Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

21 October 2017

Tak Sempat Lipat Kain? Ini Tips Untuk Anda.

Pakaian adalah satu keperluan yang kita gunakan setiap hari. Justeru, tidak boleh tidak pakaian haruslah diuruskan setiap hari tanpa gagal. Jika sekali kita culas dalam mengurus pakaian, maka ia akan menjadi satu tabiat yang sukar untuk dipulihkan kembali. Apatah lagi jika tabiat itu sudah sebati dalam diri sejak kecil lagi.

Namun, hari demi hari ramai dalam kalangan kita yang sudah muak untuk menguruskan pakaian atas berbagai alasan seperti tidak sempat, sudah bosan, sakit pinggang atau malas. Seringkali juga pakaian terkumpul berhari-hari atau berminggu-minggu tanpa dilipat dan disusun dalam almari.

Jadi hari ini saya kongsikan beberapa tips dalam pengurusan pakaian agar lebih teratur, menjimatkan masa dan tenaga.

1. Hanya SATU atau DUA (baju putih diasingkan) raga baju kotor untuk satu rumah. Jangan sesekali biasakan satu raga satu bilik atau satu raga setiap orang, kerana ia memerlukan banyak masa dan tenaga untuk membawa semua raga ke mesin basuh.

2. Setelah baju dibasuh dan dikeringkan oleh mesin, gunakan HANGER untuk menjemur semua pakaian, kecuali kain yang tidak boleh digantung seperti cadar, selimut, tuala, langsir dll. Setkan WARNA HANGER untuk setiap orang. Gantung pakaian terus mengikut warna hanger masing-masing.

3. Semasa menjemur, SUSUN pakaian terus mengikut warna hanger tadi, ia akan memudahkan proses mengangkat pakaian nanti.

4. Setelah pakaian kering, boleh terus angkat dan masukkan ke dalam almari pakaian masing-masing, mengikut warna hanger. Tak perlu lipat, yeay!

5. Hanya lipat kain-kain yang tidak digantung tadi. Lipat sambil berdiri je sis, sebab senang sangat kan lipat cadar, tuala, dll tu. Pakaian dalam dimasukkan ke dalam bakul kecil secara berasingan mengikut individu.

Siap! Jimat masa dan tenaga tak? Dulu sakit pinggang lipat kain, ambil masa yang lama sebab baju anak-anak dilipat sekali dengan seluar sepasang-sepasang. Tambah pula ada tangan-tangan kecil tolong melipat sekali, mereputlah kita depan TV lipat kain berkali-kali. Sekarang dah tak perlu lagi duduk lama melipat kain. Mata pun dah tak serabut lagi. :-)

Bonus Tips:

1. Pakaian-pakaian yang jarang dipakai hendaklah dilipat untuk menjimatkan ruang. Bagi pakaian yang sudah tidak digunakan seperti pakaian bayi baru lahir, simpan dalam kotak atau beg berzip. Saya beli beg kecil-kecil untuk setokin dan topi bayi, beli di Eco Shop je. Dah nak ada baby baru nanti baru keluarkan semula. :-)

2. Almari mahal? Tak perlu almari mahal-mahal, kerana jika pakaian disusun kemas, tiada pintu almari pun tiada masalah. Cukup dengan DOUBLE POLE GARMENT RACK pun sudah memadai untuk setiap orang. Hanya RM30/set ketika promosi di Tesco. Susunlah semua rack dengan elok, kalau bijak menyusun boleh nampak macam closet tau.

Garment rack boleh bertahan lama jika kita menggunakannya dengan betul dan pandai menjaganya. Setkan tiang belakang tinggi, dan tiang depan pada kedudukan paling rendah. Saya guna almari dan rak berpalang sedia ada di kuarters kami. Sebelum ni guna garment rack sahaja. Kalau balik kampung berbulan-bulan waktu berpantang pun saya bawa garment rack tu.

Sekian saja perkongsian dari saya. Para suami jangan merungut kalau isteri minta beli hanger banyak-banyak lepas ni. Untuk kekemasan rumah anda juga. Beli hanger di Eco Shop je, yang penting seragam.

Jika ada yang mahu tambah tips, sangat dialu-alukan untuk berkongsi! Terima kasih.

*Terpaksa jemur kain dalam rumah, sebab kuarters kami tak ada balkoni mengadap ke luar. Jika menjemur kain di luar rumah, pastikan pakaian dijemur secara terbalik bagi mengurangkan risiko warna pakaian luntur.

10 July 2017

Selamat Hari Lahir Sayang

Assalamu'alaikum, anak ummi Atikah Humaira binti Mohd Zulhelmi..

Selamat ulangtahun hari kelahiran yang pertama, sayang..

Terima kasih, anak ummi sayang.. Malam ni ummi masih berpeluang memangku dan memeluk anak ummi, sebab anak ummi kuat..

Malam ni ummi masih mampu menatap wajah anak ummi, sebab anak ummi terus gigih melawan pembunuh dalam badan anak ummi..

Malam ni ummi masih boleh cium anak ummi, sebab Allah tahu ummi belum mampu kehilangan anak ummi..

Maafkan ummi, sayang.. Sebab ummi selalu cuai menjaga anak ummi yang kecil ni.. Ummi lalai sampai anak ummi hampir pergi dari ummi..

Atikah Humaira.. Ummi rindukan senyuman Atikah.. Ummi rindu Atikah yang sangat suka merangkak mencari ummi di tengah gelap malam dan cium pipi ummi waktu ummi tengah tidur.. Ummi rindu Atikah yang belum pernah sekali pun berenggang dengan ummi..

Atikah Humaira.. Hanya Allah yg Maha Tahu apa yang ummi rasa waktu doktor khabarkan berita, Atikah menghidap kanser.. Untuk sampaikan pada abi pun ummi tak mampu.. Ummi hanya mampu pandang muka Atikah, ummi peluk, ummi cium anak ummi.. Air mata ummi tumpah tapi ummi kena bertahan..

Depan doktor ummi menangis.. Depan abi ummi menangis.. Dalam solat ummi menangis.. Dalam doa ummi menangis.. Tiga hari ummi beri tempoh masa untuk ummi menangis.. Sampailah ummi tekad, ummi takkan menangis lagi depan sesiapa, kecuali depan Dia.. Hanya di tikar sejadah ummi menangis..

Atikah, anak ummi yang sejak lahir sampai hari ni tak pernah menolak bila ummi cium pipi.. Anak ummi yang sejak pandai merangkak hari-hari merangkak mencari ummi hanya untuk cium pipi ummi..

Selamat ulangtahun hari kelahiran yang pertama, Atikah Humaira, sayang..

Mudah-mudahan Allah memudahkan penyembuhan Atikah.. Allah rahmati, berkati dan redhai Atikah.. InshaAllah.. Amiiin.

**********

0100HRS
10 Julai 2017
Katil 25, Bilik 7, Wad KK3,
Institut Pediatrik, HKL.

11 June 2017

Ujian Ramadan 1438

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad S.A.W, rasul utusan Allah.

Ramadan 1438. Telah tertulis bahawa kami akan diuji dengan ujian yang tak kami sangkakan. Tanggal 31 Mei 2017, anakanda kami yang ketiga, Atikah Humaira binti Mohd Zulhelmi disyaki menghidap kanser. Namun sehingga hari ini (11 Jun 2017) kami masih belum tahu apakah jenis kanser yang dihidapi. Kami masih berharap dan berdoa agar keputusan ujian sampel sel nanti menunjukkan bahawa Atikah tidak menghidap sebarang kanser. InshaAllah, amiiin. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala perkara.

Ramai yang bertanya apa simptom yang Atikah alami. Dalam post ini akan saya tuliskan beberapa simptom yang saya perasan. Kebanyakannya simptom biasa, yang saya menyesal kerana mengabaikannya dulu. Allahuakbar. Tangisan-tangisan saya untuk Atikah bukan kerana mempersoalkan mengapa Allah uji kami dengan ujian ini, tapi lebih kepada menyesal kerana saya abaikan tanda-tanda yang Atikah tunjukkan. Atikah seolah-olah cuba beritahu yang dia sakit dan tidak selesa, tapi saya tak faham. Anakandaku Atikah, maafkan ummi... T_T

1. Tidak meniarap (menyusur), terus merangkak.

Jika ada yang perasan, saya pernah post tentang ini di FB saya. Ya, Atikah meniarap sekejap, tidak menyusur, tapi terus berusaha mengangkat perut dan merangkak. Nampak biasa kan? Allahuakbar. Tapi tak semestinya ini petandanya. Cuma kemungkinan sahaja. Waktu ni Atikah sangat cergas dan ceria.

2. Tidak mahu tidur meniarap, berkeras mahu telentang.

Mulanya saya fikir dia hanya "tidak suka", tapi rupanya dia "tidak selesa". Bukan saja mahu telentang, malah lebih selesa jika telentang dan mendongak. Seperti jika kita tidur berlapikkan bantal di belakang badan. Macam orang pregnant, kan selesa begitu. Mendongak pula mungkin kerana lebih baik untuk pernafasannya.

3. Merangkak perlahan-lahan dan berhati-hati.

Atikah mula merangkak pada umur 7 bulan. Biasanya makin lama merangkak makin laju, kan? Tapi pada usia 10 bulan, Atikah masih merangkak perlahan-lahan dan berhati-hati. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang dikendongnya. Allahuakbar. Sesuatu yang saya perasan tapi saya abaikan. Disebabkan Atikah sudah pandai berdiri sambil berpaut, jadi saya abaikan kelainan pada fasa merangkak tu.

4. Berguling ketika menyusu.

Ini berlaku dalam dua minggu sebelum saya bawa Atikah ke klinik. Mahu menyusu waktu tengah malam itu biasa. Berguling waktu menyusu pun biasa, kan? Mulanya saya fikir kerana dia kepanasan, rupanya lagi sekali, dia tidak selesa.

5. Tidak lalu makan.

Biasanya Atikah makan banyak juga. Setiap kali suap abangnya Ammar dan kakaknya Asma, saya akan penyek-penyekkan nasi tu dan suap Atikah. Tapi tiba-tiba Atikah tak lalu makan, mendadak. Dia hanya mahu sup, yang lain dari tu hanya akan dikemam dan diluak.

6. Kuat berpeluh dan berbau.

Berpeluh yang menyebabkan berbau terutamanya ketika menyusu. Bau ni saya perasan di bahagian kepala, sebab masa menyusu hidung memang dekat dengan kepala anak.

7. Bengkak kelopak mata atas.

Dalam masa seminggu, kelopak mata Atikah bengkak. Dibawa ke klinik, dirujuk ke HSI, JB. Doktor di klinik pakar mata HSI beri antibiotik untuk dua minggu. Kemudian saya minta follow up di HAT Tengku Mizan, Wangsa Maju, KL sebab kami dah nak balik KL. Tak sempat further follow up tentang mata, kami perasan tanda yang ke-8.

8. Perut kembung dan terasa ada benda keras di bawah perut.

Masa ni dah hampir sebulan mata Atikah bengkak. Saya tanya suami, "Perut Atikah keras, kan?" dan suami pun mengiyakan. Sebab suami selalu urut-urut badan anak dan mandikan anak. Jadi dia pun perasan. Mulanya saya fikir tahi keras, tapi kerasnya lagi keras daripada tu. Esoknya terus bawa Atikah ke klinik. Dengan sekali pegang je, doktor KK DTHO discuss dan decide untuk dirujuk ke bahagian surgery, paeds HKL.

Terus pack barang untuk duduk wad seminggu. Di klinik pakar pediatrik bahagian surgery HKL, dengan sekali pegang juga, doktor terus check ikut punggung. Nyata bukan tahi. Doktor minta buat ultrasound terus. Tapi sebab dah petang, tak sempat buat. Kami balik rumah dulu dan datang balik pagi esoknya. Esoknya sebelum 8:00 pagi lagi kami dah sampai HKL.

Sekian dulu untuk post kali ni. Sungguh tak sangka saya akan menaip tentang ini hari ini. Kelemahan saya, adalah bila anak sakit. Dan Allah uji saya dengan ujian kesihatan anak.

Buat masa ni keputusan ujian sampel sel Atikah masih belum keluar. Walaupun doktor dah confirm ia kanser, tapi belum tahu jenis kanser. Kami masih berharap dan berdoa bahawa ia bukanlah kanser. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, kan? Kami takkan putus berdoa agar Atikah tidak menghidap sebarang kanser.

Mohon doakan Atikah kembali sihat seperti sediakala, dan memberi respon +ve pada setiap rawatan yang diberi. InshaAllah. Mudah-mudahan Allah pelihara kita semua dari sebarang penyakit kronik. Amiiin.

Wallahua'lam.

11 April 2012

Doa


Bismillah..

Entry kali ni lebih kepada kehidupan. Tapi bukanlah bermaksud entry2 yang sebelum ni more kepada kematian ye. One of the meaning of "Aishah" is "kehidupan" :)

Alhamdulillah, kini sudah 7 bulan saya berumahtangga (rumah kat tingkat 3, takde lift, huhu). Sekarang, dah 3 bulan suami operasi di Sabah. Hari2 dia call ^_^ dan next week dia balik, insyaAllah (yay!). Masa2 merindu selalunya akan view gambar2 kahwin dan honeymoon, melihat sambil berfikir.. Teringat satu perbualan dengan naqibah satu masa dulu..

Topik mu'ayasyah dalam kereta hari tu sedikit sebanyak sentuh pasal perkahwinan dan calon suami. Masa tu saya masih dalam proses untuk berkahwin. Ada dibincangkan tentang ciri2 suami yang diimpikan. Biasalah, semua orang nak yang beriman dan blablablablabla kan. Jadi tak perlulah saya sebut di sini.

Selain tu, saya pun sebut la 3 ciri lain. As manusia biasa, saya nak dia seorang yang bukan perokok, tak terlalu fanatik dengan bola dan tak suka pakai jeans (heheh). Alhamdulillah, my hubby menepati ketiga2nya :) mudah2an berkekalan. Naqibah kata, alhamdulillah, dia dapat suami yang menepati ciri2 ukhrawi dan duniawi yang dia nak. Dia kata lagi, Allah tu memang sangat baik kan ^_^ Semua yang kita nak, insyaAllah kita dapat.

Alhamdulillah.. Saya percaya, setiap dari kita sebenarnya ada banyak lagi ciri yang kita nak pada pasangan kita. Tak kiralah ukhrawi atau duniawi. Sama macam saya, ciri duniawi yang disebut hari tu ada 3 je, tapi dalam hati ada banyak lagi. Kadang2 handsome pun termasuk dalam doa, haha. Jangan gelak kuat sangat, anda pun sama agaknya? Heheh. Angguk2 geleng2.

Kita beriman bahawa Allah sangat adil dalam menentukan kehidupan kita. Dan kita juga beriman bahawa Allah sangat ingin menunaikan harapan2 setiap dari kita. Cuma syaratnya, kita mesti berdoa pada Dia. Biar sebanyak mana pun yang kita mahu, sebutlah dalam doa2 kita. Biarpun kadang2 rasa segan nak sebut ciri yang bukan2 kan, rasa macam eh malulah nak minta kat Allah macam tu. Tapi yakinlah, kalau kita tak sebut pun Allah dah tahu lah, hehe. So lebih baik sebut, dapat juga pahala berdoa. ^_~

Ada juga segelintir yang fikir bahawa kacak/cantik tu adalah "low-class" punya permintaan. Biasalah, iman tengah tinggi menggunung kot time tu. Dalam otak dia fikir ukhrawi jeeee. Dalam borang BM 'haram' bagi dia tulis ciri2 duniawi (heheh). Tapi bagi saya, kita manusia biasa. Itu fitrah. Cuma bezanya ciri duniawi tu di tangga keutamaan yang mana. Kecantikan itu subjektif. Bak kata (tuuuuut...), "kecantikan itu pada mata yang memandang". Ada orang kata dia kacak, ada orang kata "sorry, not my taste". Haha. Dan Allah akan bagi sesuai dengan taste kita.

Hm.. Masih dalam mood rindu suami (huhu).. Video nikah entah dah berapa ribu kali tengok. Khutbah nikah tu betul2 boleh remind semula tanggungjawab suami-isteri. Jadi guidance untuk muhasabah diri. Review gambar lagi.. Lagi.. Dan lagi.. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa. Doa agar mata ni sentiasa melihat wajah suami sebagai wajah yang benar2 menyejukkan hati. Apa pun aksinya, ada satu perasaan yang indah dalam hati tiap kali melihatnya.. :)
Fikir lama2.. Rupanya banyak sangat ciri pasangan yang saya nak tapi dulu saya malu nak sebut dalam doa, tapi Allah tetap bagi juga.. Allah tu memang baik sangat.. kan.. :') Ruginya dulu tak sebut dalam doa, dah kurang pahala, huhu.

Kesimpulannya, jangan malu untuk berdoa. Jangan malu meminta pada Dia yang lebih mengenali diri kita berbanding diri kita sendiri. Dia Maha Tahu siapa kita sebelum lahir, siapa kita kini malah siapa kita esok, lusa, minggu depan, tahun depan dan siapa kita di akhirat nanti. Adakalanya doa itu boleh menjadi rahsia hanya antara kita dan DIA. :)

15 April 2010

Senandung Anak Pejuang

Munsyid: Adikku Sayang
Album: Zikir Fikir
Judul: Senandung Anak Pejuang

Pada kelembutan seraut senyuman
Pada kelunakan tutur perkataan
Ada terlukis warna kerinduan
Terkenang ayah jauh di rantauan

Ayah selalu menghilang diri
Tinggalkan ibu membilang hari
Terkadang tiada khabar berita
Namun ibu tak pernah berduka

Sesekali hati rasa cemburu
Melihat teman semuanya ber-ayah
Bermanja bermesra kasih berpadu
Hidup gembira tiada gundah

Tidak tertahan menanggung rasa
Kepada ibu segera bertanya
Ke manakah ayah sekalian lama
Hingga kini belum menjelma

Ibu termenung di dalam sayu
Senyumnya pudar tiada indah
Mungkin batinnya berlagu sendu
Bila anak rindukan ayah

Nada memujuk ibu menjawab
Tuturnya lembut penuh hikmah
Ayah pergi ke medan jihad
Mencegah mungkar menegakkan yang haq

*Lihat video lagu ini di youtube.

14 April 2010

"Muntahlah Atas Tangan Amid"

17 Tahun Dulu

PETANG itu, di serambi rumah usang milik keluarga kami di Kuala Terengganu, saya duduk bersila berhadapan dengan adik bongsu, Amid atau nama sebenarnya Syed Mohammad Nazri Syed Bidin.

"Kenapa kau nak berhenti sekolah?" soal saya.

Amid menundukkan kepala dan membisu.

Saya tidak puas hati. Sekali lagi saya ulang soalan yang sama.

"Amid tak nak sekolah sebab nak jaga emak. Amid nak jaga emak sampai akhir hayat," jawab Amid dengan lembut, tetapi tegas.

Saya tersentak mendengar jawapan Amid.

"Isshhh. betul ke budak ni? Baru darjah enam, masa seronok budak-budak pun masih belum habis," hati saya berkata kata.

"Cakap betul-betul dengan abang. Kenapa tak nak sekolah? Ada budak jahat kacau ke?" pujuk saya lagi. Saya tidak mahu Amid berhenti sekolah kerana tidak tahan dengan gangguan budak-budak nakal.

"Betul bang, Amid tak tipu. Amid tak nak sekolah sebab nak jaga emak. Nanti kalau Amid belajar pandai-pandai, kena duduk jauh dari mak. Amid tak nak tinggalkan mak," katanya separuh merayu.

Melihat kesungguhannya, saya jadi buntu. Nampak gayanya, Amid tidak bergurau.

"Betul ke ni?" soal saya masih tidak percaya.

"Betul," balas Amid pula tanpa ragu ragu.

"Suka hati adiklah," kata saya selepas lama termenung.

Mendengar jawapan saya, Amid tersenyum lalu meminta izin untuk masuk ke dalam rumah.

Saya termenung di serambi. Kata kata Amid itu benar-benar memberi kesan terhadap jiwa saya. Kecil-kecil lagi sudah ada kesedaran mahu berbakti kepada emak. Tetapi, peristiwa itu berlaku 17 tahun dulu. Kini Amid sudah dewasa, umur pun sudah mencecah 29 tahun.

Saya tidak lagi ragu-ragu terhadap Amid. Memang betul, Amid tidak mahu bersekolah dulu kerana mahu menjaga emak. Amid tidak bergurau. Amid telah membuktikan kepada saya dan adik beradiknya yang lain, memang dia ikhlas mahu menjaga emak.

Memang tidak dapat dinafikan, di antara kami Sembilan beradik, Amidlah anak yang paling taat terhadap emak. Tingkah lakunya, tutor katanya, begitu tertib ketika bersama emak atau orang yang lebih tua darinya. Seumur hidup, saya dan adik-beradik lain tidak pernah melihat Amid bersikap atau bercakap kasar terhadap emak.

Apa saja keputusan atau kehendaknya, Amid akan merujuk kepada emak terlebih dahulu. Emaklah yang akan memutuskan. A kata emak, A jugalah katanya. Hitam kata emak, hitamlah kata Amid. Saya sendiri, termasuk adik beradik lain tidak mampu untuk bersikap seperti Amid.

Pernah juga saya mengajak Amid bekerja di Kuala Lumpur mencari rezeki di sana , tetapi dia menolak. Katanya, biarlah dia tinggal bersama emak.

"Kalau semua pergi, sapa nak jaga emak? Sapa nak uruskan lembu kambing? Kakak? Dia perempuan. Mana larat buat kerja yang berat-berat. Lagipun takkan nak biarkan rumah ni tak ada lelaki?"

"Abang dan kakak pun dah ada keluarga masing-masing. Abang Usop dan Abang Mat pula dah duduk di KL. Jadi, biarlah Amid duduk di kampung aja. Kerja jaga kambing dan lembu pun tak apalah," kata Amid kepada saya.

Setiap kali saya mengajak, pasti jawapan Amid sama. Lama-kelamaan saya mengalah. Kami adik-beradik sudah faham perangai Amid. Saya tahu, pasti Amid tidak akan setuju untuk ke Kuala Lumpur. Amid dan emak bagaikan isi dengan kuku. Bagaikan satu nyawa. Tidak boleh berpisah. Dia lebih rela menjadi gembala lembu daripada meninggalkan emak yang sudah tua itu.

Bukan itu sahaja, dalam hal-hal makan minum pun, Amid tetap akan mendahulukan emak. Sekiranya dia membawa pulang kuih-muih yang dibeli dari pekan, janganlah sesiapa sentuh, selagi emak tidak menjamah terlebih dulu. Ada kalanya saya perasan, emak menjamah sikit makanan itu, semata-mata untuk menjaga hati Amid.

Jika Amid berkenan untuk membeli sesuatu barangan, dia tidak akan terus membelinya. Amid terlebih dulu akan pulang dan meminta izin emak untuk membeli barang tersebut. Sekiranya emak mengizinkan, barulah dia beli barang itu. Jika tidak, dia tidak akan beli, biarpun barangan itu memang dia inginkan.

Ketika emak terlantar sakit dan hampir lumpuh, Amidlah yang menjaganya. Kami adik-beradik ketika itu benar-benar mengharapkan Amid sebagai anak lelaki untuk menjaga emak. Maklumlah, kami di Kuala Lumpur . Tetapi Amid memang tidak mengecewakan kami.

Cerita emak kepada saya, setiap malam Amid akan tidur berdekatan emak di ruang tamu rumah tempat emak terbaring. Tidak pernah sekalipun dia tidur di biliknya selama emak terlantar. Pantang terdengar emak bergerak Mau terbatuk di tengah malam buta, Amid pasti terjaga.

"Kenapa mak? Mak nak buang air ke? Lapar? Mak nak minum?" Amid akan bertanya pada emak.

Sekiranya emak mahu buang air, Amid akan memapahnya ke bilik air. Jika emak mahu minum, dia akan menyediakan minuman. Kalau emak pening, Amid akan memicit-micit kepala emak sehingga orang tua itu terlena. Jika emak menggigil kesejukan, Amid akan menarik selimut menutupi tubuh emak daripada kedinginan malam.

Satu malam, cerita emak kepada saya lagi, ketika sedang berbaring, tiba-tiba dia berasa pening kepala. Lalu emak pun mengadu pada Amid yang sedang berbaring di sebelahnya. Amid bingkas bangun lalu memicit micit kepala emak.

Tiba-tiba, emak terasa nak muntah sangat-sangat. Amid yang baru saja bangun untuk mengamhil besen, apabila melihatkan keadaan emak, membatalkan hasratnya ke dapur. Amid segera berteleku dihadapan emak lalu menadah tangannya, meminta emak muntah di telapak tangannya. Berlambak muntah emak di telapak tangan Amid. Tetapi, Amid sedikit pun tidak kisah atau berasa geli-geleman.

Apabila mendengar cerita emak, saya sendiri yang menitis air mata. Memang, Amid sanggup berbuat apa sahaja untuk emaknya. Sehingga kini, apabila saya teringatkan peristiwa itu, air mata pasti bergenang. Sebak hati saya apabila emak menceritakan bagaimana Amid melayannya ketika dia sedang terlantar sakit. Pengorbanan Amid terhadap emak memang tidak mampu dilakukan oleh adik-beradik yang lain termasuk saya sendiri.

Di samping itu, Amid juga bertanggungjawab memberi makan lembu kambing sebanyak 30 ekor. Semuanya Amid laksanakan tanpa bersungut. Amid menjaga emak sehingga sembuh sepenuhnya. Semenjak berhenti sekolah, sehingga ke usianya hampir mencecah 30-an, rutin hidup Amid tidak pernah berubah.

Pagi, Amid akan ke kebun dan selepas solat Zuhur, dia akan pulang untuk makan tengah hari. Sementara menunggu petang menjelang, dia akan tidur sebentar melepaskan lelah. Kemudian, selepas solat Asar, Amid akan keluar semula. Dia akan ke kebun yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari rumah untuk memastikan lembu kambing yang sudah kekenyangan itu dimasukkan semula ke dalam kandang.

Begitulah kehidupan Amid seharian. Biarpun ketika Itu, usianya sudah cukup matang untuk mendirikan rumah tangga, namun dia langsung tidak terfikir ke arah itu. Katanya pada saya, buat masa ini, cukuplah seorang wanita bergelar ibu di dalam hidupnya.

Khamis, 07 Oktober 2004

AJAL dan maut di tangan Tuhan. Tidak ada sesiapa yang mampu menolak ketentuan Ilahi. Saya sendiri tidak menyangka, hari itu, Amid akan meninggalkan kami buat selamanya. Terlalu cepat rasanya Amid pergi terutama dalam usianya yang masih muda. Amid meninggal dipanah petir.

Ceritanya begini. Pada hari itu, selepas pulang dari kebun menghantar emak ke rumah, Amid menunaikan solat Asar. Selepas selesai, dia akan menunggang motosikal buruknya ke kebun untuk menghalau kambing dan lembu masuk semula ke kandang. Ketika itu, langit sudah gelap. Kilat mula memancar diiringi dentuman guruh. Menurut cerita kakak saya, Mek, Amid berada di kandang sehingga pukul 6.00 petang. Mek nampak Amid menghalau lembu kambingnya sebab rumah Mek dekat saja dengan kandang haiwan itu.

Kira-kira pukul 6.15 petang, hujan mula turun dengan lebat. Kakak saya, Mek, Jah bersama adik saya, Nor dan Ana sedang berada di rumah mereka pada waktu itu. Apabila hujan lebat turun dan guruh serta petir sabung-menyabung, mereka sangkakan Amid sudah pulang ke rumah emak. Jadi mereka langsung tidak memikirkan tentang Amid kerana menyangka Amid sudah pulang ke rumah sebelum hujan turun.

Tiba-Tiba.

Prangggggg, truuuuummmmt!

Dentuman serta panahan petir yang teramat kuat itu membuatkan Mek, Jah, Nor dan Ana terperanjat. Panahan petir itu turut membelah beberapa batang pokok pisang yang ditanam di belakang rumah serta merobekkan dinding dan pintu bilik air rumah Mek.

Pada masa yang sama, emak yang sedang berada di halaman rumahnya kira-kira dua kilometer dari rumah Mek, turut terperanjat mendengar bunyi dentuman petir itu. Darahnya berderau. Lutut emak tiba-tiba saja jadi lemah. Dirinya terasa seperti di awang-awangan.

Tiba-tiba mulut emak terpacul kata kata, "Ya Allah. anak aku!"

Hati emak jadi berdebar-debar. Dia teringatkan Amid yang sedang berada di kebun. Emak tiba-tiba bimbang terjadi sesuatu yang buruk terhadap Amid. Kira-kira setengah jam berlalu, hujan semakin reda. Pancaran kilat dan guruh juga sudah sayup-sayup bunyinya. Tiba-tiba Mek teringatkan Amid. Dia menghubungi emak, tetapi kata emak, Amid masih belum pulang.

Mek mula rasa tidak sedap hati. Dia mengajak abang kami, Pok Yee untuk keluar bersama mencari Amid. Mereka berdua menuju ke kandang yang tidak jauh dari rumah mereka itu.

Sampai di sana ...

"Ya Allah, adik akuuuuuu!!!" jerit Mek sebaik sahaja melihat Amid terbaring mengiring di bawah pohon sentul di depan kandang kambingnya.

Mek memangku kepala Amid. Mek Jerit nama Amid beberapa kali, tapi Amid tidak lagi menyahut. Tubuhnya kaku. Cerita Mek kepada saya, ketika itu dia melihat darah mengalir laju keluar dari telinga Amid. Kesan lukanya pula seperti terkena tembakan peluru. Dari waJahnya, sehingga ke paras dada, menjadi hitam kesan terbakar. Amid dibawa ke hospital dengan hantuan seorang jiran dan disahkan sudah meninggal dunia.

Ketika menunggu hospital membenarkan kami membawa pulang jenazah Amid, Mek pun bercerita kepada kami bagaimana dia melihat sesuatu yang agak pelik pada mayat Amid ketika dia mula-mula menjumpainya. Cerita Mek, mayat Amid dijumpainya terbaring mengiring menghadap ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dalam keadaan kiam.

Lazimnya seseorang yang dipanah petir, tercampak dan keadaan anggota badannya tidak teratur. Tetapi ini tidak, mayat Amid seolah olah dibaringkan dan tangannya dikiamkan ke dada, cerita Mek kepada kami lagi.

Pagi Jumaat 08 Oktober 2004

PAGI itu, suasana pilu menyelubungi rumah kami. Mayat Amid terbujur kaku diselimuti kain kapan di ruang tamu. Saya termasuk beberapa orang adik-beradik dan orang kampung, sibuk menguruskan urusan pengebumian Amid. Di sekeliling mayat, kelihatan saudara-mara memenuhi ruang rumah, termasuk orang-orang kampung membacakan surah Yasin. Setelah solat jenazah, mayat Amid dibawa ke perkuburan. Sebaik selesai urusan pengebumian, azan solat Jumaat pun berkumandang.

Sehari selepas Amid dikebumikan, saya ke kuburnya untuk membacakan surah Yasin. Saya tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 9.00 pagi. Ketika sedang khusyuk membaca Yasin. tiba tiba saya terdengar suara burung berkicauan di atas pokok-pokok di kuburan itu.

Pada mulanya saya tidak hiraukan kicauan burung-burung tersebut. Tetapi lama-kelamaan, saya dengar bunyi kicauan itu semakin kuat dan rancak. Saya pun mendongak, kelihatanlah sekumpulan burung sedang terbang berpusing dan galak berkicau. Mula timbul rasa pelik dalam diri saya sebab sewaktu mula-mula sampai ke tanah perkuburan, langsung tidak nampak kelibat seekor burung pun.

Saya menyambung kembali bacaan sehingga tamat. Anehnya, sebaik saya habis membaca surah Yasin, bunyi kicauan burung itu hilang serta-merta. Apabila saya mendongak, saya dapati sekawan burung yang berterbangan tadi juga sudah ghaib entah ke mana.

Serentak itu saya terbau saw haruman yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Baunya amat harum. Saya mencaricari dari mana datangnya bau harum itu, mungkin dari orang lain yang berkunjung ke kawasan perkuburan itu, tapi saya tidak menemuinya. Tiada orang lain di kawasan perkuburan itu kecuali saya. Saya kemudian meninggalkan pusara Amid, sedang di dalam kepala masih terfikir-fikir tentang kejadian pelik sebentar tadi.

Apabila pulang ke rumah emak, tambah memeranjatkan, apabila saya terbau haruman yang sama di dalam bilik Amid. Saya masuk ke biliknya dan mendapati bau tersebut datangnya dari sudut bilik tempat Amid sering bersembahyang. Subhaanallah! Itu saja yang mampu saya katakan dalam hati.

Bukanlah tujuan saya untuk bercerita tentang kebaikan adik sendiri atau bertujuan untuk berbangga, riak dan sebagainya, tetapi bagi keluarga kami, Amid menjadi contoh seorang anak yang begitu taat kepada ibunya. Dan kisah ini ingin saya kongsikan bersama sebagai satu pengajaran buat kita semua.

Setiap kali saya terbaca kisah-kisah sadis dan kejam seperti kejadian anak membunuh ibu, atau anak sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang-orang tua di akhbar atau majalah, pasti saya akan teringatkan sikap Amid.

Biarpun Amid sudah pergi meninggalkan kami hampir lebih dua tahun lamanya, namun apabila saya terkenangkannya, saya akan menitiskan air mata. Sedih dan terharu apabila mengenangkan pengorbanan Amid terhadap emak.

Namun, dalam sedih, ada terselit di hati saya rasa gembira. Sikap taatnya kepada ibu, dan peristiwa pelik yang berlaku pada Amid ketika kematiannya, membuatkan saya yakin, itu adalah petunjuk dari Tuhan, sebagai balasan buat seorang anak yang telah mengabdikan diri terhadap ibu sehingga ke akhir hayatnya.

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)".
[Surah Luqman, 31: 14]

13 August 2009

Familiku..

Bismillah..

Baru balik dari Pahang..
Rasa nak letak gambar famili kat sini..
Biar la apa orang nak kata..
Nak letak jugak..
Haha..


Mak + Abah + Adik-beradik + Ipar duai + Anak2 sedara
(Raya Aidilfitri 1429 - kat rumah - sebelum latest renovation)


Mak + Abah + 11 Adik-beradik


Mak + Abah + 7 Adik-beradik (yang masih bujang)


Mak + Abah + 4 Ipar duai


Mak + Abah + 7 Anak sedara
(Sekarang dah 9 anak sedara)


Mu'az si hiperaktif.. Hehe..


Nasuha masa first time pakai tudung


Nasuha.. Tengah taubat nasuha.. Hehe..


Aiman yang comel


Aiman hero Malaya


Aiman lagi..



Aiman & Izzah masa first birthday diorang..
(Baju ni ana yang belikan.. Sepasang..)


Aiman & Izzah lagi..


Izzah.. Posing sebaik saja beliau bangun tidur..


Izzah masih free hair


Izzah dah pakai tudung.. Hehe..


Sedapnya..

Ni je yang ada..
Komputer rosak..
Semua gambar lain dalam komputer..
Isk.. Isk.. Isk..

21 April 2009

PSM Presentation

Bismillah..

Alhamdulillah, ana telah berjaya membentang Projek Sarjana Muda (PSM) a.k.a. projek tahun akhir ana dengan baik pagi tadi (^_^)v. Syukur, sangat bersyukur atas kurniaan yang melimpah ruah dari Dia dalam bentuk ketenangan dan keyakinan semasa membentang dan menjawab soalan dari panel.

Pagi tadi, telefon mak dulu. Apa-apa hal, suara mak adalah satu kewajipan untuk ana dengar setiap kali sebelum dan selepas sesuatu peristiwa yang mendebarkan. Dengar je suara mak, mata yang berair dari tadi terus je melimpah.

"Mak, doakan orang lancar nak bercakap. Mak, doakan orang faham apa yang panel tanya. Mak, doakan orang tahu macamana nak jawab soalan panel. Mak, doakan...... Mak, doakan.... Isk, isk, isk..."

Banyak nasihat mak bagi pagi tadi, antaranya bacaan doa yang ana tulis dalam post sebelum ni dan bacaan Surah Al-Insyirah. Juga zikir menyebut namaNya "Ya Latif" yang bermaksud Yang Maha Lembut agar panel lembut hati, tak panas hati dan tak bertanya yang pelik-pelik dan yang di luar jangkaan.

Alhamdulillah pembentangan ana kurang daripada 10 minit seperti yang dihadkan. Kemudian sesi soal jawab, ada la dalam lima-enam soalan, alhamdulillah mudah tangkap apa yang panel soalkan dan mudah juga untuk menjawab. Apa yang paling menyeronokkan ialah komen "Good answer!" dari ketua panel terhadap jawapan yang ana berikan. Komen itu cukup ringkas, tapi ia telah membuat wajah ini tersenyum puas dan hati ini berbunga-bunga mendengarnya (^_^).

Bunga dalam hatiku (^_^)v

Keluar je dari bilik pembentangan tu, terus telefon mak lagi. Seronok sangat. Walaupun kertas peperiksaan semalam sungguh mendukacitakan (^_^'), namun kegembiraan hari ni berjaya memadamkan kesedihan. Seperti nasihat seorang pensyarah tu, "La tahzan!" masa dia beri keputusan kertas ujian dulu. Betullah, jangan bersedih bila kita dah usaha sebab nanti Allah akan balas dengan yang lebih baik.

Masa telefon mak tu, baru tahu rupanya mak baca Surah Yaasin dua kali sepanjang tempoh ana membentang, terharunya.. (^_^-). Mak kata risau dengar suara anak dia ni nangis masa telefon pagi sebelum bentang tadi. Saaaayaaaaanngggg mak sangat-sangat-sangat! Mom, you're the inspiration of my life! Terlalu banyak didikan yang mak beri dalam diri ni, terlalu banyak nasihat dari mak untuk anak mak ni dan terlalu banyak pula pengorbanan mak demi memastikan anak mak ni tak keseorangan menghadapi hidup. Terima kasih, mak.. I love you so much!

01 April 2009

Warkah Buat Ibu

Ibu..

Dengan sapaan itu aku memanggilnya. Setahun tak kukunjungi. Ibu memang tampak banyak berubah. Dia kelihatan lebih tua dari usia sebenarnya. Beberapa orang yang baru mengenalnya pasti selalu salah meneka umurnya. Kerananya, ibu pernah menangis saat aku menelefon, seraya mengatakan dirinya semakin renta di usianya yang baru setengah abad. Hanya satu yang tak pernah berubah dari ibu. Kerinduan dan rasa cinta yang selalu siap mengguyuri anak-anaknya, bahkan cucunya, menutupi kerapuhan fizikalnya. Rasa itu tak pernah pudar dan hilang dari sisinya.

Mata yang berpinar-pinar penuh cinta itulah yang kutemui saat aku pulang ke kampung halaman beberapa bulan yang lalu. Dengan kekurangannya, dia memang tak mampu lagi menjemputku di lapangan terbang. Ibu hanya mampu menyambutku yang datang beserta keluarga di muka pintu. Pelukannya sama sekali tidak berubah. Luruh memberikan kenyamanan dan kehangatan. Hanya ciuman di keriput pipinya yang memang menandakan dia semakin direnggut usia.

Ibu tampak sangat letih di usianya. Tangannya yang dulu sanggup membuat roti jala dan kuah kari serta nasi lemak, kini tampak payah. Tapi dengan fitrahnya, ibu tak pernah lalai memanjakan anak-anaknya, orang lain dimintanya untuk memasakkan. Kerana dia tahu, makanan itu adalah makanan kesukaanku.

Ringkih dan renta. Hanya itu yang tampak pada ibu. Namun, selama kehadiranku dan keluarga di sisinya, ibu tampak sihat. Dia senang diajak berjalan-jalan. Ibu juga tertawa riang bahkan tampak berbahagia saat melihat tingkah dan kenakalan cucu-cucunya. Makan menjadi betambah lahap, dan tidur pun semakin lelap. Ternyata ibu perlukan perhatian yang lebih dari anak-anaknya.

Kesepian yang kadangkala menggoda dan membelenggu, membuat ibu selalu tampak termenung dan mengelamun. Kerananya, tatapan kosong dan mata yang menerawang menjadi rutin biasa. Sikap dan kata-kata yang lemah lembut dari anaknya pun mescaya bagai embun pagi yang akan menelisik dan membasahi rongga jiwa ibu. Ibu tak perlu wang, kerana yang diperlukannya hanyalah kunjungan anak-anaknya, cucu atau keluarga yang membawa seikat bunga kasih sayang.

Ibu..

Dia adalah seseorang yang sangat berharga dalam hidupku, yang begitu menyayangiku hingga terkadang terlalu berlebihan. Pernah dulu ibu sukar melepaskanku untuk segera bernikah, kerana takut akan melupakan dirinya. Dan ibu juga pernah menangis kerana janjiku untuk membantunya ke Makkah menjadi tertunda.

Kini ibu terlihat lebih sihat dan bahagia. Alhamdulillah.. Dengan sedikit wang yang telah kuasingkan akan memenuhi cita-citanya dan juga ayah untuk memenuhi panggilan Allah, ke Tanah Suci Makkah, insyaAllah.

Pada ketika ibu menghantarku ke lapangan terbang, ibu sempat berkata, “Doakan ibu cepat sembuh ya, sehingga dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna”. Mata ibu mengabur. Lalu tampak wajahnya beruah air mata. Aku tak kuasa menahan, air mataku pun tumpah.

Ibu..

Ini anakmu, yang sedang menuntut ilmu, jauh dari sisimu. Anak yang selalu sibuk hingga terkadang menghalangi untaian doa terhatur untukmu. Anak yang tak pernah menyenangkanmu, ibu. Menyusahkanmu di masa kecil, dan sering mengecewakanmu di masa kanakku.

Ibu..

Anakmu ini tak mampu, bahkan tak akan pernah dapat membahagiakanmu. Membalas segala pengorbanan yang telah kau berikan selama hidupku. Maafkan anakmu ini, ibu. Maafkan kalau lidah ini pernah terucap kata kasar hingga membuat goresan luka di hatimu. Maafkan pula jika mata ini pun pernah sinis memandang dan telinga yang tak pernah mengacuhkan nasihat darimu.

Ibu..

Anakmu ini hanya mampu dan hanya selalu pandai meminta, sama sekali tak pernah memberi. Doakan, dan pohonkan dariNya agar aku bahagia di dunia dan di akhirat. Saat engkau nanti bersujud kala tahajud dalam pekatnya malam, hingga nanti engkau tiba di Makkah, hantarkan untukku sebentuk doa. Kerana aku tahu, doamu pasti dijabah Allah.

Ibu..

Begitu jauh jarak yang terbentang antara kita. Jarak yang selalu melahirkan kerinduan dalam riak anak sungai di pelupuk mata. Sesungguhnya, tak ingin jasad ini terbang menjauhimu, ibu. Pun ingin rasanya aku selalu mendakap tubuhmu yang mulai sepuh lalu bermanja di pangkuanmu. Melepaskan rindu dalam belai kasih sayang dan mendengar indahnya ceritamu, setiap detik dalam rahim, gendongan dan pelukan, bagai masa kecilku dulu.

Ibu..

Kini air mataku berderai, kerana terlalu rindu dengan belai kasih sayangmu. Tapi aku tahu, engkau lebih merindukan kehadiran anak-anakmu. Aku akan pulang, ibu.

Ibu..

Tak akan pernah keindahan dunia ini dapat menggantikan indahnya cintamu. Riuh rendah pesona dunia pun tak ada ertinya ketika Syurga terletak di telapak kakimu. Kerana dirimu begitu indah, ibu. Indah.. Bahkan sangat dan teramat indah dalam alunan keikhlasan cinta seorang ibu tercinta.

Terima kasih, ibu.


*Diambil dari blog lama*
Design by Abdul Munir
Modified by Kapt Ir Dr