19 November 2008

Heart Maintenance


Hati ini
Bagai ada virus yang meracuni
Entah kenapa penawar itu tidak ditemui
Sedang racun itu mula menjamah ke akar umbi

* silent mode, thinking and blinking *

* and.. crying.. *

Exam

Minggu Belajar (2 minggu)


Hari Terakhir Peperiksaan (18 Nov 2008)

AlhamduliLlah.. Akhirnya tamat sudah minggu peperiksaan buat diri ini pada hari semalam. Keseronokan habis peperiksaan disambut dengan bermain bowling di Teluk Danga bersama rakan-rakan sekelas (kali pertama main ni, hehe). Apa pun, bukan keseronokan itu yang ingin ana kongsikan kali ini. Tetapi adalah berkenaan dengan tiga perkara ini; usaha + doa + tawakkal.

Pada pandangan ana, otak manusia ini ada berbagai-bagai sifatnya. Ada otak yang macam span, boleh serap air dengan cepat dan boleh diperah air itu bila-bila masa pun. Ada otak yang macam kayu, boleh serap air tapi susahnya nak luahkan balik. Dan ada juga otak yang macam besi yang langsung tak boleh serap air, malah melantunkan balik air tu.

Usaha. Oleh kerana berbagai macamnya otak manusia, maka masing-masing akan mempunyai cara belajar yang berbeza-beza. Ada yang cukup sekadar belajar di kelas, ada yang perlu belajar balik pada waktu pagi buta di bilik, dan ada yang sangat-sangat memerlukan study group untuk lebih memahami ilmu. Maka fikirlah cara belajar yang batul-betul sesuai dengan diri kita dan cuba sedaya upaya untuk lebih mengefisyenkan cara belajar itu. Kalau tidak, sampai bila-bila pun otak kita hanya akan menjadi seperti kotak yang kaku dan beku, sedangkan otak itu perlu bergerak aktif seperti bola yang sfera.

Usaha juga perlulah sesuai dengan masa yang ada. Bak kata cikgu-cikgu dulu, jangan belajar waktu lepas asar sampai habis maghrib, ilmu tak kan masuk. Tapi belajarlah waktu sebelum subuh sebab suasana yang hening itu lebih menenangkan fikiran dan ilmu mudah diserap. Usahakan bangun pagi seawal yang mampu. Mungkin juga lebih baik jika disediakan nota ringkas , kecil dan padat untuk setiap bab bagi setiap subjek. Sekurang-kurangnya ada juga bekalan untuk dibaca pada waktu last minute nanti.

Doa. Ada banyak doa penerang hati yang telah kita pelajari sepanjang hidup ini. Namun untuk waktu peperiksaan ini, ana lebih berminat untuk membaca Doa Kanzul 'Arasy dan Doa 'Akasyah dalam Majmu' Syarif. Ha, mungkin ada yang tidak pernah dengar apa itu Majmu' Syarif. Carilah sendiri ya. Doa-doa ini ana baca sebelum dan selepas menjawab soalan peperiksaan, lebih kurang 15 minit sekali baca. Kalau tak silap ana, Doa Kanzul 'Arasy dilabelkan sebagai penghulu segala doa (tak pasti).

Ana amalkan doa ni sejak ambil SPM dulu lagi, dan berterusan sampai sekarang. AlhamduliLlah, hati sangat tenang ketika menjawab soalan dan akal sangat yakin dengan jawapan yang diberikan. Bagi ana, isu betul atau salahnya kefahaman ana semasa menjawab soalan bukanlah isu utama, tapi ketenangan dan keyakinan itulah yang lebih diperlukan dan disyukuri. Tak ada gunanya kalau tahu apa jawapan yang betul, tapi gabra semasa menjawab, akhirnya tangan menggeletar dan menghabiskan masa, alangkah ruginya..

Tawakkal. Ini pula petua dari mak ana. Lepas dah habis usaha dan doa semua, masa on da way ke dewan peperiksaan tu, bacalah Surah Al-Insyirah banyak-banyak. Bagi yang uzur syar'ie pula, bacalah "Rabbana yassir, wa la tu'assir" banyak-banyak. Sebabnya? Tengoklah pada maksud surah tu ya. Tafsirannya amat menenangkan hati, dan rasa tawakkal itu akan bertambah-tambah lagi. Then waktu kaki melangkah masuk ke dewan peperiksaan, bacalah "BismiLlahi tawakkaltu 'alaLlah.... (ila akhir ayat)", insyaAllah Allah akan permudahkan urusan kita sepanjang berada dalam dewan.

Hm.. Macam ada lagi perkara yang nak dikongsikan berkenaan hal belajar dan peperiksaan ini. Tapi nantilah, lain kali. Wallahu'alam.

15 November 2008

Concrete Cover

AlhamdiliLlah, baru-baru ini ana telah disedarkan oleh Allah berkenaan satu hubung kait yang mampu ana bicarakan bagi membuka minda para pembaca. Situasinya begini… Kurang sebulan yang lalu…

Kata lecturer, “Baik, untuk tentukan ketebalan concrete cover pada foundation/footing ini, seperti biasa, lihat pada BS8110 muka surat 22, Jadual 3.4. Di situ ada dijadualkan ketebalan yang sesuai untuk concrete cover bagi melindungi konkrit daripada terdedah kepada kepanasan api ………”



Zuuupppp!!!!! Tersentak di kepala bila terdengar frasa “kepanasan api” ini. Terasa seperti ada air mata yang tersembunyi di balik kelopak mata. Melihat teman-teman sekuliahku yang berpakaian ketat. Melihat rakan-rakan seblokku yang berpakaian nipis dan jarang. Melihat teman-teman sesekolahku yang makin berpakaian singkat. Melihat sesiapa sahaja di sekeliling diri ini yang berpakaian tetapi tidak berpakaian.

Para civil engineer yang dilabelkan sebagai pencipta konkrit ini sendiri pandai meletakkan cover pada konkrit. Ketebalan ini biasanya 20 mm atau 25 mm bagi tempoh rintangan konkrit terhadap api selama sekurang-kurangnya 2 jam. Siap dijadualkan ketebalan ini mengikut jenis penggunaan konkrit; tiang, rasuk, lantai, dsb. Untuk apa diletakkan standard sebegini dalam penghasilan konkrit? Untuk melindungi penghuni bangunan daripada haba api dan bagi memberi waktu kepada para penghuni bangunan untuk keluar dari bangunan sebelum konkrit musnah dibakar api. Juga kerana ‘pencipta’nya sendiri yang lebih arif berkenaan ciptaannya itu sendiri mengatakan bahawa konkrit ini tidak kalis terhadap api.

Pemikiran ini akhirnya tertumpu pada penciptaan sesuatu yang lebih sempurna, malah paling sempurna penciptaannya dari kalangan ciptaan-ciptaan yang lainnya. Manusia.

“Bukankah pernah datang kepada manusia waktu dari masa, yang ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur (antara benih laki-laki dengan benih perempuan) yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.” [Al-Insaan, 76: 1 & 2]

Manusia ini, siapa penciptanya? Dan apa standard yang digunapakai? Sungguh Allah juga telah menetapkan syarat-syarat aurat cover buat ciptaanNya/hamba-hambaNya ini. Bagaimanakah agaknya penjadualan aurat cover ini ditetapkan oleh Allah? Tentulah dengan perbezaan aurat sesama mahram dan aurat dengan yang bukan mahram. Namun masih ramai yang belum tahu/sedar mengenai perihal pemakaian bagi menjaga aurat ini, terutamanya kaum wanita. Tahukah anda?



Inginkan dalil naqli? Lihat [An-Nur, 24: 31 & 60, Al-Ahzab, 33: 53, 55 & 59]. Arabicnya, terjemahan serta tafsirannya sila lihat mashaf “Al-Quran Dan Terjemahannya” di tangan antum ya, ana assume antum sentiasa membawanya ke mana-mana. Ada ayat yang menyatakan bahawa hanya wanita tua yang sudah tiada keinginan sahaja yang dibenarkan mendedahkan aurat ringannya. Tepuk dada, tanya diri, “Ana ni dah tua ke?”

“Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu …..” [Al-A’raaf, 7: 26]

Kembali kepada persoalan pokok. Konkrit normal yang biasanya berkekuatan 2400 kg/m3 dan mempunyai cover setebal 25 mm itu hanya mampu bertahan selama 2 jam dari kepanasan api dunia. Apatah lagi api neraka Allah itu, sudah pasti kulit manusia yang hanya berkekuatan kurang dari 100 kg/m3 (agaknya) dan setebal kurang dari 0.1 mm (agaknya) ini tidak mampu menahannya.

“….. dan Dia menjadikan pakaian bagimu yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan …..” [An-Nahl, 16: 81]

Maka buat para wanita yang bijak berfikir, tutuplah dan jagalah auratmu, longgarkanlah pakaianmu, labuhkanlah tudungmu dan tebalkanlah kain yang melindungi dirimu dari panahan mata lelaki yang hatinya berpenyakit itu. Jangan sesekali biarkan susuk tubuhmu dijamah mata mereka. Luaskanlah pemikiranmu dengan petunjuk dan ajaran Allah.

Kerana pendengaran, penglihatan dan hati yang telah dikaburkan oleh Allah dari mendapat petunjukNya, seringkali menolak sesuatu yang mereka tahu ada kebaikan yang hakiki padanya. Na’udzubillahi min dzalik!

“Dia telah menciptakan manusia dari mani, ternyata dia (manusia itu) menjadi pembantah yang nyata” [An-Nahl, 16: 4]

Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, kurniakan cahayaMu ke dalam hati kami dan ampunilah segala kesilapan kami. Ameen. Wallahu’alam.

===============================================================================
Tidak semua orang yang menolak kebenaran itu tidak tahu bahawa apa yang ditolak mereka itu adalah benar.
===============================================================================

Amalan Kafirun

Mengapa ye, segala kebaikan yang dilakukan oleh orang-orang kafir tidak mendapat pahala? Bukankah mereka juga ada yang baik budi pekertinya, baik bicaranya, baik perilakunya, malah ada yang lebih baik akhlaknya berbanding masyarakat islam masa kini?

Persoalan ini pernah bermain-main dalam kotak pemikiran ana. Namun kerana bimbang akal ini terjerumus ke lingkungan pengaruh kekafiran, maka ana abaikan persoalan ini dari terus diexplore oleh akal yang alhamduliLlah masih waras ini. Dan akhirnya ana temui jawapannya dalam sebuah buku yang menerangkannya dengan ringkas dan padat. Bunyi jawapannya seperti ini…

Seorang lelaki masuk ke dalam sebuah kebun yang luas yang bukan miliknya. Kemudian dia mendapati di dalamnya terdapat buah-buahan dan berbagai jenis makanan dan minuman. Lalu dia pun makan dan meminumnya. Selepas itu dia melakukan kerja di dalam kebun itu, ada pokok yang dicabutnya dan ada yang ditanam.

Kemudian seorang lelaki lain masuk ke dalam kebun itu, dia berkata pada dirinya, “Aku tidak akan melakukan sesuatu di dalam kebun ini sehingga aku bertemu dengan pemilik kebun atau wakilnya.” Dia terus mencari orang tersebut.

Apabila wakil pemilik kebun menemui kedua-dua lelaki tadi, dia menegur kerja-kerja yang dilakukan oleh lelaki pertama, tetapi lelaki itu tidak mengendahkan teguran tersebut. Dia terus melakukan kerja di kebun itu tanpa mendapat kebenaran pemiliknya. Lelaki kedua pula mendengar segala arahan wakil pemilik kebun itu dan melakukan kerja mengikut arahan yang diberikan.

Sekarang, siapakah yang layak menerima upah?

Adakah orang yang masuk ke dalam kebun tanpa kebenaran dan melanggar arahan pemilik yang dibawa oleh wakilnya layak menerima upah? Adakah dia layak menerima upah walaupun ada kerja baik yang dilakukannya di dalam kebun itu?

Tidak syak lagi setiap yang berakal akan menjawab, upah akan diberikan kepada orang yang mengikut segala arahan pemilik kebun. Orang yang menceroboh dan melakukan kerja mengikut kemahuan sendiri tanpa kebenaran pemilik walaupun ada orang yang melarangnya, tentunya tidak layak menerima upah walaupun sebahagian daripada kerja yang dilakukannya adalah baik.

Begitulah alam ini dan segala isinya. Ia adalah milik Allah. Manakala para RasulNya adalah utusan dan wakil Allah Ta’ala. Orang yang beriman adalah orang yang melakukan amalan berpandukan petunjuk Tuhannya. Manakala orang kafir adalah orang yang menggunakan segala milik Allah tanpa keizinan dan petunjukNya serta pada masa yang sama menentang para RasulNya.

Hm, menarik kan jawapan seperti ini? AlhamduliLlah, Allah memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang pernah mengganggu fikiran.

Namun terfikir pula ana, bagaimana pula halnya jika ada seorang lagi lelaki yang tiba di kebun itu, yang mana dia telah pun menemui wakil kebun dan telah diberitahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan di kebun itu, tetapi dia tidak mengikut seperti yang telah diarahkan oleh wakil kebun? Bagaimana agaknya nasib dia? Mengikut logik akal, adalah sangat wajar jika dia tidak diberi upah, malah dia harus dikenakan denda jika telah melakukan apa-apa yang merosakkan hasil kebun.

Wahai manusia yang telah diberikan otak, dan otak itu memiliki akal yang sihat dan waras, dan akal yang waras itu gunanya untuk berfikir, berfikirlah.. Wallahu’alam.

[Sumber: Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid – Diperakui Oleh Fakta Sains, 2004]

05 November 2008

Sejarah Usrah


Usrah. Satu perkataan yang tidak lagi ganjil di kalangan orang yang sudah terlibat dengan apa-apa persatuan atau gerakan Islam. Pernah suatu ketika dahulu ia merupakan satu perkataan yang menimbulkan bermacam-macam persoalan dan sesiapa yang mengikutinya dianggap sebagai orang-orang yang merancang kejahatan (baca: aktiviti underground). Mungkin juga sekarang, ada sesetengah tempat yang masih lagi mempunyai inersia yang sedemikian tetapi di kebanyakan tempat ia sudah menjadi satu perkataan yang lazim dan begitu sinonim dengan badan-badan Islamik.

Persoalannya, ada apa dengan usrah?

Buat mereka yang ada latar belakang Islamik, yang ibu bapa mereka giat di dalam aktiviti-aktiviti Islam maka mereka mungkin sudah mengetahui apakah usrah. Tetapi buat sebahagian besar dari yang lainnya itu, di tempat-tempat mereka mengenali wadah Islamlah tempat mereka mengenali apakah itu usrah. Itupun bernasib baik jika dipanggil sebagai usrah, adakalanya sesetengah tempat menggunakan nama-nama lain seperti Halaqah al-Qur'an (HAQ), Majlis Diskusi Pelajar (MDP) dan lain-lain lagi.

Bagi ramai, mereka memahami bahawa usrah itu adalah perjumpaan mingguan yang bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan iman di masa-masa yang lapang. Andaikata masa tersebut lapang, maka insya Allah dia akan menyertai. Tetapi jika ada hal lain, haa... "Saya fikir-fikir dulu ye bang?" biasa lah tu.

Tetapi...

Sebelum masuk kepada "ada apa dengan usrah?" saya suka ingin membawa anda kepada melihat sirah usrah itu sendiri.

Pada peringkat awal permulaan da'wah Islamiyah, RasuluLlah SAW yang telah bermula dengan seorang diri. Lalu ia dikongsikan dan disebarkan kepada keluarganya terapat, di dalamnya termasuk Khadijah, zaujah baginda dan Ali, anak saudaranya. Selain dari itu, beberapa sahabat RasuluLlah yang terapat juga telah disampaikan dengan risalah agung ini, contohnya Abu Bakar as-Siddiq dan datang daripadanya pula Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain lagi.

Zaman awal tersebut merupakan suatu zaman yang tertumpu kepada penjernihan fikrah; penjernihan aqidah Islam kepada yang tulen. RasuluLlah SAW pada ketika itu banyak berjumpa dan mengajar sahabat-sahabatnya yang baru memeluk Islam, tetapi suasananya penuh dengan kerahsiaan. Sebabnya mudah; kaedah da'wah yang dilakukan adalah da'wah fardiyah dan setiap orang ingin menjaga keselamatan masing-masing.

Ayat-ayat yang paling awal diturunkan pula pendek-pendek. Mesejnya jelas. Setiap hentian membawa seseorang kepada memikirkan keindahan ayat-ayat tersebut. Rentaknya pula sangat kena dengan hati yang berkarat, yang dipenuhi dengan anasir jahiliyah. Apa yang kita dapat perhatikan ialah kebanyakan ayat tersebut berada di dalam bahagian Mufassal al-Qur'an (dari Qaf, 50 hingga an-Nas, 114). Isinya tidak lain dan tidak bukan untuk membersihkan pemikiran manusia dari cengkaman keindahan hidup yang merosakkan, agar mereka mengetahui tujuan hidup mereka, ke mana mereka akan dikembalikan, siapakah tuhan mereka dan persoalan-persoalan asasi yang perlu diketahui oleh makhluk yang bernama manusia (juga jinn).

Dalam konteks tersebut, RasuluLlah telah membuat pertemuan-pertemuan di rumah beberapa sahabat. Antara yang paling masyhur sekali kisahnya ialah pertemuan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Satu majlis yang kecil yang terdiri daripada beberapa orang sahabat tertentu dibuat untuk membentuk nilai-nilai Islamik ahlinya. Tetapi, pada ketika itu ia tidak disebut sebagai usrah.

Selepas berlalunya zaman tersebut, Islam kembali menjadi asing. Suatu janji yang disebutkan sendiri oleh RasuluLlah SAW: "Islam datang dalam keadaan gharib (asing) dan akan kembali menjadi gharib (asing)..." (Muslim). Dan kita melihat jahiliyyah kembali berleluasa, lagi-lagi ia berlaku dengan lebih rancak lagi setelah kejatuhan Khilafah Islamiyah yang terakhir pada tahun 1924M.

Hassan al-Banna (1906-1949) yang menyedari hakikat ini telah memulakan usaha-usaha untuk mengembalikan sistem Khilafah tersebut. Antara perkara yang diperhatikan ialah bagaimana institusi keluarga itu telah gagal di dalam membentuk peribadi muslim yang tulen. Ibu bapa gagal mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah Islamiyah yang betul. Maka dari situ, lahirlah satu sistem yang mengumpulkan orang-orang yang ingin berubah dan mengubah di dalam satu kumpulan khusus bernama usrah.

Usrah (baca: keluarga). Kenapa? Kerana ia bertujuan membawa fungsi membentuk individu muslim dengan tarbiyah Islamiyah yang tulen kepada ahlinya sementara institusi keluarga (baca: usrah) yang sebenar belum dapat menjalankan fungsi tersebut dengan baik. Ketuanya (baca: naqib) umpama seorang bapa. Ahlinya yang lain umpama anak-anak. Seorang naqib memainkan peranan yang sangat penting sebagai bapa untuk menjaga kebajikan ahlinya, seorang syeikh dalam memberi pengisian ruhiyah, seorang ustaz di dalam mendidik dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat, dan seorang qiyadah di dalam memberi arahan yang perlu dilaksanakan.

Hasilnya ialah, sistem usrah itu bertujuan menjadi salah satu daripada wasilah tarbiyah untuk memndidik dan membina individu-individu muslim yang tulen lagi "tegar". Dan perkara ini hanya akan terhasil setelah menepati rukun-rukun usrah yang ada: (1) Ta'aruf, iaitu saling berkenalan sesama ikhwah hingga sampai tahap mengenali potensi dan kelemahan setiap individu di dalam kumpulan tersebut, (2) tafahhum, saling memahami hingga seorang akh itu dapat menegur dan ditegur oleh akh yang lainnya, dan (3) takaful, lalu memenuhi seruan Rasul; "Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan".

Akhirnya, usrah yang berkesan itu adalah usrah yang mendapat partisipasi dari hebat dari ahlinya di samping bimbingan dan panduan yang mantap dari naqibnya. Tanpa kedua-dua ini, tidak mungkin wujud usrah yang muntijah.

Fikir-fikirkanlah apa yang patut dibuat...

* Diambil dari http://atmkeikan.blogspot.com

Makna "Ilah"

Bismillah..

Baru-baru ni ana baca balik buku tazkirah ana. Terasa nak kongsi tentang sesuatu yang amat penting dalam kehidupan ni. Makna ‘ilah’ dalam dua kalimah syahadah.. Ana tidaklah mahu membuat perbincangan yang sangat terperinci, kerana ana pun bukanlah insan yang begitu arif dalam penyampaian ilmu tauhid ini.

Bermaksud “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”. Kalimah ‘ilah’ terdapat dalam penyaksian yang pertama (La ilaha illaLlah).
Dari segi bahasa, kalimah ‘ilah’ menjadi ‘aliha’ yang bermaksud:
i. ‘sakana-ilaihi’ (merasa temteram kepadaNya),
ii. ‘istajarabihi’ (memohon perlindungan denganNya),
iii. ‘isytaqo-ilaihi’ (yang ditujukan rindu padaNya) dan
iv. ‘wuli’abihi’ (yang paling dicintai padaNya).

Jika diamati, keempat-empat makna ‘ilah’ ini menepati ciri-ciri Allah yang disembah oleh manusia yang menyerah diri padaNya. Tepat sekali apabila Allah itu diingati, hati dan jiwa pasti akan merasa tenteram (Ar-Ra’d: 28). Tepat sekali bahawa hanya Yang Mencipta yang mampu memberikan perlindungan kepada yang diciptaNya. Tepat juga bahawa hanya kepada Allah jualah kerinduan dan kecintaan itu mesti ditujukan. Lihatlah betapa indahnya Bahasa Arab yang dipilih oleh Allah sebagai bahasa Syurga ini.

Keempat-empat maksud ini akan mewujudkan ‘‘abada’ (pengabdian) iaitu:
i. ‘kamalul-mahabbah’ (yang sempurna percintaannya),
ii. ‘kamaluttadzallul’ (yang sempurna penghinaan diri di hadapanNya; sujud) dan
iii. ‘kamalul-khudhu’’ (yang sempurna ketundukan padaNya; terhadap hukum-hukumNya)

Dari segi istilah pula, kalimah ‘ilah’ menjadi ‘al-ilahu’ yang bermaksud:
i. ‘al-marghub’ (yang diharapkan),
ii. ‘al-marhub’ (yang ditakuti),
iii. ‘al-masbu’’ (yang diikuti) dan
iv. ‘al-mahbub’ (yang dicintai)

Amati pula keempat-empat makna yang tersebut di atas. Benarlah bahawa Allah itulah yang diharap-harap pertemuannya oleh para mutaqarrabun (orang-orang yang mendekatkan diri padaNya). Allah itulah yang benar-benar perlu ditakuti amaran-amaran dan azab-azabNya. Allah itulah yang mesti dipatuhi dan diikuti perintah-perintah dan suruhan-suruhanNya. Dan Allah itu jugalah yang amat dicintai oleh para mukminin (orang-orang yang beriman).

Keempat-empat makna itu tadi akan merujuk kepada ‘al-ma’bud’ (yang diabdikan diri padaNya @ yang disembah) iaitu:
i. ‘sohibul-wilayah’ (pemilik autoriti),
ii. ‘sohibuttho’at’ (pemilik ketaatan) dan
iii. ‘sohibul-hakimiyyah’ (pemilik keadilan)

Itulah Allah; Pemilik autoriti ke atas seluruh makhluk ciptaanNya, Pemilik segala macam ketaatan oleh makhluk-makhlukNya dan Pemilik keadilan buat kemaslahatan makhluk-makhlukNya.

Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Maha Pemurah kepada sekalian makhlukNya dan Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman kepadaNya.

Wallahu’alam.

* Sebarang pembetulan/pembaikan pada post kali ini, harap dapat disegerakan tegurannya, bimbang ana tersalah faham tentang kalimah tauhid ini. Terutamanya teguran daripada mereka yang sama-sama menyertai pengisian tentang hal ini dahulu.


Ujian Ukhuwah

Ukhuwah. Kalimah ini begitu sinonim dengan umat islam dan hubungan sosial sesama muhrimnya. Sesiapa pun yang mempunyai handphone pasti pernah inboxnya dipenuh dengan mesej-mesej berbau ukhuwah, termasuk ana.

Ada yang mengatakan ukhuwah itu ibarat tasbih, ada permulaan tetapi tiada penghujung, diratib demi cinta kepada Allah semata. Ada juga yang mengatakan ukhuwah itu ibarat kaca, berkilau bila sering digilap namun apabila ia retak atau pecah ia tidak mungkin sempurna lagi. Sama ertinya dengan kata-kata bahawa ukhuwah yang terjalin setelah berlakunya sesuatu perpisahan itu tidak akan seindah ukhuwah yang sebelumnya.

Berbagai-bagai mutiara kata, berbagai-bagai mutiara hikmah disusun bagi mendifinisikan perihal ukhuwah ini. Namun tiada satu pun kata-kata manusia yang mampu menandingi kata-kata Allah dalam Al-Quran dan kata-kata Rasulullah dalam hadith-hadithnya.

“Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang” [Al-Balad, 90:17]

Dalam surah ini Allah menyatakan bahawa ukhuwah hanya berlaku sekiranya mereka saling berpesan sesama mereka dalam hal yang makruf. Dan tidak akan wujud ukhuwah dalam tujuan yang sebaliknya. Di sini juga ada disebutkan perihal akhlak iaitu sabar. Dan itulah isu yang ingin ana bangkitkan kali ini; sabar dalam berukhuwah.

Sememangnya benar ukhuwah itu memerlukan tahap kesabaran yang tinggi, kerana manusia ini ada berbagai ragamnya. Ada orang yang berfikiran terbuka dan ada yang emosional (sensitif), ada yang mudah bertolak-ansur dan ada yang keras kepala, ada yang tenang dan ada yang mudah tersinggung, begitu juga ada yang jahil dan ada yang ‘alim [Fathi Yakan, Madza Yakni Intima’i Lil Islam].

Hati ini dahulunya memang kebal dengan kerenah manusia. Buatlah apa yang antum ingin buat, katalah apa yang antum ingin katakan tentang diri ana, ana tak kan memantulkan semula semua itu pada antum. Namun entah kenapa makin hari makin nipis benteng kesabaran dalam diri. Seringkali hati ini terusik/terasa dengan kata-kata teman yang dipercayai. Namun alhamdulillah, konsep berlapang dada yang seringkali disebut-sebut dalam usrah telah mendecreasekan sifat mazmudah itu dalam diri ini.

Terlalu sukar rasanya untuk membuat pemilihan teman pada masa ini. Pertukaran suasana dan tempat memaksa diri mencari teman yang baru. Seandainya dahulu diri ini gagal dalam memilih teman, maka sudah pasti pusat-pusat kecantikan dikunjungi saban bulan, shopping complex diterokai saban minggu, dan tidak mustahil saban lewat malam kafe-kafe akan dijadikan tempat pertemuan dengan teman-teman bukan muhrim. Dalam Al-Quran, Allah berfirman:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh manusia memberi sedekah, atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami member kepadanya pahala yang besar” [An-Nisaa, 4:114]

Begitulah Allah memberi petunjuk kepada hambaNya berkenaan hal pemilihan teman untuk berukhuwah. Namun bagaimana pula jika timbul isu pemutusan hubungan dalam berukhuwah?

Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai kaum kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat terhadap saya, saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras terhadap saya”. Lalu baginda bersabda: “Jika sekiranya engkau berbuat seperti yang engkau katakan, seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat demikian”.

Hal ini pernah terjadi dalam hidup ana. Betapa sedih dan pilunya hati ini bila pertanyaan khabar yang seringkali diajukan tidak berbalas. Apakah diri ini membosankan? Atau mungkin pernah wujud kata-kata dari lidah ini yang telah menyakiti hati mereka. Sesungguhnya diri ini hanya ingin menjadi peng-ukhuwah seperti yang disarankan oleh Allah. Maaf dipinta seandainya pernah ana mengguris perasaan sesiapa, terutama pada hati-hati mereka yang pernah menjadi teman akrab ana.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat” [Al-Hujurat, 49:10]

Waallahu’alam.

Tarian Pena Berkilau

Bismillah.

Bicara ini ana mulakan dengan lafaz yang mulia. Semoga segala yang bakal dibicarakan di sini juga akan menuruti kemuliaan kalimah suci ini. Amin. Dan semoga penyusunan ayat-ayat yang bakal ana coretkan kelak bisa menembusi ruang pemikiran antum sekalian, insyaAllah. Namun ana hanyalah seorang manusia biasa yang menginginkan pelaburan kebaikan dalam bidang ini. Akal ana ini hanya satu, dan dari akal yang satu inilah ana akan cuba membuat modal dalam pelaburan ini. Seandainya terdapat sebarang kesilapan atau kesalahan dalam apa yang bakal ana kongsikan di sini, sudilah kiranya antum menegur mahupun memberi kritikan yang membina pada ana. Ucapan terima kasih pada antum yang sudi membantu meningkatkan mutu penulisan ana. Sesungguhnya manusia ini secara fitrahnya memang tidak sempurna, melainkan Rasulullah S.A.W. yang mulia.

Wallahu’alam.
Design by Abdul Munir
Modified by Kapt Ir Dr