Showing posts with label Perumpamaan. Show all posts
Showing posts with label Perumpamaan. Show all posts

26 March 2011

Bila Lagi?

Bismillah..

Alhamdulillah, saya sekarang berada di bumi ALLAH Yang Maha Mulia, UTM Skudai. Misi kali ini agak besar, ingin menyiapkan tesis master, insyaALLAH. Eh, begitu besarkah misi ini? Benar, kerana semakin lambat tesis itu siap, maka semakin lambatlah saya boleh memasuki UiTM Jengka secara rasminya. UiTM Jengka? Kenapa? Ada apa dengannya? Benar, kerana di sana ada misi yang jauh lebih besar daripada misi menyiapkan tesis ini, tesis yang entah mampu untuk disiapkan dalam masa yang singkat ini entah tidak (doakan saya). Namun yang pastinya misi yang lebih besar itu harus disegerakan sesegera yang mungkin.

Sudah lama saya tidak berkunjung ke gedung ilmu ini. UTM adalah tempat pengajian saya yang paling lama dalam hidup, dan UTM juga adalah tempat di mana saya mengaji dan mengkaji Al-Quran semula, alhamdulillah. Bila sudah lama tidak berkunjung, maka kenalan-kenalan lama pun seringlah bertanya soalan biasa, “Bila lagi?”, dan seperti biasa, soalan disambut dengan senyuman yang bersahaja. Kemudian saya ajukan kembali soalan itu pada si pengaju soalan, “Bila lagi?”

Ya, “bila lagi” kamu mahu mula menyampaikan kebenaran kepada kenalan-kenalanmu? “Bila lagi” kamu mahu mula berubah dari diri kamu sekarang kepada diri kamu yang lebih baik? “Bila lagi” kamu mahu mula melonggarkan pakaianmu? “Bila lagi” kamu mahu mula mengutamakan pandangan ALLAH berbanding pandangan manusia? “Bila lagi kamu mahu mula menjadi naqibah? “Bila lagi” dan “bila lagi”?

Kawan-kawan, kita sudah lama mengiktiraf ALLAH sebagai majikan kita, kan? Kita sudah lama me’register’ diri kita sebagai pekerja di bawah syarikat ALLAH (dengan lafaz dua kalimah syahadah). Tapi kita masih suka bertangguh-tangguh untuk memulakan hari pertama kita bekerja dengan ALLAH. Setiap hari kerja kita semakin bertimbun di atas meja di pejabat, tapi kita masih belum mahu mula untuk menjejakkan kaki di syarikat ALLAH. Malah masih belum mahu mencuba untuk melangkah.

Kawan-kawan, betapa baiknya Majikan kita, menanti kehadiran diri kita untuk mula bekerja denganNya. Sedangkan Dia sudah terlalu lama memberi gaji dan elaun sara sepanjang hidup kepada kita, setiap saat, setiap detik. Tidak pernah sekali pun Majikan kita Yang Maha Kaya itu melupakan keperluan hidup kita, syukur alhamdulillah.

Kawan-kawan, percayalah, apabila kerja di pejabat semakin bertimbun-timbun, maka kita akan mula sakit kepala, kerana tidak tahu mahu bermula di mana. Nak mula dengan kemas mejakah? Atau nak set up komputer dulu? Atau nak terus mula siapkan kerja yang pertama diberi sejak berzaman dulu? Atau nak siapkan kerja yang paling senang? Atau yang paling susah dulu? Atau nak buat kerja yang paling mahal dulu?

Ada juga di antara kita yang mahu melangkah, tapi masih segan-segan kerana tidak ada kesediaan untuk bekerja. Pengetahuan tentang pekerjaan masih kurang, tidak biasa berkomunikasi dalam dunia pekerjaan, baju pejabat belum dibeli, tiada kawan sekepala dan macam-macam perkara lagi yang seolah-olah menyekat diri kita untuk mula bekerja. Jadi, macamana ye? Kawan-kawan, lets be wise and creative. Robohkanlah penghadang-penghadang itu sesegera yang mungkin, kerana kita mesti mula bekerja hari ini, dan kita tidak mahu timbunan kerja bertambah lagi.

Kawan-kawan, jom, kita mula berazam! Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula mencari ilmu tentang pekerjaan saya seperti jawatan yang telah diberikan oleh ALLAH”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula selalu berkumpul bersama orang-orang soleh”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula berjinak-jinak dengan pakaian yang menutup aurat saya dengan sempurna”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula mencari sahabat setia yang mahu berjalan seiringan dengan saya di jalan ini”.

Kawan-kawan, jangan lupa untuk katakan juga, “Ya, hari ini saya akan mula menjauhkan diri saya dari tempat-tempat yang tidak suka diunjungi oleh malaikat penyampai hidayah”. Dan katakanlah, “Ya, hari ini saya akan mula menjauhkan diri saya dari aktiviti-aktiviti persatuan yang tidak mendekatkan diri saya dengan ALLAH”. “Kerana semua inilah yang akan menjadi penghadang untuk saya memulakan hidup baru di hari pertama saya bekerja dengan Majikan saya yang saya rindui”.

So, jangan bertangguh lagi ya kawan-kawanku. Tak mahu dengar lagi kata-kata “belum sampai seru” atau “belum bersedia” untuk menjadi pekerja setia kepada ALLAH. Ingat, kerja kita makin bertambah, dan kerja kita sememangnya makin bertambah!

08 April 2009

Pengajaran Dari Pohon Semalu

Pada suatu hari, seorang bapa berjalan-jalan bersama puterinya. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, puterinya terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Puteri itu mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Bapanya dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Puterinya terkejut. Bapanya menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari pohon semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil. Wallahu'alam..

11 January 2009

Palestin, Di Mana Kita?

Bismillah..

Hari ini, sudah lebih separuh abad Yahudi laknatuLlah berusaha merampas bumi Palestin dari tangan umat Islam. Babarapa hari lepas, Israel mulakan semula gencatan senjata (yang tidak mustahil akan dilanggar lagi oleh mereka), dan kelmarin Hamas juga lakukan gencatan senjata. Akhbar-akhbar mangumpamakan, kini keadaan Palestin sepuluh kali lebih teruk dari bahana gempa bumi, masyaAllah!

Apakah peranan kita dalam isu ini? Oleh kerana kita beragama Islam, ana kira kita hanya diberi pilihan untuk menjadi salah satu daripada beberapa peranan ini; penonton, penyokong atau pendokong! Peranan-peranan ini bagaikan sama, tapi tak serupa. Sama, tapi samar! Ana jelaskan di sini apa bezanya antara ketiga-tiga peranan ini dengan mengambil contoh permainan bola sepak.

Penonton - Tiap kali tiba musim perlawanan bola sepak, banyak sekali penonton yang turut serta menyaksikannya. Hampir setiap rumah akan ada sahaja mata yang ingin menonton perlawanan ini di kaca TV. Namun hakikatnya, tak semua yang ingin menonton itu benar-benar ingin menonton perlawanan itu, sebaliknya mereka hanyalah sekadar mahu mengisi masa lapang, mengelakkan kebosanan atau mungkin kerana terpaksa menontonnya (sebab abang yang lebih tua pegang remote control). Maka terjadilah tontonan itu seperti masuk mata kanan, keluar mata kiri. Tiada sebarang perasaan. Ingin sahaja ditukar siaran itu kepada yang lain.

Penyokong - Penyokong perlawanan bola sepak biasanya (atau sememangnya) adalah orang-orang yang sangat meminati permainan ini (walaupun ada yang tak reti main pun sebenarnya). Ada yang sanggup tidak tidur malam kerana ingin menyaksikan aksi-aksi hebat pemain idola mereka di kaca TV. Tak kurang juga yang sanggup berJAULAH (bermusafir @ berjalan jauh) semata-mata kerana ingin menyokong pasukan kegemarannya. Harga tiket yang mahal pun tak kisah, boleh menabung katanya. Bagi mereka, memberi sokongan sahaja sudah dapat memuaskan hati dan perasaan mereka, apatah lagi jika pasukan yang disokong itu menang dalam perlawanan, pasti terkinja-kinja (maaf, bahasa kasar) mereka melompat kepuasan.

Pendokong - Perlawanan bola sepak tidak akan berlangsung tanpa adanya pemain bola sepak. Tidak kisahlah pemain itu sudah mahir bermain atau baru merangkak-rangkak hendak memulakan langkah, pemain itu tetap menjadi tonggak utama dalam perlawanan nanti. Masa dan wang sanggup dipertaruhkan demi memastikan diri mendapat latihan yang secukupnya. Baginya kemenangan adalah segala-galanya, kepuasan yang tidak terhingga! Akan dipikul amanah sebagai pendokong ini demi kegemilangan negara (contohnya). Jika tiada dia, maka punahlah pasukan itu! Biar cedera seteruk mana, selagi kaki itu mampu dihayun, maka akan terhayunlah ia. Dikorbankan dirinya demi bola sepak hingga hujung nyawa.

Hm. Agak-agaknyalah, dalam isu Palestin ni, di mana kita ye?

"Kemenangan itu pasti buat umat Islam!" Yakin. Kita semua sangat yakin akan hal kemenangan ini. Namun sebagai umat Islam itu sendiri, apakah kita hanya mahu menjadi penonton? Yang apabila kemenangan itu datang, kita hanya mampu menepukkan tangan tanpa wujud sedikit pun rasa 'izzah (bangga, gah) dengan Islam, masih tiada perasaan? Yang kadang-kadang telinga sudah bosan mendengar isu Palestin ini, dan mata sudah jelek melihat kesengsaraan saudara seaqidah dengan kita.

Setidak-tidaknya jadilah penyokong dengan menyertai himpunan-himpunan keamanan di sekitar negara. Walaupun mungkin kesannya kita tak nampak sekarang, sekurang-kurangnya kita berani bersuara mengenai isu ini. Juga tidaklah salah jika kita sama-sama menyahut ajakan berpakaian serba hitam sepanjang hari untuk menyatakan kesedihan kita akan keadaan saudara-saudara kita di Palestin. Ana bingung bila masih ada kawan yang bertanya, "Kenapa, apa gunanya kita pakai serba hitam? Takpe lah, aku dah boikot, tak payah pakai baju hitam pun takpe." Aneh, kenapa bila diajak berpakaian mengikut tema sesuatu perayaan, kita tak bertanya apa sepatah pun? Baju khas merdeka contohnya. Hm.. Tapi lepas tu bila ditanya pasal boikot, dia kata "Dalam masa terdekat ni lah. Tapi KFC dengan Mc D tu susah pulak." Sedihnya.. Ana rasa macam nak pakai baju hitam lagi sebab sedih dengan kawan seorang ni.

Bagaimana pula dengan pendokong? Itulah mereka yang berjuang di Tanah Palestin, menyerang balas bedilan Yahudi, merawat saudara-saudara kita di sana, menyumbang makanan pada mereka. Kita di Malaysia juga boleh menjadi pendokong kan? Dengan memboikot barangan Yahudi laknatuLlah, menderma tanpa rasa jemu pada rakyat Palestin, dan jangan dilupakan senjata kita yang paling berkesan, DOA! Juga jadilah pendokong isu umat Islam untuk jangka masa yang panjang, dengan menyebar luaskan dakwah dan tarbiyah!

"Di mana kita?"

15 November 2008

Concrete Cover

AlhamdiliLlah, baru-baru ini ana telah disedarkan oleh Allah berkenaan satu hubung kait yang mampu ana bicarakan bagi membuka minda para pembaca. Situasinya begini… Kurang sebulan yang lalu…

Kata lecturer, “Baik, untuk tentukan ketebalan concrete cover pada foundation/footing ini, seperti biasa, lihat pada BS8110 muka surat 22, Jadual 3.4. Di situ ada dijadualkan ketebalan yang sesuai untuk concrete cover bagi melindungi konkrit daripada terdedah kepada kepanasan api ………”



Zuuupppp!!!!! Tersentak di kepala bila terdengar frasa “kepanasan api” ini. Terasa seperti ada air mata yang tersembunyi di balik kelopak mata. Melihat teman-teman sekuliahku yang berpakaian ketat. Melihat rakan-rakan seblokku yang berpakaian nipis dan jarang. Melihat teman-teman sesekolahku yang makin berpakaian singkat. Melihat sesiapa sahaja di sekeliling diri ini yang berpakaian tetapi tidak berpakaian.

Para civil engineer yang dilabelkan sebagai pencipta konkrit ini sendiri pandai meletakkan cover pada konkrit. Ketebalan ini biasanya 20 mm atau 25 mm bagi tempoh rintangan konkrit terhadap api selama sekurang-kurangnya 2 jam. Siap dijadualkan ketebalan ini mengikut jenis penggunaan konkrit; tiang, rasuk, lantai, dsb. Untuk apa diletakkan standard sebegini dalam penghasilan konkrit? Untuk melindungi penghuni bangunan daripada haba api dan bagi memberi waktu kepada para penghuni bangunan untuk keluar dari bangunan sebelum konkrit musnah dibakar api. Juga kerana ‘pencipta’nya sendiri yang lebih arif berkenaan ciptaannya itu sendiri mengatakan bahawa konkrit ini tidak kalis terhadap api.

Pemikiran ini akhirnya tertumpu pada penciptaan sesuatu yang lebih sempurna, malah paling sempurna penciptaannya dari kalangan ciptaan-ciptaan yang lainnya. Manusia.

“Bukankah pernah datang kepada manusia waktu dari masa, yang ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur (antara benih laki-laki dengan benih perempuan) yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.” [Al-Insaan, 76: 1 & 2]

Manusia ini, siapa penciptanya? Dan apa standard yang digunapakai? Sungguh Allah juga telah menetapkan syarat-syarat aurat cover buat ciptaanNya/hamba-hambaNya ini. Bagaimanakah agaknya penjadualan aurat cover ini ditetapkan oleh Allah? Tentulah dengan perbezaan aurat sesama mahram dan aurat dengan yang bukan mahram. Namun masih ramai yang belum tahu/sedar mengenai perihal pemakaian bagi menjaga aurat ini, terutamanya kaum wanita. Tahukah anda?



Inginkan dalil naqli? Lihat [An-Nur, 24: 31 & 60, Al-Ahzab, 33: 53, 55 & 59]. Arabicnya, terjemahan serta tafsirannya sila lihat mashaf “Al-Quran Dan Terjemahannya” di tangan antum ya, ana assume antum sentiasa membawanya ke mana-mana. Ada ayat yang menyatakan bahawa hanya wanita tua yang sudah tiada keinginan sahaja yang dibenarkan mendedahkan aurat ringannya. Tepuk dada, tanya diri, “Ana ni dah tua ke?”

“Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu …..” [Al-A’raaf, 7: 26]

Kembali kepada persoalan pokok. Konkrit normal yang biasanya berkekuatan 2400 kg/m3 dan mempunyai cover setebal 25 mm itu hanya mampu bertahan selama 2 jam dari kepanasan api dunia. Apatah lagi api neraka Allah itu, sudah pasti kulit manusia yang hanya berkekuatan kurang dari 100 kg/m3 (agaknya) dan setebal kurang dari 0.1 mm (agaknya) ini tidak mampu menahannya.

“….. dan Dia menjadikan pakaian bagimu yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan …..” [An-Nahl, 16: 81]

Maka buat para wanita yang bijak berfikir, tutuplah dan jagalah auratmu, longgarkanlah pakaianmu, labuhkanlah tudungmu dan tebalkanlah kain yang melindungi dirimu dari panahan mata lelaki yang hatinya berpenyakit itu. Jangan sesekali biarkan susuk tubuhmu dijamah mata mereka. Luaskanlah pemikiranmu dengan petunjuk dan ajaran Allah.

Kerana pendengaran, penglihatan dan hati yang telah dikaburkan oleh Allah dari mendapat petunjukNya, seringkali menolak sesuatu yang mereka tahu ada kebaikan yang hakiki padanya. Na’udzubillahi min dzalik!

“Dia telah menciptakan manusia dari mani, ternyata dia (manusia itu) menjadi pembantah yang nyata” [An-Nahl, 16: 4]

Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, kurniakan cahayaMu ke dalam hati kami dan ampunilah segala kesilapan kami. Ameen. Wallahu’alam.

===============================================================================
Tidak semua orang yang menolak kebenaran itu tidak tahu bahawa apa yang ditolak mereka itu adalah benar.
===============================================================================

Amalan Kafirun

Mengapa ye, segala kebaikan yang dilakukan oleh orang-orang kafir tidak mendapat pahala? Bukankah mereka juga ada yang baik budi pekertinya, baik bicaranya, baik perilakunya, malah ada yang lebih baik akhlaknya berbanding masyarakat islam masa kini?

Persoalan ini pernah bermain-main dalam kotak pemikiran ana. Namun kerana bimbang akal ini terjerumus ke lingkungan pengaruh kekafiran, maka ana abaikan persoalan ini dari terus diexplore oleh akal yang alhamduliLlah masih waras ini. Dan akhirnya ana temui jawapannya dalam sebuah buku yang menerangkannya dengan ringkas dan padat. Bunyi jawapannya seperti ini…

Seorang lelaki masuk ke dalam sebuah kebun yang luas yang bukan miliknya. Kemudian dia mendapati di dalamnya terdapat buah-buahan dan berbagai jenis makanan dan minuman. Lalu dia pun makan dan meminumnya. Selepas itu dia melakukan kerja di dalam kebun itu, ada pokok yang dicabutnya dan ada yang ditanam.

Kemudian seorang lelaki lain masuk ke dalam kebun itu, dia berkata pada dirinya, “Aku tidak akan melakukan sesuatu di dalam kebun ini sehingga aku bertemu dengan pemilik kebun atau wakilnya.” Dia terus mencari orang tersebut.

Apabila wakil pemilik kebun menemui kedua-dua lelaki tadi, dia menegur kerja-kerja yang dilakukan oleh lelaki pertama, tetapi lelaki itu tidak mengendahkan teguran tersebut. Dia terus melakukan kerja di kebun itu tanpa mendapat kebenaran pemiliknya. Lelaki kedua pula mendengar segala arahan wakil pemilik kebun itu dan melakukan kerja mengikut arahan yang diberikan.

Sekarang, siapakah yang layak menerima upah?

Adakah orang yang masuk ke dalam kebun tanpa kebenaran dan melanggar arahan pemilik yang dibawa oleh wakilnya layak menerima upah? Adakah dia layak menerima upah walaupun ada kerja baik yang dilakukannya di dalam kebun itu?

Tidak syak lagi setiap yang berakal akan menjawab, upah akan diberikan kepada orang yang mengikut segala arahan pemilik kebun. Orang yang menceroboh dan melakukan kerja mengikut kemahuan sendiri tanpa kebenaran pemilik walaupun ada orang yang melarangnya, tentunya tidak layak menerima upah walaupun sebahagian daripada kerja yang dilakukannya adalah baik.

Begitulah alam ini dan segala isinya. Ia adalah milik Allah. Manakala para RasulNya adalah utusan dan wakil Allah Ta’ala. Orang yang beriman adalah orang yang melakukan amalan berpandukan petunjuk Tuhannya. Manakala orang kafir adalah orang yang menggunakan segala milik Allah tanpa keizinan dan petunjukNya serta pada masa yang sama menentang para RasulNya.

Hm, menarik kan jawapan seperti ini? AlhamduliLlah, Allah memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang pernah mengganggu fikiran.

Namun terfikir pula ana, bagaimana pula halnya jika ada seorang lagi lelaki yang tiba di kebun itu, yang mana dia telah pun menemui wakil kebun dan telah diberitahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan di kebun itu, tetapi dia tidak mengikut seperti yang telah diarahkan oleh wakil kebun? Bagaimana agaknya nasib dia? Mengikut logik akal, adalah sangat wajar jika dia tidak diberi upah, malah dia harus dikenakan denda jika telah melakukan apa-apa yang merosakkan hasil kebun.

Wahai manusia yang telah diberikan otak, dan otak itu memiliki akal yang sihat dan waras, dan akal yang waras itu gunanya untuk berfikir, berfikirlah.. Wallahu’alam.

[Sumber: Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid – Diperakui Oleh Fakta Sains, 2004]
Design by Abdul Munir
Modified by Kapt Ir Dr