21 October 2017

Tak Sempat Lipat Kain? Ini Tips Untuk Anda.

Pakaian adalah satu keperluan yang kita gunakan setiap hari. Justeru, tidak boleh tidak pakaian haruslah diuruskan setiap hari tanpa gagal. Jika sekali kita culas dalam mengurus pakaian, maka ia akan menjadi satu tabiat yang sukar untuk dipulihkan kembali. Apatah lagi jika tabiat itu sudah sebati dalam diri sejak kecil lagi.

Namun, hari demi hari ramai dalam kalangan kita yang sudah muak untuk menguruskan pakaian atas berbagai alasan seperti tidak sempat, sudah bosan, sakit pinggang atau malas. Seringkali juga pakaian terkumpul berhari-hari atau berminggu-minggu tanpa dilipat dan disusun dalam almari.

Jadi hari ini saya kongsikan beberapa tips dalam pengurusan pakaian agar lebih teratur, menjimatkan masa dan tenaga.

1. Hanya SATU atau DUA (baju putih diasingkan) raga baju kotor untuk satu rumah. Jangan sesekali biasakan satu raga satu bilik atau satu raga setiap orang, kerana ia memerlukan banyak masa dan tenaga untuk membawa semua raga ke mesin basuh.

2. Setelah baju dibasuh dan dikeringkan oleh mesin, gunakan HANGER untuk menjemur semua pakaian, kecuali kain yang tidak boleh digantung seperti cadar, selimut, tuala, langsir dll. Setkan WARNA HANGER untuk setiap orang. Gantung pakaian terus mengikut warna hanger masing-masing.

3. Semasa menjemur, SUSUN pakaian terus mengikut warna hanger tadi, ia akan memudahkan proses mengangkat pakaian nanti.

4. Setelah pakaian kering, boleh terus angkat dan masukkan ke dalam almari pakaian masing-masing, mengikut warna hanger. Tak perlu lipat, yeay!

5. Hanya lipat kain-kain yang tidak digantung tadi. Lipat sambil berdiri je sis, sebab senang sangat kan lipat cadar, tuala, dll tu. Pakaian dalam dimasukkan ke dalam bakul kecil secara berasingan mengikut individu.

Siap! Jimat masa dan tenaga tak? Dulu sakit pinggang lipat kain, ambil masa yang lama sebab baju anak-anak dilipat sekali dengan seluar sepasang-sepasang. Tambah pula ada tangan-tangan kecil tolong melipat sekali, mereputlah kita depan TV lipat kain berkali-kali. Sekarang dah tak perlu lagi duduk lama melipat kain. Mata pun dah tak serabut lagi. :-)

Bonus Tips:

1. Pakaian-pakaian yang jarang dipakai hendaklah dilipat untuk menjimatkan ruang. Bagi pakaian yang sudah tidak digunakan seperti pakaian bayi baru lahir, simpan dalam kotak atau beg berzip. Saya beli beg kecil-kecil untuk setokin dan topi bayi, beli di Eco Shop je. Dah nak ada baby baru nanti baru keluarkan semula. :-)

2. Almari mahal? Tak perlu almari mahal-mahal, kerana jika pakaian disusun kemas, tiada pintu almari pun tiada masalah. Cukup dengan DOUBLE POLE GARMENT RACK pun sudah memadai untuk setiap orang. Hanya RM30/set ketika promosi di Tesco. Susunlah semua rack dengan elok, kalau bijak menyusun boleh nampak macam closet tau.

Garment rack boleh bertahan lama jika kita menggunakannya dengan betul dan pandai menjaganya. Setkan tiang belakang tinggi, dan tiang depan pada kedudukan paling rendah. Saya guna almari dan rak berpalang sedia ada di kuarters kami. Sebelum ni guna garment rack sahaja. Kalau balik kampung berbulan-bulan waktu berpantang pun saya bawa garment rack tu.

Sekian saja perkongsian dari saya. Para suami jangan merungut kalau isteri minta beli hanger banyak-banyak lepas ni. Untuk kekemasan rumah anda juga. Beli hanger di Eco Shop je, yang penting seragam.

Jika ada yang mahu tambah tips, sangat dialu-alukan untuk berkongsi! Terima kasih.

*Terpaksa jemur kain dalam rumah, sebab kuarters kami tak ada balkoni mengadap ke luar. Jika menjemur kain di luar rumah, pastikan pakaian dijemur secara terbalik bagi mengurangkan risiko warna pakaian luntur.

10 July 2017

Selamat Hari Lahir Sayang

Assalamu'alaikum, anak ummi Atikah Humaira binti Mohd Zulhelmi..

Selamat ulangtahun hari kelahiran yang pertama, sayang..

Terima kasih, anak ummi sayang.. Malam ni ummi masih berpeluang memangku dan memeluk anak ummi, sebab anak ummi kuat..

Malam ni ummi masih mampu menatap wajah anak ummi, sebab anak ummi terus gigih melawan pembunuh dalam badan anak ummi..

Malam ni ummi masih boleh cium anak ummi, sebab Allah tahu ummi belum mampu kehilangan anak ummi..

Maafkan ummi, sayang.. Sebab ummi selalu cuai menjaga anak ummi yang kecil ni.. Ummi lalai sampai anak ummi hampir pergi dari ummi..

Atikah Humaira.. Ummi rindukan senyuman Atikah.. Ummi rindu Atikah yang sangat suka merangkak mencari ummi di tengah gelap malam dan cium pipi ummi waktu ummi tengah tidur.. Ummi rindu Atikah yang belum pernah sekali pun berenggang dengan ummi..

Atikah Humaira.. Hanya Allah yg Maha Tahu apa yang ummi rasa waktu doktor khabarkan berita, Atikah menghidap kanser.. Untuk sampaikan pada abi pun ummi tak mampu.. Ummi hanya mampu pandang muka Atikah, ummi peluk, ummi cium anak ummi.. Air mata ummi tumpah tapi ummi kena bertahan..

Depan doktor ummi menangis.. Depan abi ummi menangis.. Dalam solat ummi menangis.. Dalam doa ummi menangis.. Tiga hari ummi beri tempoh masa untuk ummi menangis.. Sampailah ummi tekad, ummi takkan menangis lagi depan sesiapa, kecuali depan Dia.. Hanya di tikar sejadah ummi menangis..

Atikah, anak ummi yang sejak lahir sampai hari ni tak pernah menolak bila ummi cium pipi.. Anak ummi yang sejak pandai merangkak hari-hari merangkak mencari ummi hanya untuk cium pipi ummi..

Selamat ulangtahun hari kelahiran yang pertama, Atikah Humaira, sayang..

Mudah-mudahan Allah memudahkan penyembuhan Atikah.. Allah rahmati, berkati dan redhai Atikah.. InshaAllah.. Amiiin.

**********

0100HRS
10 Julai 2017
Katil 25, Bilik 7, Wad KK3,
Institut Pediatrik, HKL.

11 June 2017

Ujian Ramadan 1438

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad S.A.W, rasul utusan Allah.

Ramadan 1438. Telah tertulis bahawa kami akan diuji dengan ujian yang tak kami sangkakan. Tanggal 31 Mei 2017, anakanda kami yang ketiga, Atikah Humaira binti Mohd Zulhelmi disyaki menghidap kanser. Namun sehingga hari ini (11 Jun 2017) kami masih belum tahu apakah jenis kanser yang dihidapi. Kami masih berharap dan berdoa agar keputusan ujian sampel sel nanti menunjukkan bahawa Atikah tidak menghidap sebarang kanser. InshaAllah, amiiin. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala perkara.

Ramai yang bertanya apa simptom yang Atikah alami. Dalam post ini akan saya tuliskan beberapa simptom yang saya perasan. Kebanyakannya simptom biasa, yang saya menyesal kerana mengabaikannya dulu. Allahuakbar. Tangisan-tangisan saya untuk Atikah bukan kerana mempersoalkan mengapa Allah uji kami dengan ujian ini, tapi lebih kepada menyesal kerana saya abaikan tanda-tanda yang Atikah tunjukkan. Atikah seolah-olah cuba beritahu yang dia sakit dan tidak selesa, tapi saya tak faham. Anakandaku Atikah, maafkan ummi... T_T

1. Tidak meniarap (menyusur), terus merangkak.

Jika ada yang perasan, saya pernah post tentang ini di FB saya. Ya, Atikah meniarap sekejap, tidak menyusur, tapi terus berusaha mengangkat perut dan merangkak. Nampak biasa kan? Allahuakbar. Tapi tak semestinya ini petandanya. Cuma kemungkinan sahaja. Waktu ni Atikah sangat cergas dan ceria.

2. Tidak mahu tidur meniarap, berkeras mahu telentang.

Mulanya saya fikir dia hanya "tidak suka", tapi rupanya dia "tidak selesa". Bukan saja mahu telentang, malah lebih selesa jika telentang dan mendongak. Seperti jika kita tidur berlapikkan bantal di belakang badan. Macam orang pregnant, kan selesa begitu. Mendongak pula mungkin kerana lebih baik untuk pernafasannya.

3. Merangkak perlahan-lahan dan berhati-hati.

Atikah mula merangkak pada umur 7 bulan. Biasanya makin lama merangkak makin laju, kan? Tapi pada usia 10 bulan, Atikah masih merangkak perlahan-lahan dan berhati-hati. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang dikendongnya. Allahuakbar. Sesuatu yang saya perasan tapi saya abaikan. Disebabkan Atikah sudah pandai berdiri sambil berpaut, jadi saya abaikan kelainan pada fasa merangkak tu.

4. Berguling ketika menyusu.

Ini berlaku dalam dua minggu sebelum saya bawa Atikah ke klinik. Mahu menyusu waktu tengah malam itu biasa. Berguling waktu menyusu pun biasa, kan? Mulanya saya fikir kerana dia kepanasan, rupanya lagi sekali, dia tidak selesa.

5. Tidak lalu makan.

Biasanya Atikah makan banyak juga. Setiap kali suap abangnya Ammar dan kakaknya Asma, saya akan penyek-penyekkan nasi tu dan suap Atikah. Tapi tiba-tiba Atikah tak lalu makan, mendadak. Dia hanya mahu sup, yang lain dari tu hanya akan dikemam dan diluak.

6. Kuat berpeluh dan berbau.

Berpeluh yang menyebabkan berbau terutamanya ketika menyusu. Bau ni saya perasan di bahagian kepala, sebab masa menyusu hidung memang dekat dengan kepala anak.

7. Bengkak kelopak mata atas.

Dalam masa seminggu, kelopak mata Atikah bengkak. Dibawa ke klinik, dirujuk ke HSI, JB. Doktor di klinik pakar mata HSI beri antibiotik untuk dua minggu. Kemudian saya minta follow up di HAT Tengku Mizan, Wangsa Maju, KL sebab kami dah nak balik KL. Tak sempat further follow up tentang mata, kami perasan tanda yang ke-8.

8. Perut kembung dan terasa ada benda keras di bawah perut.

Masa ni dah hampir sebulan mata Atikah bengkak. Saya tanya suami, "Perut Atikah keras, kan?" dan suami pun mengiyakan. Sebab suami selalu urut-urut badan anak dan mandikan anak. Jadi dia pun perasan. Mulanya saya fikir tahi keras, tapi kerasnya lagi keras daripada tu. Esoknya terus bawa Atikah ke klinik. Dengan sekali pegang je, doktor KK DTHO discuss dan decide untuk dirujuk ke bahagian surgery, paeds HKL.

Terus pack barang untuk duduk wad seminggu. Di klinik pakar pediatrik bahagian surgery HKL, dengan sekali pegang juga, doktor terus check ikut punggung. Nyata bukan tahi. Doktor minta buat ultrasound terus. Tapi sebab dah petang, tak sempat buat. Kami balik rumah dulu dan datang balik pagi esoknya. Esoknya sebelum 8:00 pagi lagi kami dah sampai HKL.

Sekian dulu untuk post kali ni. Sungguh tak sangka saya akan menaip tentang ini hari ini. Kelemahan saya, adalah bila anak sakit. Dan Allah uji saya dengan ujian kesihatan anak.

Buat masa ni keputusan ujian sampel sel Atikah masih belum keluar. Walaupun doktor dah confirm ia kanser, tapi belum tahu jenis kanser. Kami masih berharap dan berdoa bahawa ia bukanlah kanser. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, kan? Kami takkan putus berdoa agar Atikah tidak menghidap sebarang kanser.

Mohon doakan Atikah kembali sihat seperti sediakala, dan memberi respon +ve pada setiap rawatan yang diberi. InshaAllah. Mudah-mudahan Allah pelihara kita semua dari sebarang penyakit kronik. Amiiin.

Wallahua'lam.

26 April 2017

Keep Calm and Re-Blogging

Bismillahirrahmanirrahim..

"Alhamdulillah.." Begitulah luahan blogku apabila tuannya kembali menatap wajahnya. Hehe.

Dulu, blog ditinggalkan sepi dek kerana kehadiran laman sosial FB yang semakin hari semakin canggih dengan segala fungsinya. Kini, tidak mustahil FB pula bakal ditinggalkan kerana fungsinya kini lebih kepada platform niaga. Hampir 80% newsfeed di FB saya adalah promosi-promosi jualan atas talian.

Bagi mereka yang kurang gemar shopping seperti saya, sudah tentu ia mengganggu fikiran. Jika dulu seronok membaca kisah-kisah penuh pengajaran dalam setiap jalur kehidupan rakan-rakan FB, kini semua kisah-kisah tersebut akan berakhir dengan hashtag #ProdukSekianSekian.

Demi tidak mahu mengguris perasaan sendiri dan perasaan rakan-rakan FB, maka dengan ini saya mulakan kembali gerak jari ini untuk menulis di blog. Tapi jika mahu shopping, saya sudah tahu mahu cari siapa di FB. :-)

Sebenarnya sudah lama saya merasakan bahawa menulis di blog ini lebih tenang. Tidak pernah ada rasa tamak mahu mengumpul like, comment atau share. Emosi juga lebih terkawal ketika menulis. Jarang ada hasutan untuk saling membalas komen dan berbalas hujjah dengan penuh emosi seperti yang selalu terjadi di FB.

Tanpa kita sedari, setiap kali terbaca petikan berita atau kisah di FB, pasti ada rasa mahu share dengan caption pendapat mengenai isu tersebut. Sedangkan tidak semua isu kita perlu komen. Teringat kata-kata hikmah yang berbunyi, "Semakin banyak berbicara, semakin banyaklah salahnya. Semakin banyak salahnya, semakin banyaklah dosanya."

Sedangkan jika di blog, penulisan lebih banyak bergantung kepada tajuk post. Setiap post pula ada kategori atau label masing-masing. Maka ia akan lebih bersifat artikel, dan bukannya ulasan atas kisah-kisah yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Malah penulisan blog juga kelihatan lebih professional kerana kebanyakannya akan menggunakan ejaan penuh.

Teringin sekali kembali menjadi seperti dulu. Semoga penghijrahan kembali ini akan jadi lebih baik daripada yang dulu. Blog ini perlu dikemaskini semula. Perlu lebih pembacaan agar ada sesuatu untuk dikongsikan.

Akhir kata, marilah kita beramai-ramai kembali mengaktifkan blog kita. Sungguh, di sini ruang perbincangannya lebih tenang. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada kita semua, inshaAllah. :-)

Design by Abdul Munir
Modified by Kapt Ir Dr