Showing posts with label Fikrah. Show all posts
Showing posts with label Fikrah. Show all posts

02 December 2011

Material

Bismillah..

Dalam daurah bersama naqibah ana beberapa bulan lepas.. Di bawah sebuah pondok wakaf di pesisir Pantai Balok, Kuantan.. Ketika angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.. Dengan hidangan nasi lemak dan air teh panas.. Oh nyamannya.. Di situlah.. Kami berbincang mengenai 5 nadwah pertama.. Tajuk-tajuk yang dibincangkan adalah..

#1: Tanggungjawab Kita Pemuda Islam..
#2: Fikrah Islam Kita..
#3: Sayonara Jahiliyah..
#4: Dakwah Kita Adalah Penyelamat..
#5: Ciri-ciri Mereka Yang Menghayati Dan Memperjuangkan Islam..

Antara yang paling terkesan di hati adalah dalam tajuk yang pertama.. Iaitu.. Ciri-ciri pemuda adalah.. "Fikir tentang ummat lebih banyak dari fikir diri sendiri". Zass!!! Macam kena pancung je rasanya! Teringat kat FB.. Lebih banyak luah perasaan berbanding mengajak sahabat-sahabat berbincang mengenai ummat masa kini. Aduhai, terasa malu. Nampaknya, aku bukanlah pemuda harapan :'(

Dalam tajuk yang pertama juga ada disebutkan..

3 titik kekuatan seorang pemuda adalah:
#1: Iman (8: 65)
#2: Ukhuwah (8: 46)
#3: Material (8: 60)

Memang benar dan betul dan tepat sekali!

Seandainya seorang akh atau ukhti itu mempunyai tahap IMAN yang begitu menebal dalam diri, nescaya dia bisa membuka sebuah kota! Sama halnya seperti Muhammad Al-Fateh. Pemuda sebegini merasakan ALLAH itu sentiasa bersamanya, dalam setiap langkah, setiap deru, setiap nafas, setiap pergerakan, setiap sentuhan, setiap perjalanan, setiap perkataan, setiap masa! Dia seolah-oleh melihat dengan mata ALLAH, dia mendengar dengan telinga ALLAH, dia berkata-kata dengan lidah ALLAH. Setiap ujian dirasakan nikmat, kerana dia yakin benar ALLAH yang menyusunnya. Setiap kejayaan dirasakan nikmat, kerana dia yakin benar ALLAH yang menyusunnya. Tak pernah sekali pun dia rasa keseorangan! Walaupun tanpa sahabat-sahabat.. Dia sendirian di satu tempat, nun jauh dari pandangan sahabat. Namun dia yakin, ALLAH sentiasa bersamanya, dan DIA akan mendatangkan sahabat-sahabat terbaik buatnya di atas jalan ini.

Seorang akh atau ukhti yang mempunyai tahap IMAN yang tinggi akan bertambah hebat dengan hadirnya teman-teman yang saling berUKHUWAH di atas jalan ini. Ukhuwah teras kegemilangan! Ukhuwah penguat ikatan antara seorang hamba-Nya dengan hamba-Nya yang lain. Ukhuwah menutup lubang-lubang kelemahan dalam sesebuah pertubuhan. Ukhuwah saling lengkap=melengkapi kekurangan dan kelebihan setiap ahli. Ukhuwah menyebabkan pemuda-pemuda mempunyai abiliti untuk bersyura dan beramal jama'ie, melaksanakan sunnah Rasul dengan penuh etika. Syukurlah, buat pemuda-pemuda yang saling berukhuwah hanya kerana-Nya, seiring melangkah menuju jannah-Nya! Semoga ALLAH menguatkan lagi ikatan UKHUWAH sesama kita, walaupun kita jauh di mata.. Insya-Allah.

Seorang akh atau ukhti itu.. Akan lebih hebat jika mempunyai tahap IMAN yang kental, mempunyai sahabat-sahabat yang berUKHUWAH dan saling membantu kerana-Nya, dan mempunyai MATERIAL yang memudahkan dia untuk bergerak di atas jalan ini. Tubuh badan, kediaman, kenderaan, kewangan, peralatan.. Semuanya penting. Tapi kedudukannya kurang penting berbanding IMAN dan UKHUWAH. Namun ia tetap penting. Dalam perjalanan ini.. Di atas jalan ini.. Untuk satu tempoh masa yang kita tak tahu..

Alhamdulillah.. Ana kurang IMAN, maka ALLAH datangkan sahabat-sahabat yang kuat IMANnya untuk saling berUKHUWAH bersama-sama.. Dan kami.. Belum ada.. MATERIAL..

Maka.. Kerana itulah.. Ana merancang.. Untuk mempunyai.. Sebuah benda bergerak bernama kereta.. Dan sebuah benda tidak bergerak bernama rumah.. Untuk Dia.. Insya-Allah.. :) Doakan ye!

Sekian.

:: bersambung... ::

26 March 2011

Bila Lagi?

Bismillah..

Alhamdulillah, saya sekarang berada di bumi ALLAH Yang Maha Mulia, UTM Skudai. Misi kali ini agak besar, ingin menyiapkan tesis master, insyaALLAH. Eh, begitu besarkah misi ini? Benar, kerana semakin lambat tesis itu siap, maka semakin lambatlah saya boleh memasuki UiTM Jengka secara rasminya. UiTM Jengka? Kenapa? Ada apa dengannya? Benar, kerana di sana ada misi yang jauh lebih besar daripada misi menyiapkan tesis ini, tesis yang entah mampu untuk disiapkan dalam masa yang singkat ini entah tidak (doakan saya). Namun yang pastinya misi yang lebih besar itu harus disegerakan sesegera yang mungkin.

Sudah lama saya tidak berkunjung ke gedung ilmu ini. UTM adalah tempat pengajian saya yang paling lama dalam hidup, dan UTM juga adalah tempat di mana saya mengaji dan mengkaji Al-Quran semula, alhamdulillah. Bila sudah lama tidak berkunjung, maka kenalan-kenalan lama pun seringlah bertanya soalan biasa, “Bila lagi?”, dan seperti biasa, soalan disambut dengan senyuman yang bersahaja. Kemudian saya ajukan kembali soalan itu pada si pengaju soalan, “Bila lagi?”

Ya, “bila lagi” kamu mahu mula menyampaikan kebenaran kepada kenalan-kenalanmu? “Bila lagi” kamu mahu mula berubah dari diri kamu sekarang kepada diri kamu yang lebih baik? “Bila lagi” kamu mahu mula melonggarkan pakaianmu? “Bila lagi” kamu mahu mula mengutamakan pandangan ALLAH berbanding pandangan manusia? “Bila lagi kamu mahu mula menjadi naqibah? “Bila lagi” dan “bila lagi”?

Kawan-kawan, kita sudah lama mengiktiraf ALLAH sebagai majikan kita, kan? Kita sudah lama me’register’ diri kita sebagai pekerja di bawah syarikat ALLAH (dengan lafaz dua kalimah syahadah). Tapi kita masih suka bertangguh-tangguh untuk memulakan hari pertama kita bekerja dengan ALLAH. Setiap hari kerja kita semakin bertimbun di atas meja di pejabat, tapi kita masih belum mahu mula untuk menjejakkan kaki di syarikat ALLAH. Malah masih belum mahu mencuba untuk melangkah.

Kawan-kawan, betapa baiknya Majikan kita, menanti kehadiran diri kita untuk mula bekerja denganNya. Sedangkan Dia sudah terlalu lama memberi gaji dan elaun sara sepanjang hidup kepada kita, setiap saat, setiap detik. Tidak pernah sekali pun Majikan kita Yang Maha Kaya itu melupakan keperluan hidup kita, syukur alhamdulillah.

Kawan-kawan, percayalah, apabila kerja di pejabat semakin bertimbun-timbun, maka kita akan mula sakit kepala, kerana tidak tahu mahu bermula di mana. Nak mula dengan kemas mejakah? Atau nak set up komputer dulu? Atau nak terus mula siapkan kerja yang pertama diberi sejak berzaman dulu? Atau nak siapkan kerja yang paling senang? Atau yang paling susah dulu? Atau nak buat kerja yang paling mahal dulu?

Ada juga di antara kita yang mahu melangkah, tapi masih segan-segan kerana tidak ada kesediaan untuk bekerja. Pengetahuan tentang pekerjaan masih kurang, tidak biasa berkomunikasi dalam dunia pekerjaan, baju pejabat belum dibeli, tiada kawan sekepala dan macam-macam perkara lagi yang seolah-olah menyekat diri kita untuk mula bekerja. Jadi, macamana ye? Kawan-kawan, lets be wise and creative. Robohkanlah penghadang-penghadang itu sesegera yang mungkin, kerana kita mesti mula bekerja hari ini, dan kita tidak mahu timbunan kerja bertambah lagi.

Kawan-kawan, jom, kita mula berazam! Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula mencari ilmu tentang pekerjaan saya seperti jawatan yang telah diberikan oleh ALLAH”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula selalu berkumpul bersama orang-orang soleh”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula berjinak-jinak dengan pakaian yang menutup aurat saya dengan sempurna”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula mencari sahabat setia yang mahu berjalan seiringan dengan saya di jalan ini”.

Kawan-kawan, jangan lupa untuk katakan juga, “Ya, hari ini saya akan mula menjauhkan diri saya dari tempat-tempat yang tidak suka diunjungi oleh malaikat penyampai hidayah”. Dan katakanlah, “Ya, hari ini saya akan mula menjauhkan diri saya dari aktiviti-aktiviti persatuan yang tidak mendekatkan diri saya dengan ALLAH”. “Kerana semua inilah yang akan menjadi penghadang untuk saya memulakan hidup baru di hari pertama saya bekerja dengan Majikan saya yang saya rindui”.

So, jangan bertangguh lagi ya kawan-kawanku. Tak mahu dengar lagi kata-kata “belum sampai seru” atau “belum bersedia” untuk menjadi pekerja setia kepada ALLAH. Ingat, kerja kita makin bertambah, dan kerja kita sememangnya makin bertambah!

24 August 2010

Merealisasikan Rukun Usrah



Di dalam ‘Risalatur al-Usr’ dinyatakan bahawa “ usrah terdiri daripada lima orang, ini merupakan bilangan yang paling minima untuk satu fikrah yang mahu melaksanakan segala aktiviti-aktiviti usrahnya seperti mengkaji dan menyebarkan fikrahnya, mengoperasikan sistem tarbiyah fizikal, intelektual dan spiritual, mengikuti perkembangan semasa, mengkaji setiap peristiwa tersebut, mengeluarkan arahan yang sesuai dengannya, menerima arahan-arahan dari pimpinan dan melaksanakan tuntutannya dan memiliki pengetahuan yang mendalam tentang perkara-perkara lain. Mungkin boleh dikatakan usrah merupakan unit kecil Ikhwan Muslimun “.

Syeikh Muhammad Abduh di dalam bukunya Maza Yakni Intima'i Li ad-Dakwah menyatakan seperti berikut:

Pertama: Taaruf

Kewajipan-kewajipan dan tugas-tugas yang menjamin kejayaan pilar ini ialah:

* Merasakan makna ukhuwwah yang sebenar dan sempurna antara kamu.
* Bersungguh-sungguh agar tidakada sesuatu pun yang mengeruhkan kemurnian ikatan kamu.
* Selalu membaca dan meneladani ayat-ayat dan hadis-hadis . jadikan ia pusat perhatianmu – ‘ berpegang teguhlah kamu dengan tali allah dan janganlah berpecah belah’ ( Ali Imran : 103) ‘ sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara’ ( Hujurat : 10)

Kedua: Tafahum

* Istiqamah di atas manhaj kebenaran.
* Laksanakan segala perintah allah dan tinggalkan apa yang dilarangnya.
* Evaluasilah (muhasabah) diri kamu dengan dengan teliti atas ketaatan dan kemaksiatan kamu.
* Hendaklah salah seorang dari kamu memberi nasihat kepada saudaranya apabila melihat keaiban saudaranya.
* Setiap akh menerima nasihat saudaranya denagn penuh gembira dan sukacita.
* Akh yang memberi nasihat harus menjaga hatinya agar tidak berubah sedikit pun terhadap saudaranya yang dinasihati.Dia tidak boleh merendahkan kelemahan saudaranya atau merasakan dirinya lebih baik dari saudaranya.
* Hendaklah dia menyimpan rahsia kelemahan saudaranya selama sebulan dan tidak menyampaikan kepada sesiapa pun kecuali kepada ketua usrah (murobbi) jika dia tidak mampu untuk memperbaikinya.
* Dia berterusan mencintai, menghormati dan mengasihi saudaranya.
* Saudara yang dinasihati tidak boleh berdegil atau keras kepala dan berubah hati kepada saudaranya yang memberi nasihati sekecil mana sekali pun.

Ketiga: Takaful

* Sentiasa saling tolong menolong dan meringankan beban saudara kamu.
* Berjanji untuk menunaikan tanggungjawab sesama kamu dengan saling bertanya dan melakukan kebaikan.
* Proaktif untuk membantu saudaranya jika ada kesempatan.
* Renungkan sabda Rasulullah SAW : “Seseorang yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya lebih baik dari dia beriktikaf di masjidku selama sebulan..”

05 January 2010

Saya Benci Usrah!

Tolonglah, saya rimas dengan usrah! Saya tidak suka!

Pernah tak rasa nak lari? Nak duduk sorang-sorang? Tidak mahu diganggu. Dapat awek comey? Haha. Tengok TV puas-puas. Bergayut dengan pakwe berjam-jam. Shopping sana shopping sini. Bebas bercakap dengan lelaki yang disukai. Lemas dalam ungkapan cinta perempuan yang dicintai. Oh, indahnya!

Saya ingin bebas. Belenggu tarbiyah pada saya menyakitkan. Saya mahu lari dari usrah. Saya benar-benar rasa terbeban. Orang lain bersenang-lenang, tetapi saya perlu isi kekosongan dengan halaqah (baca: usrah). Saya masih mentah. Masih tercari-cari arah hidup, malah saya masih muda untuk memahami erti dan konsep perjuangan.

Saya keliru. Saya sama sekali tidak mengerti “Mengapa saya di sini?”, “Kenapa saya dilemparkan ke sini?”, dan “Sebab apa saya harus di sini?” “Untuk apa saya harus melalui proses tarbiyah?”, “Untuk apa saya mesti ada murabbi (baca: naqib/naqibah) yang seringkali menyemak status hafazan dan amalan-amalan saya?”, “Bukankah cukup, asalkan saya tahu halal haram atau baik buruk?”

Tolonglah, saya tidak perlu semua ini. Saya rimas diperlakukan seperti ini. Saya rasa dikongkong. Faham tak? Hati saya kadang-kadang memberontak. Begitulah jadinya. Kadang-kadang saya suka. Suka dan rela ditarbiyah. Kadang-kadang, saya rimas. Identiti diri tidak tetap sama sekali.


Oh, rupanya saya hidup dalam matlamat yang samar-samar!

Saya tidak suka, bukan kerana saya benci. Hanya kerana saya kurang jelas dengan matlamat hidup. Saya masih tercari-cari. Buntu. Tidak faham. Keliru. Namun, hanya satu yang saya jelas tentang diri. Ketangkasan inkuiri yang sering mencetuskan intuisi. Saya suka pada soalan yang ada jawapan. Saya tidak suka “mengimani” sesuatu perkara dengan taqlid buta.

Pencarian demi pencarian. Hikmah pencarian menemukan jawapan. Rupanya-rupanya, saya memang ada matlamat. Namun, saya masih tidak jelas dengan matlamat. Saya memang punya matlamat, namun saya tersalah memilih matlamat dan tersalah arah tujuan, maka akibatnya saya tersalah memilih jalan untuk mencapai matlamat itu.

ALLAH Matlamat Hidup! Allahu Ghoyatuna! - Bukan sekadar tahu, tetapi faham dan sedar.

Hidup kita hanya untuk Allah. Seluruh hidup kita hanya untuk Allah, baik ilmu pengetahuan, perniagaan, harta kekayaan, rumahtangga, waktu, pemikiran dan sebagainya, semuanya hanyalah untuk Tuhan kita, Allah! [1] Saya tahu itu, namun saya buta. Saya tahu, tetapi saya tiada kesedaran. Selama ini, saya hanya tahu dan pandai mengungkapkan “hidup ini indah jika segalanya kerana Allah”, namun saya gagal memahami dan menyedari “makna hakikat hidup bersama Allah”.

a. Saya cakap saya ingin belajar kerana Allah, tetapi secara praktikalnya, saya belajar hanya kerana exam, ingin lulus, untuk kepuasan diri, serta sebagai aset kebanggan ibu dan ayah.

b. Saya kata saya beribadah untuk Allah, tetapi saya masih gagal meletakkan sepenuhnya cinta Allah dalam hati. Saya masih ralit dan goyang kaki sewaktu azan berkumandang.

c. Saya kata saya sepenuhnya mencintai Allah, tetapi saya masih buat apa yang Allah larang dan tinggalkan apa yang Allah suruh.

d. Saya mengaku beragama Islam, tetapi saya tidak bersungguh-sungguh menuntut ilmu, mencari ilmu dunia dan akhirat untuk mengembalikan kegemilangan ISLAM.

e. Saya mengaku kecintaan saya terhadap ISLAM, namun saya masih kurang sensitiviti dan nilai peduli dalam diri tentang saudara seaqidah yang beragama ISLAM.

f. Saya mengaku Allah sebagai Rabb, namun saya masih bersenang-lenang, membuang masa, dan kurang ingatan kepada Allah. Andai kata cinta, mengapa begini jadinya? Cintakah namanya ini?

Saya geleng kepala. Kaku. Terkesima dengan persoalan dari akal sendiri. Tertunduk lemah. Dahi berkerut, masih berfikir dan merenung hakikat diri yang makin jauh. Rupanya inilah sebabnya saya tercari-cari arah hidup, hilang pedoman, dan tidak henti-henti mencari. Saya cuma mengetahui tetapi sama sekali tidak menyedari.

3 kategori manusia di dunia. Saya yang ke berapa? [2]

Saya meneliti satu persatu. Menilainya, dan cuba mengukur maknanya di badan sendiri.

a. Golongan yang hidupnya untuk dunia sahaja

“Mereka berkata: Kehidupan kita ini tiada lain melainkan kehidupan dunia sahaja, kita mati (tiada) kemudian kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain dari masa dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka itu tiada lain hanya menduga-duga sahaja.” [Al-Jathiyah, 45: 24]

* Cara hidup : Materialistik! Hidupnya hanya untuk kebendaan dan memuaskan hawa nafsu serta syahwat. Usaha dan ilmunya hanya tertumpu pada dunia.
* Pegangan hidup: Tidak mempercayai adanya hari kebangkitan dan perhitungan, percaya bahawa manusia hanya akan dibinasakan oleh masa.
* Golongan: Komunis, penganut fahaman sekularisme dan existensialism.

b. Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat

“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Inilah kesenangan hidup dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang terbaik.”[Ali-‘Imran, 3: 14]

* Cara hidup: Aqidah menyimpang. Percaya adanya Hari Akhirat, namun aqidah jauh tersasar. Hakikatnya termasuk dalam golongan kebendaan (di atas) walaupun pada zahirnya melakukan sebahagian dari upacara-upacara kerohanian.
* Golongan : Orang kebanyakan.

c. Golongan yang menganggap dunia ini adalah ladang tanaman untuk di akhirat

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Apakah kamu tidak berfikir?” [Al-An’am, 6: 3]

* Cara hidup : Benar-benar beriman. Mereka mengetahui dan jelas dengan hakikat hidup. Mereka menginsafi nilai hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat. Menganggap dunia sebagai medan berbakti. Segala yang dilakukan diniatkan hanya untuk Allah, kerana Allah demi redha Allah!

Jadi, apa kaitannya saya dengan halaqah? Tarbiyah dan perjuangan? Usrah dan matlamat?



Kita tidak selalu kuat jika sendirian. Mungkin hari ini qowiy, esok belum tentu tidak futur. Iman pula yazid dan yanqus. Kadang-kadang, kalau kita dekat dengan Allah, ibadah meningkat, iman pun naik. Bila diuji sedikit, dan kita gagal mengawal emosi dan mengurus tekanan, kemungkinan jalan yang dipilih tersasar dari haluan sebenar. Maka, halaqah pada saya banyak membantu.

Tarbiyah membantu pembentukan diri. Mengajar diri menjadi muslim sejati bertepatan dengan muwassofat tarbiyah. Melatih minda, fizikal dan rohani. Hebatnya tarbiyah Rasulullah hingga melahirkan golongan yang berani berperang di jalan Allah! Tidak gentar sama sekali malah hati-hati mereka hanya untuk Allah. Keyakinan mereka hanyalah pada Allah. Subhanallah. Hebat bukan?

Tarbiyah sebeginilah yang cuba dipraktik, sebagai “latihan” buat diri untuk berjuang mengembalikan kegemilangan ISLAM. Kalau sendirian, mungkin sukar untuk ada tahap kesedaran, mungkin susah untuk menyuntik nilai pedulisme dalam diri. Banyak lagi yang harus diselongkar, namun ternyata saya masih cetek ilmu. Masih baru dalam dunia yang bagi saya terlalu asing pada mulanya.

Inilah pentingnya usrah, halaqah, tarbiyah dalam memahami erti perjuangan. Inilah pentingnya dalam memahami dan menyedari hakikat kebersamaan hidup dengan ISLAM.

Alhamdulillah, thank you Allah!

“Allah s.w.t. telah membersihkan orang-orang mukmin dari tujuan-tujuan yang salah dengan memberikan tanggungjawab dan kewajipan yang tinggi lagi mulia. Tanggungjawab tersebut ialah menunjuk kebenaran ISLAM kepada manusia. Mengajak manusia seluruhnya kepada kebajikan dan menyinarkan seluruh alam ini dengan cahaya ISLAM.” [3]

Allah mahu kita susah, kerana Allah sayangkan kita. Memimpin diri sendiri juga sangat susah, apatah lagi ingin berdakwah. Ternyata semuanya susah. Rupa-rupanya, dalam kepayahan itu, Allah ingin menyelamatkan kita dari matlamat hidup yang salah. Allah berikan tanggungjawab, dan kewajipan supaya kita sentiasa di jalan yang benar. Tidak dibiarkan sesat, tetapi dibiarkan sibuk dalam melakukan ketaatan padaNya. Syurga sebagai hadiah, dan sebagai pelengkap nikmat hidup di dunia.

“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabadikan diri kepadaku.” [Az-Zariyat, 51: 56]

“Ya Allah, kuatkanlah kami untuk terus berpegang dengan matlamat dan cara hidup yang benar. Saya mesti hidup untuk ISLAM!”

Wallahu a’lam.
__________________________________________________

Rujukan:

[1] Fathi Yakan: Apa Ertinya Saya Menganut Islam? (Halaman 101)

[2] Fathi Yakan : Apa Ertinya Saya Menganut Islam? (Halaman 97-101)

[3] Fathi Yakan : “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?” (Halaman 100)

__________________________________________________

05 November 2008

Sejarah Usrah


Usrah. Satu perkataan yang tidak lagi ganjil di kalangan orang yang sudah terlibat dengan apa-apa persatuan atau gerakan Islam. Pernah suatu ketika dahulu ia merupakan satu perkataan yang menimbulkan bermacam-macam persoalan dan sesiapa yang mengikutinya dianggap sebagai orang-orang yang merancang kejahatan (baca: aktiviti underground). Mungkin juga sekarang, ada sesetengah tempat yang masih lagi mempunyai inersia yang sedemikian tetapi di kebanyakan tempat ia sudah menjadi satu perkataan yang lazim dan begitu sinonim dengan badan-badan Islamik.

Persoalannya, ada apa dengan usrah?

Buat mereka yang ada latar belakang Islamik, yang ibu bapa mereka giat di dalam aktiviti-aktiviti Islam maka mereka mungkin sudah mengetahui apakah usrah. Tetapi buat sebahagian besar dari yang lainnya itu, di tempat-tempat mereka mengenali wadah Islamlah tempat mereka mengenali apakah itu usrah. Itupun bernasib baik jika dipanggil sebagai usrah, adakalanya sesetengah tempat menggunakan nama-nama lain seperti Halaqah al-Qur'an (HAQ), Majlis Diskusi Pelajar (MDP) dan lain-lain lagi.

Bagi ramai, mereka memahami bahawa usrah itu adalah perjumpaan mingguan yang bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan iman di masa-masa yang lapang. Andaikata masa tersebut lapang, maka insya Allah dia akan menyertai. Tetapi jika ada hal lain, haa... "Saya fikir-fikir dulu ye bang?" biasa lah tu.

Tetapi...

Sebelum masuk kepada "ada apa dengan usrah?" saya suka ingin membawa anda kepada melihat sirah usrah itu sendiri.

Pada peringkat awal permulaan da'wah Islamiyah, RasuluLlah SAW yang telah bermula dengan seorang diri. Lalu ia dikongsikan dan disebarkan kepada keluarganya terapat, di dalamnya termasuk Khadijah, zaujah baginda dan Ali, anak saudaranya. Selain dari itu, beberapa sahabat RasuluLlah yang terapat juga telah disampaikan dengan risalah agung ini, contohnya Abu Bakar as-Siddiq dan datang daripadanya pula Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain lagi.

Zaman awal tersebut merupakan suatu zaman yang tertumpu kepada penjernihan fikrah; penjernihan aqidah Islam kepada yang tulen. RasuluLlah SAW pada ketika itu banyak berjumpa dan mengajar sahabat-sahabatnya yang baru memeluk Islam, tetapi suasananya penuh dengan kerahsiaan. Sebabnya mudah; kaedah da'wah yang dilakukan adalah da'wah fardiyah dan setiap orang ingin menjaga keselamatan masing-masing.

Ayat-ayat yang paling awal diturunkan pula pendek-pendek. Mesejnya jelas. Setiap hentian membawa seseorang kepada memikirkan keindahan ayat-ayat tersebut. Rentaknya pula sangat kena dengan hati yang berkarat, yang dipenuhi dengan anasir jahiliyah. Apa yang kita dapat perhatikan ialah kebanyakan ayat tersebut berada di dalam bahagian Mufassal al-Qur'an (dari Qaf, 50 hingga an-Nas, 114). Isinya tidak lain dan tidak bukan untuk membersihkan pemikiran manusia dari cengkaman keindahan hidup yang merosakkan, agar mereka mengetahui tujuan hidup mereka, ke mana mereka akan dikembalikan, siapakah tuhan mereka dan persoalan-persoalan asasi yang perlu diketahui oleh makhluk yang bernama manusia (juga jinn).

Dalam konteks tersebut, RasuluLlah telah membuat pertemuan-pertemuan di rumah beberapa sahabat. Antara yang paling masyhur sekali kisahnya ialah pertemuan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Satu majlis yang kecil yang terdiri daripada beberapa orang sahabat tertentu dibuat untuk membentuk nilai-nilai Islamik ahlinya. Tetapi, pada ketika itu ia tidak disebut sebagai usrah.

Selepas berlalunya zaman tersebut, Islam kembali menjadi asing. Suatu janji yang disebutkan sendiri oleh RasuluLlah SAW: "Islam datang dalam keadaan gharib (asing) dan akan kembali menjadi gharib (asing)..." (Muslim). Dan kita melihat jahiliyyah kembali berleluasa, lagi-lagi ia berlaku dengan lebih rancak lagi setelah kejatuhan Khilafah Islamiyah yang terakhir pada tahun 1924M.

Hassan al-Banna (1906-1949) yang menyedari hakikat ini telah memulakan usaha-usaha untuk mengembalikan sistem Khilafah tersebut. Antara perkara yang diperhatikan ialah bagaimana institusi keluarga itu telah gagal di dalam membentuk peribadi muslim yang tulen. Ibu bapa gagal mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah Islamiyah yang betul. Maka dari situ, lahirlah satu sistem yang mengumpulkan orang-orang yang ingin berubah dan mengubah di dalam satu kumpulan khusus bernama usrah.

Usrah (baca: keluarga). Kenapa? Kerana ia bertujuan membawa fungsi membentuk individu muslim dengan tarbiyah Islamiyah yang tulen kepada ahlinya sementara institusi keluarga (baca: usrah) yang sebenar belum dapat menjalankan fungsi tersebut dengan baik. Ketuanya (baca: naqib) umpama seorang bapa. Ahlinya yang lain umpama anak-anak. Seorang naqib memainkan peranan yang sangat penting sebagai bapa untuk menjaga kebajikan ahlinya, seorang syeikh dalam memberi pengisian ruhiyah, seorang ustaz di dalam mendidik dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat, dan seorang qiyadah di dalam memberi arahan yang perlu dilaksanakan.

Hasilnya ialah, sistem usrah itu bertujuan menjadi salah satu daripada wasilah tarbiyah untuk memndidik dan membina individu-individu muslim yang tulen lagi "tegar". Dan perkara ini hanya akan terhasil setelah menepati rukun-rukun usrah yang ada: (1) Ta'aruf, iaitu saling berkenalan sesama ikhwah hingga sampai tahap mengenali potensi dan kelemahan setiap individu di dalam kumpulan tersebut, (2) tafahhum, saling memahami hingga seorang akh itu dapat menegur dan ditegur oleh akh yang lainnya, dan (3) takaful, lalu memenuhi seruan Rasul; "Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan".

Akhirnya, usrah yang berkesan itu adalah usrah yang mendapat partisipasi dari hebat dari ahlinya di samping bimbingan dan panduan yang mantap dari naqibnya. Tanpa kedua-dua ini, tidak mungkin wujud usrah yang muntijah.

Fikir-fikirkanlah apa yang patut dibuat...

* Diambil dari http://atmkeikan.blogspot.com
Design by Abdul Munir
Modified by Kapt Ir Dr