Pernah tak rasa nak lari? Nak duduk sorang-sorang? Tidak mahu diganggu. Dapat awek comey? Haha. Tengok TV puas-puas. Bergayut dengan pakwe berjam-jam. Shopping sana shopping sini. Bebas bercakap dengan lelaki yang disukai. Lemas dalam ungkapan cinta perempuan yang dicintai. Oh, indahnya!
Saya ingin bebas. Belenggu tarbiyah pada saya menyakitkan. Saya mahu lari dari usrah. Saya benar-benar rasa terbeban. Orang lain bersenang-lenang, tetapi saya perlu isi kekosongan dengan halaqah (baca: usrah). Saya masih mentah. Masih tercari-cari arah hidup, malah saya masih muda untuk memahami erti dan konsep perjuangan.
Saya keliru. Saya sama sekali tidak mengerti “Mengapa saya di sini?”, “Kenapa saya dilemparkan ke sini?”, dan “Sebab apa saya harus di sini?” “Untuk apa saya harus melalui proses tarbiyah?”, “Untuk apa saya mesti ada murabbi (baca: naqib/naqibah) yang seringkali menyemak status hafazan dan amalan-amalan saya?”, “Bukankah cukup, asalkan saya tahu halal haram atau baik buruk?”
Tolonglah, saya tidak perlu semua ini. Saya rimas diperlakukan seperti ini. Saya rasa dikongkong. Faham tak? Hati saya kadang-kadang memberontak. Begitulah jadinya. Kadang-kadang saya suka. Suka dan rela ditarbiyah. Kadang-kadang, saya rimas. Identiti diri tidak tetap sama sekali.
Oh, rupanya saya hidup dalam matlamat yang samar-samar!
Saya tidak suka, bukan kerana saya benci. Hanya kerana saya kurang jelas dengan matlamat hidup. Saya masih tercari-cari. Buntu. Tidak faham. Keliru. Namun, hanya satu yang saya jelas tentang diri. Ketangkasan inkuiri yang sering mencetuskan intuisi. Saya suka pada soalan yang ada jawapan. Saya tidak suka “mengimani” sesuatu perkara dengan taqlid buta.
Pencarian demi pencarian. Hikmah pencarian menemukan jawapan. Rupanya-rupanya, saya memang ada matlamat. Namun, saya masih tidak jelas dengan matlamat. Saya memang punya matlamat, namun saya tersalah memilih matlamat dan tersalah arah tujuan, maka akibatnya saya tersalah memilih jalan untuk mencapai matlamat itu.
ALLAH Matlamat Hidup! Allahu Ghoyatuna! - Bukan sekadar tahu, tetapi faham dan sedar.
Hidup kita hanya untuk Allah. Seluruh hidup kita hanya untuk Allah, baik ilmu pengetahuan, perniagaan, harta kekayaan, rumahtangga, waktu, pemikiran dan sebagainya, semuanya hanyalah untuk Tuhan kita, Allah! [1] Saya tahu itu, namun saya buta. Saya tahu, tetapi saya tiada kesedaran. Selama ini, saya hanya tahu dan pandai mengungkapkan “hidup ini indah jika segalanya kerana Allah”, namun saya gagal memahami dan menyedari “makna hakikat hidup bersama Allah”.
a. Saya cakap saya ingin belajar kerana Allah, tetapi secara praktikalnya, saya belajar hanya kerana exam, ingin lulus, untuk kepuasan diri, serta sebagai aset kebanggan ibu dan ayah.
b. Saya kata saya beribadah untuk Allah, tetapi saya masih gagal meletakkan sepenuhnya cinta Allah dalam hati. Saya masih ralit dan goyang kaki sewaktu azan berkumandang.
c. Saya kata saya sepenuhnya mencintai Allah, tetapi saya masih buat apa yang Allah larang dan tinggalkan apa yang Allah suruh.
d. Saya mengaku beragama Islam, tetapi saya tidak bersungguh-sungguh menuntut ilmu, mencari ilmu dunia dan akhirat untuk mengembalikan kegemilangan ISLAM.
e. Saya mengaku kecintaan saya terhadap ISLAM, namun saya masih kurang sensitiviti dan nilai peduli dalam diri tentang saudara seaqidah yang beragama ISLAM.
f. Saya mengaku Allah sebagai Rabb, namun saya masih bersenang-lenang, membuang masa, dan kurang ingatan kepada Allah. Andai kata cinta, mengapa begini jadinya? Cintakah namanya ini?
Saya geleng kepala. Kaku. Terkesima dengan persoalan dari akal sendiri. Tertunduk lemah. Dahi berkerut, masih berfikir dan merenung hakikat diri yang makin jauh. Rupanya inilah sebabnya saya tercari-cari arah hidup, hilang pedoman, dan tidak henti-henti mencari. Saya cuma mengetahui tetapi sama sekali tidak menyedari.
3 kategori manusia di dunia. Saya yang ke berapa? [2]
Saya meneliti satu persatu. Menilainya, dan cuba mengukur maknanya di badan sendiri.
a. Golongan yang hidupnya untuk dunia sahaja
“Mereka berkata: Kehidupan kita ini tiada lain melainkan kehidupan dunia sahaja, kita mati (tiada) kemudian kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain dari masa dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka itu tiada lain hanya menduga-duga sahaja.” [Al-Jathiyah, 45: 24]
* Cara hidup : Materialistik! Hidupnya hanya untuk kebendaan dan memuaskan hawa nafsu serta syahwat. Usaha dan ilmunya hanya tertumpu pada dunia.
* Pegangan hidup: Tidak mempercayai adanya hari kebangkitan dan perhitungan, percaya bahawa manusia hanya akan dibinasakan oleh masa.
* Golongan: Komunis, penganut fahaman sekularisme dan existensialism.
b. Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat
“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Inilah kesenangan hidup dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang terbaik.”[Ali-‘Imran, 3: 14]
* Cara hidup: Aqidah menyimpang. Percaya adanya Hari Akhirat, namun aqidah jauh tersasar. Hakikatnya termasuk dalam golongan kebendaan (di atas) walaupun pada zahirnya melakukan sebahagian dari upacara-upacara kerohanian.
* Golongan : Orang kebanyakan.
c. Golongan yang menganggap dunia ini adalah ladang tanaman untuk di akhirat
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Apakah kamu tidak berfikir?” [Al-An’am, 6: 3]
* Cara hidup : Benar-benar beriman. Mereka mengetahui dan jelas dengan hakikat hidup. Mereka menginsafi nilai hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat. Menganggap dunia sebagai medan berbakti. Segala yang dilakukan diniatkan hanya untuk Allah, kerana Allah demi redha Allah!
Jadi, apa kaitannya saya dengan halaqah? Tarbiyah dan perjuangan? Usrah dan matlamat?
Kita tidak selalu kuat jika sendirian. Mungkin hari ini qowiy, esok belum tentu tidak futur. Iman pula yazid dan yanqus. Kadang-kadang, kalau kita dekat dengan Allah, ibadah meningkat, iman pun naik. Bila diuji sedikit, dan kita gagal mengawal emosi dan mengurus tekanan, kemungkinan jalan yang dipilih tersasar dari haluan sebenar. Maka, halaqah pada saya banyak membantu.
Tarbiyah membantu pembentukan diri. Mengajar diri menjadi muslim sejati bertepatan dengan muwassofat tarbiyah. Melatih minda, fizikal dan rohani. Hebatnya tarbiyah Rasulullah hingga melahirkan golongan yang berani berperang di jalan Allah! Tidak gentar sama sekali malah hati-hati mereka hanya untuk Allah. Keyakinan mereka hanyalah pada Allah. Subhanallah. Hebat bukan?
Tarbiyah sebeginilah yang cuba dipraktik, sebagai “latihan” buat diri untuk berjuang mengembalikan kegemilangan ISLAM. Kalau sendirian, mungkin sukar untuk ada tahap kesedaran, mungkin susah untuk menyuntik nilai pedulisme dalam diri. Banyak lagi yang harus diselongkar, namun ternyata saya masih cetek ilmu. Masih baru dalam dunia yang bagi saya terlalu asing pada mulanya.
Inilah pentingnya usrah, halaqah, tarbiyah dalam memahami erti perjuangan. Inilah pentingnya dalam memahami dan menyedari hakikat kebersamaan hidup dengan ISLAM.
Alhamdulillah, thank you Allah!
“Allah s.w.t. telah membersihkan orang-orang mukmin dari tujuan-tujuan yang salah dengan memberikan tanggungjawab dan kewajipan yang tinggi lagi mulia. Tanggungjawab tersebut ialah menunjuk kebenaran ISLAM kepada manusia. Mengajak manusia seluruhnya kepada kebajikan dan menyinarkan seluruh alam ini dengan cahaya ISLAM.” [3]
Allah mahu kita susah, kerana Allah sayangkan kita. Memimpin diri sendiri juga sangat susah, apatah lagi ingin berdakwah. Ternyata semuanya susah. Rupa-rupanya, dalam kepayahan itu, Allah ingin menyelamatkan kita dari matlamat hidup yang salah. Allah berikan tanggungjawab, dan kewajipan supaya kita sentiasa di jalan yang benar. Tidak dibiarkan sesat, tetapi dibiarkan sibuk dalam melakukan ketaatan padaNya. Syurga sebagai hadiah, dan sebagai pelengkap nikmat hidup di dunia.
“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabadikan diri kepadaku.” [Az-Zariyat, 51: 56]
“Ya Allah, kuatkanlah kami untuk terus berpegang dengan matlamat dan cara hidup yang benar. Saya mesti hidup untuk ISLAM!”
Wallahu a’lam.
__________________________________________________
Rujukan:
[1] Fathi Yakan: Apa Ertinya Saya Menganut Islam? (Halaman 101)
[2] Fathi Yakan : Apa Ertinya Saya Menganut Islam? (Halaman 97-101)
[3] Fathi Yakan : “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?” (Halaman 100)
__________________________________________________
2 comments:
Nice one.
copy dr post org, mmg la nice..
Post a Comment