pedagang telah datang ke Madinah dan berkhemah di luar kota. Secara kebetulan Rasulullah melalui tempat itu dan membeli seekor unta, baginda berjanji akan mengirim bayaran dari rumahnya. Pemilik unta itu merasa bimbang kerana ia mempercayai seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Tetapi ibunya menjelaskan dengan berkata, "Jangan bimbang, aku telah melihat wajah seorang lelaki yang bersinar seperti purnama. Seorang yang memiliki paras sedemikian tidak akan menipu dan jika ia tidak mengirim bayaran unta itu, aku sendiri akan menjelaskannya." Bagaimanapun kemudian, Rasulullah menghantarkan kepadanya kurma yang bernilai lebih dari harga unta itu.

Telah berkata ibu dan ibu saudara Qarsafa, "Aku belum pernah melihat seorang lelaki yang lebih kacak dari Rasulullah. Aku melihat cahaya memancar dari lidahnya."

Abu Hurairah pernah menyebutkan, "Rasulullah umpama matahari yang bersinar. Aku belum pernah melihat lelaki yang lebih tampan dari Rasulullah."

Rab'ee, anak perempuan Mu'aawaz telah berkata, "Andainya kamu melihat Rasulullah, kamu merasa seolah-olah melihat matahari terbit."

Saidina Ali pernah berkata, "Kali pertama memandangnya, kamu merasa terpesona."

Saidina Jabir Samra mengatakan, "Aku pernah sekali melihat Rasulullah di bawah sinaran bulan dan aku membandingkan wajahnya dengan bulan, akhirnya aku sedari bahawa Rasulullah jauh lebih cantik dari bulan. "

Ka'ab bin Malik mengatakan, "Apabila Rasulullah merasa gembira, wajahnya bercahaya seperti purnama dan dari situ kami mengenali bahawa Rasulullah merasa gembira."

[Rujukan: Muhammad Pembina Umat oleh Naeem Siddiqi]

..... Bersambung ......
Design by Abdul Munir
Modified by Kapt Ir Dr