AlhamdiliLlah, baru-baru ini ana telah disedarkan oleh Allah berkenaan satu hubung kait yang mampu ana bicarakan bagi membuka minda para pembaca. Situasinya begini… Kurang sebulan yang lalu…
Kata lecturer, “Baik, untuk tentukan ketebalan concrete cover pada foundation/footing ini, seperti biasa, lihat pada BS8110 muka surat 22, Jadual 3.4. Di situ ada dijadualkan ketebalan yang sesuai untuk concrete cover bagi melindungi konkrit daripada terdedah kepada kepanasan api ………”
Zuuupppp!!!!! Tersentak di kepala bila terdengar frasa “kepanasan api” ini. Terasa seperti ada air mata yang tersembunyi di balik kelopak mata. Melihat teman-teman sekuliahku yang berpakaian ketat. Melihat rakan-rakan seblokku yang berpakaian nipis dan jarang. Melihat teman-teman sesekolahku yang makin berpakaian singkat. Melihat sesiapa sahaja di sekeliling diri ini yang berpakaian tetapi tidak berpakaian.
Para civil engineer yang dilabelkan sebagai pencipta konkrit ini sendiri pandai meletakkan cover pada konkrit. Ketebalan ini biasanya 20 mm atau 25 mm bagi tempoh rintangan konkrit terhadap api selama sekurang-kurangnya 2 jam. Siap dijadualkan ketebalan ini mengikut jenis penggunaan konkrit; tiang, rasuk, lantai, dsb. Untuk apa diletakkan standard sebegini dalam penghasilan konkrit? Untuk melindungi penghuni bangunan daripada haba api dan bagi memberi waktu kepada para penghuni bangunan untuk keluar dari bangunan sebelum konkrit musnah dibakar api. Juga kerana ‘pencipta’nya sendiri yang lebih arif berkenaan ciptaannya itu sendiri mengatakan bahawa konkrit ini tidak kalis terhadap api.
Pemikiran ini akhirnya tertumpu pada penciptaan sesuatu yang lebih sempurna, malah paling sempurna penciptaannya dari kalangan ciptaan-ciptaan yang lainnya. Manusia.
“Bukankah pernah datang kepada manusia waktu dari masa, yang ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur (antara benih laki-laki dengan benih perempuan) yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.” [Al-Insaan, 76: 1 & 2]Manusia ini, siapa penciptanya? Dan apa standard yang digunapakai? Sungguh Allah juga telah menetapkan syarat-syarat aurat cover buat ciptaanNya/hamba-hambaNya ini. Bagaimanakah agaknya penjadualan aurat cover ini ditetapkan oleh Allah? Tentulah dengan perbezaan aurat sesama mahram dan aurat dengan yang bukan mahram. Namun masih ramai yang belum tahu/sedar mengenai perihal pemakaian bagi menjaga aurat ini, terutamanya kaum wanita. Tahukah anda?
Inginkan dalil naqli? Lihat [An-Nur, 24: 31 & 60, Al-Ahzab, 33: 53, 55 & 59]. Arabicnya, terjemahan serta tafsirannya sila lihat mashaf “Al-Quran Dan Terjemahannya” di tangan antum ya, ana assume antum sentiasa membawanya ke mana-mana. Ada ayat yang menyatakan bahawa hanya wanita tua yang sudah tiada keinginan sahaja yang dibenarkan mendedahkan aurat ringannya. Tepuk dada, tanya diri, “Ana ni dah tua ke?”
“Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu …..” [Al-A’raaf, 7: 26]Kembali kepada persoalan pokok. Konkrit normal yang biasanya berkekuatan 2400 kg/m3 dan mempunyai cover setebal 25 mm itu hanya mampu bertahan selama 2 jam dari kepanasan api dunia. Apatah lagi api neraka Allah itu, sudah pasti kulit manusia yang hanya berkekuatan kurang dari 100 kg/m3 (agaknya) dan setebal kurang dari 0.1 mm (agaknya) ini tidak mampu menahannya.
“….. dan Dia menjadikan pakaian bagimu yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan …..” [An-Nahl, 16: 81]Maka buat para wanita yang bijak berfikir, tutuplah dan jagalah auratmu, longgarkanlah pakaianmu, labuhkanlah tudungmu dan tebalkanlah kain yang melindungi dirimu dari panahan mata lelaki yang hatinya berpenyakit itu. Jangan sesekali biarkan susuk tubuhmu dijamah mata mereka. Luaskanlah pemikiranmu dengan petunjuk dan ajaran Allah.
Kerana pendengaran, penglihatan dan hati yang telah dikaburkan oleh Allah dari mendapat petunjukNya, seringkali menolak sesuatu yang mereka tahu ada kebaikan yang hakiki padanya. Na’udzubillahi min dzalik!
“Dia telah menciptakan manusia dari mani, ternyata dia (manusia itu) menjadi pembantah yang nyata” [An-Nahl, 16: 4]Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, kurniakan cahayaMu ke dalam hati kami dan ampunilah segala kesilapan kami. Ameen. Wallahu’alam.
===============================================================================
Tidak semua orang yang menolak kebenaran itu tidak tahu bahawa apa yang ditolak mereka itu adalah benar.
===============================================================================