26 March 2011

Bila Lagi?

Bismillah..

Alhamdulillah, saya sekarang berada di bumi ALLAH Yang Maha Mulia, UTM Skudai. Misi kali ini agak besar, ingin menyiapkan tesis master, insyaALLAH. Eh, begitu besarkah misi ini? Benar, kerana semakin lambat tesis itu siap, maka semakin lambatlah saya boleh memasuki UiTM Jengka secara rasminya. UiTM Jengka? Kenapa? Ada apa dengannya? Benar, kerana di sana ada misi yang jauh lebih besar daripada misi menyiapkan tesis ini, tesis yang entah mampu untuk disiapkan dalam masa yang singkat ini entah tidak (doakan saya). Namun yang pastinya misi yang lebih besar itu harus disegerakan sesegera yang mungkin.

Sudah lama saya tidak berkunjung ke gedung ilmu ini. UTM adalah tempat pengajian saya yang paling lama dalam hidup, dan UTM juga adalah tempat di mana saya mengaji dan mengkaji Al-Quran semula, alhamdulillah. Bila sudah lama tidak berkunjung, maka kenalan-kenalan lama pun seringlah bertanya soalan biasa, “Bila lagi?”, dan seperti biasa, soalan disambut dengan senyuman yang bersahaja. Kemudian saya ajukan kembali soalan itu pada si pengaju soalan, “Bila lagi?”

Ya, “bila lagi” kamu mahu mula menyampaikan kebenaran kepada kenalan-kenalanmu? “Bila lagi” kamu mahu mula berubah dari diri kamu sekarang kepada diri kamu yang lebih baik? “Bila lagi” kamu mahu mula melonggarkan pakaianmu? “Bila lagi” kamu mahu mula mengutamakan pandangan ALLAH berbanding pandangan manusia? “Bila lagi kamu mahu mula menjadi naqibah? “Bila lagi” dan “bila lagi”?

Kawan-kawan, kita sudah lama mengiktiraf ALLAH sebagai majikan kita, kan? Kita sudah lama me’register’ diri kita sebagai pekerja di bawah syarikat ALLAH (dengan lafaz dua kalimah syahadah). Tapi kita masih suka bertangguh-tangguh untuk memulakan hari pertama kita bekerja dengan ALLAH. Setiap hari kerja kita semakin bertimbun di atas meja di pejabat, tapi kita masih belum mahu mula untuk menjejakkan kaki di syarikat ALLAH. Malah masih belum mahu mencuba untuk melangkah.

Kawan-kawan, betapa baiknya Majikan kita, menanti kehadiran diri kita untuk mula bekerja denganNya. Sedangkan Dia sudah terlalu lama memberi gaji dan elaun sara sepanjang hidup kepada kita, setiap saat, setiap detik. Tidak pernah sekali pun Majikan kita Yang Maha Kaya itu melupakan keperluan hidup kita, syukur alhamdulillah.

Kawan-kawan, percayalah, apabila kerja di pejabat semakin bertimbun-timbun, maka kita akan mula sakit kepala, kerana tidak tahu mahu bermula di mana. Nak mula dengan kemas mejakah? Atau nak set up komputer dulu? Atau nak terus mula siapkan kerja yang pertama diberi sejak berzaman dulu? Atau nak siapkan kerja yang paling senang? Atau yang paling susah dulu? Atau nak buat kerja yang paling mahal dulu?

Ada juga di antara kita yang mahu melangkah, tapi masih segan-segan kerana tidak ada kesediaan untuk bekerja. Pengetahuan tentang pekerjaan masih kurang, tidak biasa berkomunikasi dalam dunia pekerjaan, baju pejabat belum dibeli, tiada kawan sekepala dan macam-macam perkara lagi yang seolah-olah menyekat diri kita untuk mula bekerja. Jadi, macamana ye? Kawan-kawan, lets be wise and creative. Robohkanlah penghadang-penghadang itu sesegera yang mungkin, kerana kita mesti mula bekerja hari ini, dan kita tidak mahu timbunan kerja bertambah lagi.

Kawan-kawan, jom, kita mula berazam! Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula mencari ilmu tentang pekerjaan saya seperti jawatan yang telah diberikan oleh ALLAH”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula selalu berkumpul bersama orang-orang soleh”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula berjinak-jinak dengan pakaian yang menutup aurat saya dengan sempurna”. Katakan, “Ya, hari ini saya akan mula mencari sahabat setia yang mahu berjalan seiringan dengan saya di jalan ini”.

Kawan-kawan, jangan lupa untuk katakan juga, “Ya, hari ini saya akan mula menjauhkan diri saya dari tempat-tempat yang tidak suka diunjungi oleh malaikat penyampai hidayah”. Dan katakanlah, “Ya, hari ini saya akan mula menjauhkan diri saya dari aktiviti-aktiviti persatuan yang tidak mendekatkan diri saya dengan ALLAH”. “Kerana semua inilah yang akan menjadi penghadang untuk saya memulakan hidup baru di hari pertama saya bekerja dengan Majikan saya yang saya rindui”.

So, jangan bertangguh lagi ya kawan-kawanku. Tak mahu dengar lagi kata-kata “belum sampai seru” atau “belum bersedia” untuk menjadi pekerja setia kepada ALLAH. Ingat, kerja kita makin bertambah, dan kerja kita sememangnya makin bertambah!
Design by Abdul Munir
Modified by Kapt Ir Dr